Doktor tertua di Dunia

Views: 38

Kisah ini mungkin boleh menjadi Inspirasi kepada para doktor muda masa kini. Semoga semakin ramai ahli perubatan kita bersemangat dan berdedikasi tinggi dalam mengubati para pesakit seperti mana yang dilakukan oleh Levushkina.

Levushkina atau nama penuhnya, Alla Ilyinichna Levushkina merupakan seorang doktor yang kini bekerja di City Hospital Ryazan dalam wilayah Moscow, Rusia.


Setiap hari, beliau memulakan tugasnya seawal 8.00 pagi di klinik hospital tersebut sebelum beralih ke bilik operasi sekitar pukul 11.00 pagi untuk melakukan kerja kerja pembedahan.

Percaya tidak, beliau telah memegang profesional itu sejak tahun 1950-an lagi. Bermakna, sudah lebih 67 tahun dia berkecimpung dalam dunia kedoktoran. Jadi, cuba teka berapakah umur beliau? Ya, lebih  89 tahun!


Benarlah orang kata, usia itu hanya sekadar angka. Betapa tidak, tatkala warga emas lain mengalami sakit tua dan menghabiskan hujung usia dengan berehat, lain pula dengan Levushkina. Dalam usia lanjut sebegitu, dia tetap sihat, kuat, bahkan masih gagah melakukan beratus-ratus pembedahan dalam setahun.

Walaupun tetap memiliki tenaga orang muda, namun pada usia 89 tahun, tubuh Levushkina didapati menyusut secara alamiah seiring dengan pertambahan usianya Selama proses penuaan, kira-kira 15 peratus dari tulang kerangka beliau menjadi rapuh, lemah menipis bahkan memendek atau di sebut sebagai osteoporosis.

Proses tadi menyebabkan tubuhnya menjadi semakin pendek, mengecil dan membongkok – sama seperti orang tua lainnya.Difahamkan, ketinggian Levushkina sekarang semakin rendah iaitu sekitar 143 sentimeter (cm) berbanding sebelumnya. Lantaran itu, setiap kali melakukan pembedahan, beliau terpaksa berdiri di atas platform khas bagi membolehkannya dapat melihat pesakit yang terbaring di meja pembedahan dengan jelas. Dan dikatakan, dia juga memerlukan bantuan seseorang untuk naik ke platform tersebut.


Walaupun ada sedikit ke terbatasan di situ, namun wanita yang digelar sebagai doktor tertua di dunia ini tidak pernah berasa lelah untuk terus berbakti kepada masyarakat. Lebih mengagumkan, dedikasi yang tinggi dalam merawat pesakit membolehkan beliau terus senantiasa bersemangat dalam memberikan rawatan luar biasa kepada ribuan pesakit sampai ke hari ini.


Tambah mengagumkan, selama 67 tahun sebagai pakar bedah, doktor ini telah berjaya melaksanakan lebih 10,000 pembedahan tanpa ada rekod kematian dicatatkan. Ternyata, dia juga sangat berbangga dengan pencapaian tersebut kerana itu adalah antara impiannya sejak kecil.


Menurut Levushkina, cita-cita awal beliau sebenarnya ingin menjadi seorang ahli geologi. Lama selepas itu, dia tertarik untuk bergelar seorang ahli bedah selepas terbaca sebuah novel tentang kerjaya doktor. 
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Moscow Medical Institute. Kebetulan pada masa itu, terdapat persaingan sengit untuk mendapat tempat di institut tersebut. Namun berkat usaha dan rezeki, dia akhirnya berjaya menamatkan pelajaran dengan cemerlang.


Sebaik sahaja tamat pengajian, beljau kemudian bertugas City Hospital Ryazan dan memilih untuk mengkhususkan diri dalam bidang proctologist. Proctologist merupakan cabang perubatan yang berhubung kait dengan masalah usus, rektum dan dubur. Dilaporkan, sangat sedikit dalam kalangan doktor di Rusia yang ingin menangani bahagian organ ter sebut. Tapi, tidak bagi dirinya.


Kerana kecintaan yang tinggi terhadap profesionnya itu memungkinkan dia kekal membujang sampai sekarang. Pada usia 89 tahun, Levushkina sebenarnya belum berkahwin. Orang putih kata, ‘single and available’ lagi.


Dalam kehidupan harian, beliau juga dilihat sangat sederhana malah jauh sekali hidup bermewah-mewah. Bayangkan, seorang yang bergelar doktor pakar hanya tinggal di apartmen studio-satu perkara yang jarang dilakukan oleh kebanyakan orang terutama mereka berjawatan tinggi.


Di rumah yang bersaiz sederhana luar itu, dia tidak hidup bersendirian Turut tinggal bersama beliau ialah sepupunya yang lumpuh serta lapan ekor kucing comel dan sangat manja yang sudah dianggap sebagai ‘anak’ sendiri.


Melihat keadaan doktor ini, ramai bertanya – apakah dia tidak mempunyai rencana untuk bersara? Di Rusia, umur persaraan kakitangan awam jalah 50 tahun. Dan jika dikirakan, Levushkina sudah 39 tahun melepasi tempoh persaraan itu. Akan tetapi, sehingga kini beliau masih tetap aktif dan belum menunjukkan tanda-tanda untuk mengakhiri kariernya.


Ujar Levushkina, doktor bukanlah satu profesion, tetapi ia satu cara hidup dan tanggungjawab. Katanya lagi, beberapa tahun lalu, ada kes pesakit di mana tiada seorang pun pakar bedah mahu melakukan pembedahan ke atas mereka. Selepas membantu mereka, kini pesakit itu hidup sihat dan gembira bersama keluarga. Memikirkan hal itu, beliau masih belum memikirkan atau berhasrat untuk bersara.


Dia juga masih setia bekerja kerana minat dan kecintaannya untuk membantu orang lain. Dalam satu sesi temu bual bersama media antarabangsa tidak lama dahulu, Levushkina pernah mendedahkan rahsia beliau kekal sihat dan memiliki umur panjang. Katanya, dia cuma banyak ketawa dan menangis. Dalam bab makan pula, tiada istilah pantang dalam menikmati makanan kerana dia bedal semuanya. 


Artikel ini ditulis Oleh ROSMINAH HAJI BAKKANG

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Comment

%d bloggers like this: