Hari ini 50 tahun yang lalu, tiga angkasawan Soviet terkorban dalam nahas Soyuz 11 ketika perjalanan pulang ke Bumi.

Pada 6 Jun 1971, Georgi Dobrovolsky, Vladislav Volkov dan Viktor Patsayev berlepas ke angkasa menaiki kapal angkasa Soyuz 11 menuju ke Salyut 1, stesen angkasa pertama dunia milik Soviet yang mula mengorbit Bumi pada April tahun tersebut.

Soyuz 11 selamat berlabuh di Salyut 1 dan tiga kosmonaut itu meluangkan 23 hari di situ, menjalankan pelbagai kajian malah membuat siaran lintas langsung di televisyen. Patsayev juga menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-38 di dalam stesen angkasa itu.

Pada 30 Jun, bersama pelbagai spesimen saintifik, rakaman filem dan kelengkapan lain, kru Soyuz 11 berlepas meninggalkan Salyut 1. Tiga jam kemudian, selepas semua misi utama mereka terlaksana, enjin dihidupkan untuk perjalanan memasuki ruang udara Bumi.

39 minit sebelum pendaratan pada ketinggian kira-kira 160 km dari paras laut, letupan dilepaskan seperti dijadual untuk memisahkan modul pengorbit dengan modul instrumen Soyuz 11 yang berbentuk kapsul. Ketika inilah berlakunya kecelakaan.

Tekanan dalam kapsul tiba-tiba merosot mendadak. Dobrovolski dan Volkov cuba mencari punca kebocoran, namun masa tidak menyebelahi mereka. Hanya dalam 110 saat, ketiga-tiga angkasawan malang itu menemui ajal.

Apabila mendarat, kapsul dilihat dalam keadaan baik. Namun apabila pasukan penyelamat tiba dan membuka pintu kapsul, didapati ketiga-tiga kru kaku dengan tompokan biru gelap pada wajah dan darah meleleh dari hidung dan telinga mereka.

Siasatan lanjut mengesahkan bahawa punca kematian adalah pendarahan dalaman akibat salur darah pecah, disebabkan tekanan rendah dalam ruang kabin ekoran injap rosak yang terbuka ketika prosedur pemisahan modul.

Susulan insiden itu, pesawat Soyuz seterusnya dilengkapkan dengan injap yang lebih kuat dan lebih mudah dibaiki, serta semua kru diwajibkan memakai sut tekanan ketika prosedur pelepasan dan pendaratan.

Tragedi Soyuz 11 itu menjadi satu-satunya kes kematian di angkasa sehingga hari ini.

Sumber: History, Discover Magazine