Bung Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Haji Abdullah merupakan pendokumentasi sastera dan sejarah bangsa yang terulung. Banyak hasil karya sasterawan dan pemikir bangsa yang berhasil dibukukan dengan perbelanjaannya sendiri mahupun dengan kerjasama penerbit kerajaan mahupun swasta.


Bung Karim atau nama sebenarnya Haji Abdul Karim bin Haji Abdullah dilahirkan pada 6 September 1937 di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh, Pahang Darul Makmur. Beliau meninggal dunia pada 5 Februari 2001. Sebelum meninggal dunia beliau menetap di No.73, Jalan Datuk Abdul Aziz 14/29, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.


Bapanya, Haji Abdullah bin Haji Mohd. Ali pernah bekerja sebagai editor Melayu di Jabatan Parlimen Malaysia. Bapanya sebelum itu pernah bertugas sebagai salah seorang anggota Pejabat Karang Mengarang di Sultan Idris Training College (SITC) di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1939 atau era Allahyarham Pendita Za’ba memimpin dan bekerja di situ.


Manakala ibunya bernama Hajjah Selamah binti Haji Mohd. Seh. Bung Karim mendapat pendidikan di pelbagai tempat termasuk di Sekolah Melayu Bangau, Temerloh, Pahang, Sekolah Melayu Raub, Pahang, Mahmood School, Raub, Pahang, Batu Road School, Kuala Lumpur, Victoria Institution, Kuala Lumpur, Abu Bakar School, Temerloh, Pahang (tamat School Certificate Class, 1957) dan CYMA School, Kuala Lumpur (Tingkatan Enam).


Bung Karim berpengalaman luas dalam pelbagai bidang pekerjaan di samping membuat kerja-kerja pendokumentasian karya sastera dan sejarah para sasterawan, penulis dan pemimpin di Malaysia sebagai hobi dan minatnya yang luar biasa.


Beliau pernah bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Segambut, Kuala Lumpur pada tahun 1958. Pada tahun 1959, beliau bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Kuala Lumpur. Manakala pada tahun berikutnya, 1960, beliau bertugas pula sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Serdang, Selangor Darul Ehsan. Beliau juga pernah menjadi guru bahasa Malaysia di Shaw Institute, Kuala Lumpur.


Pada tahun 1961, beliau meninggalkan alam perguruan dan menceburi bidang pekerjaan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau bertugas sebagai Penyiasat Luar di Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau kemudiannya di Bahagian Perpustakaan, DBP pada tahun 1961.


Bung Karim kemudiannya bertugas sebagai penterjemah buku-buku pelajaran dan umum di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962-1968. Pada tahun berikutnya,1969, beliau bertugas sebagai penyunting majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka dan terdedah kepada kerja-kerja penerbitan majalah yang menjadi asas kepada penyuburan minatnya sebagai pendokumentasi sastera dan sejarah bangsa. 

Beliau kemudiannya bertugas sebagai pembantu sastera di Bahagian Perkembangan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Tugas terakhirnya di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ialah sebagai penolong pengarang atau kini disebut editor di Bahagian Perkembangan Sastera, Dewan Bahasa
dan Pustaka.


Beliau juga berpengalaman bertugas di tempat lain selepas bersara wajib. Misalnya pernah bertugas di Employee Relations Officer di Lesong Timber Sdn. Bhd, Kuantan, Pahang pada tahun 1974. Beliau juga pernah bertugas sebagai Executive Secretary Malay Timber Traders Association Malaysia dan sebagai public relation officer di Urban Management Advisor Sdn. Bhd, Subang Jaya. Beliau juga pernah bertugas sebagai manager (sales administration) United Estate Projects Sdn. Bhd di Subang Jaya, Selangor.


Dalam kerjaya seterusnya, beliau bertugas sebagai pegawai seranta di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah Malaysia pada tahun 1982-1988. Pada tahun 1994-1995, beliau bertugas sebagai setiausaha subit kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Malaysia. Manakala pada tahun 1995-1996, beliau bertugas sebagai setiausaha sulit kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia. 

