17 Ogos 1969, hari ini 53 tahun yang lalu, Festival Muzik Woodstock di New York melabuhkan tirainya.

Dicanang sebagai “Three Days of Peace & Music,” festival tersebut adalah hasil kerjasama John Roberts, Joel Rosenman, Aetie Kornfield & Michael Lang yang bermatlamat untuk mengumpul dana bagi membina sebuah studio rakaman dekat pekan Woodstock.

Apabila gagal menemukan venue yang sesuai di pekan itu, mereka memutuskan untuk menganjurkan festival tersebut di sebuah ladang tenusu seluas 600 ekar di Bethel, NY – sekitar 50 batu dari Woodstock – yang dimiliki oleh Max Yasgur.

Menjelang hujung minggu sebelum festival bermula, 186,000 tiket sudah terjual & mereka menjangkakan tak lebih 200,000 akan hadir. Namun Jumaat malam itu, ribuan mengasak pagar masuk & akhirnya penganjur membuka konsert itu kepada semua secara percuma.

Hampir setengah juta manusia menghadiri Woodstock. Kuyup dibasahi hujan & bergelumang lumpur becak, hadirin menyaksikan persembahan daripada 32 kumpulan pemuzik seperti Janis Joplin, Joe Cocker, Jefferson Airplane, Santana & The Who.

Kemuncak Woodstock yang paling diingati oleh para hadirin & peminat adalah persembahan terakhir daripada Jimi Hendrix yang menutup tirai festival itu dengan petikan gitar solo lagu kebangsaan A.S. “The Star-Spangled Banner.”

Di sebalik detik-detik unggul di atas pentas, ramai menggambarkan suasana di festival itu sebagai sesak & huru-hara, dengan fasiliti tandas & khemah pertolongan cemas yang disediakan tidak mencukupi untuk khalayak yang begitu besar.

Bagaimanapun, ada beberapa episod kekecohan sepanjang 3 hari festival tersebut berlangsung di mana seorang remaja secara tidak sengaja mati dilanggar sebuah traktor & seorang lagi maut akibat pengambilan dadah berlebihan.

Begitupun, Festival Muzik Woodstock dianggap sebagai detik penting dalam sejarah muzik popular yang menjadi kemuncak manifestasi generasi kontra-budaya di era 60-an.

Sumber: History, Woodstock