30 Ogos 1957, Hari ini 65 tahun yang lalu, bendera Union Jack diturunkan di Melaka.

Selepas pulang dari rundingan di London, Tunku Abdul Rahman berkonvoi ke Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 untuk mengumumkan kepada khalayak persetujuan British memberikan kemerdekaan yang akan diisytihar pada 31 Ogos 1957.

Di lokasi yang sama, sehari sebelum pengisytiharan tersebut, pada 6.30 petang Jumaat 30 Ogos 1957, berlangsungnya upacara menurunkan bendera Union Jack yang disaksikan Pesuruhjaya Residen British di Melaka, H.G. Hammet bersama ribuan rakyat jelata.

Dengan iringan tiupan serunai, bendera itu diturunkan oleh 2 orang anak kapal dari H.M.S. Saint Brides Bay & kemudian diserahkan kepada Hammet, yang terlebih dahulu menerima tabik hormat daripada pancaragam Batalion Pertama Rhodesian Rifles.

Upacara di Bandar Hilir itu menjadi pemula kepada acara lebih besar pada malamnya di Kuala Lumpur. Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) dibanjiri rakyat dari segenap lapisan untuk bersama Tunku menyaksikan detik bersejarah negara.

Tepat 12 tengah malam, selepas jam besar Bangunan Sultan Abdul Samad berdenting 12 kali, bendera Union Jack diturunkan & bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan, diiringi nyanyian lagu Negaraku sebelum ‘MERDEKA’ dilaungkan sebanyak 7 kali.

Keesokan harinya, pada jam 9.30 pagi, Tunku mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka, menandakan bermulanya perjalanan sebuah negara berdaulat yang dipimpin sendiri oleh anak watannya.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, WilayahKu