Pada tahun 1997-1999, beliau bertugas sebagai setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bung Karim juga dikenali aktif sebagai aktivis sosial, budaya, sastera dan politik Melayu. Beliau merupakan ahli jawatankuasa pengasas Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan ahli pengasas Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) pada tahun 1957. Beliau pernah menjadi juruacara Majalah TV Televisyen Malaysia (RTM 1) selama enam tahun.


Bung Karim juga pernah menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Kayu-Kayan Bumiputera Malaysia, Naib Yang Dipertua Dewan Persuratan Melayu Pahang, ahli jawatankuasa kerja Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) 1976-1978, menjadi anggota sidang pengarang Maju Tanah, menjadi juruacara kegiatan dan Kursus di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan Islam Jalan Gurney, Kuala Lumpur.


Di samping itu, beliau pernah menjadi setiausaha Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor selama enam tahun. Beliau mempelopori usaha mengadakan pameran buku-buku riwayat hidup Rasulullah S.A.W yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit di masjid tersebut sewaktu mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Minat mengumpul buku buku riwayat hidup Rasulullah S.A.W tumbuh subur sesudah beliau pulang daripada mengerjakan haji pada tahun 1993.


Bung Karim juga pernah menjadi Ketua Dua Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Cawangan Kuala Lumpur dan Presiden Klas 33 Dale Carnegie Course In Public Speaking and Human Relation pada tahun 1993.


Beliau juga aktif dalam kegiatan politik semasa hayatnya. Misalnya pernah menjadi ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh (1974-1978), ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh (1974 1978), penolong setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang (1974-1979), ahli jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Bahagian Temerloh (1974-1978), ahli jawatankuasa Biro Agama, Pelajar dan Kebajikan UMNO Bahagian Temerloh (1974-1978), pengerusi Biro Penerangan Pemuda UMNO (1975-1978) dan ahli Jawatankuasa Biro Penerangan UMNO Negeri Pahang (1976-1978).


Pada tahun 1964-1965, Bung Karim pernah muncul sebagai johan bahas dan syarahan bagi daerah Petaling Jaya dan bandaraya Kuala Lumpur dalam Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pada tahun 1966-1967, beliau muncul sebagai johan syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan bagi seluruh negeri Selangor.


Penglibatan Bung Karim yang meluas dalam pelbagai bidang kehidupan diiktiraf dengan pengurniaan pingat PPN pada tahun 1982 dan pingat AMN (Ahli Mangku Negara) pada tahun. Bung Karim merupakan tokoh penting dalam bidang penyusunan, penyelenggaraan dan pendokumentasian buku di negara ini. Kehilangannya ibarat bubarnya sebuah gedung keilmuan yang selama ini menghadiahkan masyarakat dengan pelbagai jenis buku bercorak biografi, koleksi ucapan, koleksi esei tokoh politik, budaya, sastera dan agama yang hilangnya tidak berganti.

Sumbangan terbesar dan tidak ternilai yang diusahakan oleh Bung Karim dalam bidang penyelenggaraan, penyusunan, editorial (penyuntingan dan penerbitan pelbagai buku tokoh pemimpin, sasterawan, pemikir dan sarjana negara ialah terbit dan tersebarnya puluhan buku yang diterbitkan oleh pelbagai penerbit mahupun yang diterbitkannya sendiri.

Buku-buku selenggaraan dan susunan Bung Karim termasuklah buku Cerpen-cerpen Pak Sako (selenggaraan bersama Dr. Hashim Awang terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1987), Pemikiran Tun Razak Tentang Bahasa Sastera Budaya terbitan Dewan Persuratan Melayu Pahang Cawangan Kuala Lumpur (1978), Soal-soal Kebudayaan terbitan Pustaka Budaya Agensi Petaling Jaya, (1971), Pak Sako Bistari terbitan Bina Karya Sdn.Bhd. (1988), Amanat Tun Dr. Ismail terbitan Pustaka Budaya Agensi, Petaling Jaya (1974) Gema Suci-Segugus Puisi Zulkifli Muhammad (pengumpul bersama A Zaki Fadil) terbitan Pustaka Budaya Agensi, Petaling Jaya (1975), Zakaria Hitam (Pak Zek Budayawan Berjasa) terbitan Bina Karya Sdn. Bhd. (1978) Perjuangan Suci UMNO terbitan Good Mark Enterprise (1993), UMNO Tunggak Perpaduan Melayu terbitan AKA Media (1993), Pemimpin dan Sasterawan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993) dan A. Samad Ismail.


