4 Jun 1783, 239 tahun yang lalu, belon udara panas yang pertama berjaya diterbangkan oleh Montgolfier bersaudara.

Joseph-Michel & Jacques-Étienne merupakan anak kepada Pierre Montgolfier, usahawan kertas di pekan kecil di Vidalon, dekat Annonay di selatan Perancis. Sambil meneruskan perniagaan bapanya, mereka berdua juga berminat dalam uji kaji saintifik.

Pada 1782, mereka mendapati yang udara panas, apabila terkumpul di dalam kertas atau beg fabrik ringan, akan menyebabkannya naik ke udara. Lalu dibina belon besar daripada sutera yang dilapis dengan kertas berdiameter 10 m untuk mempersembahkan dapatan itu.

Maka pada 4 Jun 1783, di depan khalayak di kawasan pasar di Annonay, Joseph-Michel & Jacques-Étienne mengisi belon tersebut dengan udara panas daripada pembakaran lalang & bulu haiwan di bawah bukaan di bahagian bawah belon besar itu.

Belon tersebut yang tidak ditambat pada tanah naik sehingga sekitar 1,600 – 2,000 m di udara, terapung selama kira-kira 10 minit sebelum mendarat lebih dari 2 km dari titik pelancarannya. Pertunjukan itu pantas menjadi buah mulut hingga ke Paris.

Étienne membawa ciptaan mereka untuk didemonstrasikan di ibu kota Perancis itu, sebelum ke istana Versailles apabila dijemput oleh Raja Louis XVI. Untuk itu, beliau membina belon yang lebih besar & cantik daripada kain taffeta bersalut alum supaya tahan api.

Pada masa sama Montgolfier ingin mencuba membawa penumpang dengan memasangkan belon itu pada bakul. Raja Louis menawarkan 2 orang banduan, tetapi Montgolfier memilih untuk meletakkan seekor biri-biri, seekor ayam jantan & seekor itik.

Disaksikan sang raja & isterinya Marie Antoinette, belon tersebut & penumpang haiwannnya berangkat pada 19 September 1783 dengan jayanya, terbang setinggi kira-kira 460 m, terapung selama 8 minit sebelum mendarat kira-kira 3km dari titik pelepasannya.

Penerbangan pertama membawa manusia pula berjaya dilancarkan Montgolfier pada 15 Oktober 1783 dengan 2 orang penumpang menaiki belon yang ditambat pada tanah & terapung selama 4 minit.

Sumber: Britannica, Space