Hari ini 94 tahun yang lalu, demonstrasi transmisi televisyen warna pertama dijalankan oleh John Logie Baird.

Baird bukanlah individu pertama yang mencipta sistem televisyen, kerana percubaan menghasilkan alat paparan gambar bergerak bersama bunyi dipercayai sudah bermula sejak 1880-an, dan dijalankan oleh ramai individu serata Eropah dan Amerika Syarikat.

Pada usia 34 tahun, selepas tidak berapa berjaya dalam mencipta kasut bertapak angin dan pisau pencukur kaca serta bosan dengan karier menjual stokin, jem dan sabun, Baird menumpukan perhatiannya untuk membangunkan sistem televisyen.

Tanpa sokongan dana yang besar, pencipta berbangsa Scot itu membina televisyen hitam putih dengan mengolah lampu basikal, tin biskut, kadbod, tali dan jarum menjadi sistem mekanikal yang boleh memaparkan imej yang boleh dilihat dan dikenalpasti bentuknya.

Pada Januari 1926, Baird mempersembahkan ‘televisor’ ciptaannya itu kepada 50 orang saintis dari Royal Institution of Great Britain di makmal kecilnya di atas sebuah premis di Soho, London, dan ia telah mengujakan para hadirin.

Tahun berikutnya, televisyennya telah dipersembahkan menerusi talian telefon sepanjang 438 batu antara London dengan Glasgow. Kejayaan itu membuka pintu untuk Baird menubuhkan Baird Television Development Company (BTDC).

Di bawah syarikat tersebut, Baird meneruskan penyelidikan dan pembangunan sistem televisyen hingga berhasilnya transmisi berwarna, yang dipersembahkan kepada khalayak di makmalnya di Long Acre, London pada 3 Julai 1928.

Tahun yang sama juga, Baird menghantar transmisi televisyen pertama merentas Laut Atlantik dari London ke New York. Bermula tahun 1929, BBC menggunakan teknologi ciptaan Baird untuk menyiarkan program televisyen terawal mereka.

Namun pada ketika sama, banyak syarikat turut meneroka dan menambah baik teknologi televisyen sedia ada. Akhirnya pada 1937, BBC menggantikan sistem mekanikal Baird dengan sistem televisyen elektonik yang dibangunkan oleh Marconi-EMI.

Begitupun Baird tidak terus berhenti, dia kemudian hadir dengan teknologi televisyen elektrik menggunakan tiub sinar katod (CRT) serta beberapa lagi pembangunan lain seperti televisyen stereoskop (3D) dan infra merah.

Sumber: BBC, History Today