23 Jun 2013, 9 tahun yang lalu, Nik Wallenda berjaya berjalan merentas “Grand Canyon” di atas wayar kabel.

Wallenda dikenali sebagai “Raja Wayar Tinggi, ” generasi ke-7 keluarga akrobat sarkas legenda Great Wallendas & mula berjalan di atas wayar seawal usia 4 tahun. Beliau memegang 11 Rekod Dunia Guinness untuk aksi akrobatik & rentasan wayar tinggi.

Antaranya rekod dipegang adalah menjadi yang pertama merentas Air Terjun Niagara pada Jun 2012. Tahun sebelum itu beliau & ibunya merentas 2 menara hotel di San Juan, Puetro Rico di mana moyangnya, Karl Wallenda jatuh & mati dalam percubaannya pada 1978.

Setahun selepas aksi Niagara itu, Wallenda berhajat mahu merentas gaung di Grand Canyon. Namun beliau tidak diberi kebenaran oleh pihak pengurusan taman negara tersebut untuk mengelak kerosakan ketenteraman & imej tempat itu sekiranya kecelakaan berlaku.

Lokasi baharu dipilih di gaung Sungai Colorado Kecil yang berada dalam kawasan Taman Puak Navajo bersebelahan Grand Canyon. Ada yang memanggil kawasan itu “Grand Canyon kecil” & sungai itu mengalir ke Sungai Colorado di dalam Grand Canyon.

Di atas wayar kabel setebal 2 inci pada ketinggian 457 meter (lebih tinggi daripada Bangunan Empire State), Wallenda berjalan membawa galah pengimbang tanpa memakai sebarang penambat keselamatan. Ia merupakan aksi paling tinggi yang pernah dilakukannya.

Wallenda berkata beliau sudah berlatih untuk berpaut pada wayar jika berlaku kecemasan & pasukan penyelamat bersedia dengan helikopter yang akan menyelamatkannya dalam tempoh 60 saat. Aksi itu disiar secara langsung di Discovery Channel.

Di pertengahan jalan, Wallenda berhenti & melutut di atas wayar itu 2 kali apabila angin kuat bertiup. Akhirnya selepas 22 minit 54 saat, beliau berjaya menamatkan perjalanan sejauh 430 meter merentas gaung itu, yang menjadi Rekod Guinness ke-7 buat dirinya.

Sumber: History, Forbes