18 Jun 1815, 207 tahun yang lalu, Napoleon Bonaparte kecundang di Waterloo, menandakan berakhirnya Era Napoleon di Eropah.

Napoleon Bonaparte merupakan antara strategis tentera terulung dalam sejarah, diisytihar sebagai Maharaja Perancis pada 1804. Menjelang 1807, jajahan takluknya seluas dari sungai Elbe di utara hingga ke selatan Itali, dari Pyrenees di timur ke pantai Dalmatian di barat.

Mulai 1812, Napoleon melalui rentetan kekalahan selepas kempen di Rusia yang gagal & dibuang negeri pada 1814. Bagaimanapun beliau berjaya melarikan diri untuk kembali ke Perancis pada awal 1815, membentuk regim baharu & berarak ke Belgium.

Pada Jun 1815, Napoleon menewaskan angkatan Prussia di Ligny & menghantar 1/3 daripada angkatannya untuk mengejar musuh yang berundur. Bersama selebihnya, beliau mendepani tentera bersekutu pimpinan Arthur Wellesley, Duke of Wellington di Waterloo.

Ketika itu tanah di sana basah, jadi Napoleon menanti hingga tengahari sebelum mengarahkan serangan dilancarkan. Tidak dijangkanya bahawa penundaan itu membolehkan angkatan Prussia yang berundur tadi kembali untuk menyertai barisan tentera bersekutu.

Serangan demi serangan dilancarkan namun Napoleon gagal memecahkan barisan tengah angkatan bersekutu, ketika sama sayap kanan angkatannya diserang oleh angkatan Prussia sehingga akhirnya Napoleon & “La Grande Armée”nya bertempiaran melarikan diri.

Napoleon kembali ke Paris 4 hari kemudian, menyerahkan takhta kepada anaknya & memutuskan untuk keluar dari Perancis sebelum berdepan sebarang gerakan penentangan. 15 Julai itu, Napoleon menyerah diri kepada perlindungan British di pelabuhan Rochefort.

Beliau dibuang negeri ke Saint Helena, sebuah pulau terpencil jauh ke tengah Laut Atlantik di barat Afrika di mana seorang bekas general perang terbilang itu menghabiskan sisa hidupnya hingga ke nafas terakhir yang dihembuskan pada 5 Mei 1821.

Hanya selepas hampir 2 dekad kemudian, kerajaan British membenarkan mayat Napoleon dibawa pulang ke Perancis. Ia diberi sambutan pengebumian negara & dimakamkan di Les Invalides, Paris.

Sumber: History, Smithsonian Magazine