Di samping itu, beliau juga mengusahakan penyelenggaraan dan penerbitan buku-buku lain seperti Ingin Jadi Pujangga (Koleksi Cerpen & Samad Ismail) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1995), Pak Sako Dar Sudut Pandangan Pak Samad terbitan Pustaka Budaya Agensi Sdn.Bhd (1997), Memoir Pak Sako Putera Gunung Tahan terbitan Penerbit UKM (1996), Antara Pemikiran A. Samad Ismail terbitan Penerbit Fajar Bakti Sda Bhd., Mutiara Fikir SN Keris Mas terbitan Pustaka Budaya Agensi (1997 Himpunan Pantun Pak Zek terbitan Bukuraya Media (1997), Ceramah Bahasa dan Sastera terbitan Pustaka Aman Press (1964), Warna Sari Kebudayaan terbitan Pustaka Aman Press(1966) dan Melayu Hilang Keberanian (Suatu Polimek) terbitan Pustaka Budaya Agensi Sdn. Bhd. (1998).


Bung Karim juga berjasa besar dalam perjuangan murni mengusahakan kerja-kerja penyelenggaraan dan penerbitan buku Kepimpinan Dalam Kebudayaan: Sari Pendapat Prof. Ismail Hussein terbitan Pustaka Budaya Agency Sdn. Bhd. (1983), Dua Novel Keris Mas: Pahlawan Rimba Malaya dan Korban Kesuciannya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1993), Sasterawan Negara Keris Mas: Dari Tanggapan Tokoh dan Sarjana (selenggaraan bersama A. Rahim Abdullah) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (2000), Peranan Sasterawan dan Kesusasteraan (Dari Sudut Pandangan Pemimpin dan Tokoh-tokoh Dari Pahang Darul Makmur, Memoir Ahmad Boestamam terbitan Penerbit UKM dan Yang Bernama Cinta (Himpunan Mutiara Kata Tentang Cinta) terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.


Berikutan kematian Bung Karim pada 5 Februari 2001 sejumlah besar buku-buku yang diselenggarakannya terbengkalai dan terbiar begitu sahaja tidak diusahakan oleh mereka yang ditinggalkannya. Di antara buku-buku selenggaraannya yang tergendala penerbitannya termasuklah Pemimpin Kecil Dari Kuala Semantan (Antologi Cerpen Penulis-penulis Pahang), Mengenang Asri, Ibrahim Yaakub-Pencetus Semangat Kebangsaan Melayu, Mengenang Ahmad Boestamam-Pejuang Kemerdekaan, A. Samad Ahmad Budayawan Nasionalis, Keris Mas-Sasterawan Nasionalis, Mengenang Tun Dr. Ismail-Wira Bangsa, A. Samad Ismail Pejuang Multiwarna, Antara Yang Difikir dan Ditulis (esei tersebar Dr. Mahathir), Pidato-pidato Pilihan Tokoh-tokoh Tanah air (diusahakan bersama Shaharom TM Sulaiman), Pengintipan (cerpen-cerpen Awam-Mil-Serkam) selenggaraan bersama Mawar Shafie dari UKM, Moostapir Monolog (cerpen-cerpen lain Dr. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dialog Dengan A. Samad Ismail, Pak Sako – Sasterawan Rakyat dan Karya Klasik Putera Gunung Tahan (Pak Sako) Dari Pelbagai Aspek.


