5 Jun 2015, 7 tahun yang lalu, gempa bumi melanda Ranau, Sabah.

Pada jam 7.15 pagi, berlakunya gegaran yang berpusat di 15 km utara Ranau pada kedalaman 10 km & berlangsung selama 30 saat. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi itu berukuran 5.9 skala Richter.

Gegaran dapat dirasakan di kawasan sekitar antaranya Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, Likas, Putatan, Beaufort, Keningau, Sandakan, Tawau malah sehingga ke Labuan, Lawas, Limbang juga Miri, Sarawak serta Bandar Seri Begawan, Brunei.

18 kematian dilaporkan, semuanya melibatkan pendaki gunung Kinabalu iaitu 10 warga Singapura dari Sekolah Rendah Tanjong Katong, 6 warga Malaysia termasuk 4 orang malim gunung, seorang warga Jepun & seorang lagi warga China.

Ia turut menyebabkan salah satu puncak ikonik gunung Kinabalu dipanggil ‘Telinga Keldai’ (Donkey’s Ears) patah. Air Kolam Air Panas Poring menjadi keruh, infrastruktur sekitar mengalami kerosakan & kira-kira 23 bangunan sekolah di 6 daerah terjejas.

Orang tempatan percaya ia berlaku akibat kemurkaan “Aki”, semangat gunung Kinabalu terhadap tindakan sekumpulan pelancong Barat yang berbogel & membuang air kecil di puncak gunung yang dianggap suci itu pada 30 Mei, 6 hari sebelum kejadian.

3 gempa susulan berlaku pada malam tersebut antara jam 9 pm hingga 11.30 pm , dua yang pertama bermagnitud 4.3 sementara yang ketiga berskala 2.8. Sehingga 23 Jun 2015, 90 gempa susulan dilaporkan di Ranau pada skala sekitar 1.6 hingga 5.2.

Ekoran itu, stesen seismik pengesan gempa dipasang di seluruh negara dengan penumpuan diberikan kepada Sabah. Gempa 2015 itu adalah yang terkuat melanda negara sejak gempa 1976, juga di Sabah.

Sumber: Astro AWANI, MetMalaysia