Bung Karim meninggal dunia pada jam 6.50 pagi Isnin, 5 Februari 2001 di Hospital Universiti, Petaling Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Beliau meninggalkan seorang balu, Hajah Aishah binti Abdullah yang pernah bekerja sebagai kerani kewangan, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Beliau juga meninggalkan dua orang anak iaitu Aznul Shahrim dan Azlina dan lima orang cucu iaitu Muhammad Luqman Hakim, Siti Nur Jamilah, Farah Diana, Marina Nadira dan Muhammad Haziq .
Allahyarham A. Karim Haji Abdullah atau Bung Karim tidak banyak menulis tetapi menyelenggara dan menyusun esei-esei dan karya pelbagai tokoh dalam buku selenggaraannya di samping memberi kata pengantar atau pengenalan terhadap buku-buku selenggaraannya atau meminta sarjana atau tokoh yang pakar dan relevan menulis kata pengantar buku selenggaraannya.


Bagaimanapun dengan lebih 20 buah buku selenggaraannya sama ada yang diterbitkannya sendiri mahupun diterbitkan oleh penerbit besar Allahyarham A. Karim Haji Abdullah telah meletakkan asas dan tapak yang kukuh dalam arena penyusunan dan penyelenggaraan buku ilmu pengetahuan di negara ini yang lebih terasa kehadirannya sesudah kehilangannya. Apa yang diusahakan oleh A. Karim Haji Abdullah merupakan sumbangan besar tidak ternilai harganya kepada pengukuhan dunia persuratan dan pembinaan jati diri Melayu yang sukar dinilai dengan wang ringgit mahupun harta dunia kerana buku-buku yang dihasilkannya melestarikan dan mengunggulkan kecendekiawanan dan kecemerlangan tokoh-tokoh sastera Melayu seperti Pak Sako, Keris Mas, A. Samad Ismail, Prof. Zulkifli Muhammad dan sebagainya di tempat yang wajar pada saat masyarakat semakin melupakan dan terlupa fungsi dan sumbangan jasa mereka kepada bangsa dan negara.


Siapakah yang harus menggantikan dan meneruskan perjuangan tokoh dokumentasi dan penyelenggara buku ikhlas dan sejati seperti beliau meskipun belasan universiti awam dan lebih 600 kolej swasta ditubuhkan. Inilah di antara cabaran dan pesanan yang diwariskan oleh beliau untuk disambut oleh kita semua.

Kita selaku generasi muda Angkatan Abad 21 yang harus meneruskan tradisi dan perjuangan yang telah dirintisnya itu. Perjuangan serius dan memerlukan ketekunan seperti Bung Karim rintiskan akan sentiasa dikenang dan cuba dihayati oleh generasi kini. Kalau bukan calang-calang sarjana atau pengkaji tidak akan berupaya dan bertenaga melakukan apa yang telah dilakukan oleh beliau kerana ianya bagaikan institusi tersendiri yang kuat iltizam dan tenaga sasanya.


Sebagai usaha mengenang kembali jasa dan sumbangan beliau dalam dunia keilmuan dan perbukuan dititipkan sebuah puisi berjudul “Mengenang A. Karim Haji Abdullah (Bung Karim)” seperti berikut:

“Mengenang A. Karim Haji Abdullah (Bung Karim)” dedikasi kepada Allahyarham A. Karim Haji Abdullah yang membelanjakan dan menghabiskan sebahagian besar usianya yang terbaik untuk menyelenggara dan menyusun puluhan buku yang tidak ternilai harganya dalam usaha memelihara dan melestarikan warisan dan khazanah persuratan Melayu yang kerana usaha murni dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran duniawi generasi dan masyarakat kini lebih mengenal tokoh dan patriot bangsa seumpama Pak Sako, Keris Mas, A. Samad Ismail Ahmad Boestamam, Zulkifli Muhammad, Tun Dr. Ismail, Pak Zek, Ismail Hussein, A. Samad Ahmad dan seumpamanya sesungguhnya kau telah merintis denai baru dalam dunia penyelenggaraan buku yang akan cuba diikuti oleh kami daripada generasi baru supaya karya sastera tetap subur di alaf baru dan era siber buku dan sastera adalah jiwa sesuatu bangsa yang kerananya kita lebih manusiawi dan berperikemanusiaan serta berbudi terima kasih Bung Karim!

-Talib Samat

27 April 2001

Sumber – Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1, (Selangor: Pekan Ilmu Sdn. Bhd. 2010)