2 Jun 2012, 10 tahun yang lalu, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Revolusi Mesir yang meletus pada 25 Januari 2011 membawa kepada penggulingan Hosni pada bulan berikutnya selepas 30 tahun memerintah. Namun pemberontakan selama 18 hari itu turut menyaksikan sekitar 850 orang awam maut.

Ia akibat pertempuran penunjuk perasaan dengan anggota polis yang lengkap bersenjata & Hosni didakwa bertanggungjawab atas kematian mereka. Bersama dakwaan korupsi, Hosni & keluarganya dilarang meninggalkan negara & diletakkan bawah tahanan rumah.

Hosni mendapat perintah untuk dibicarakan pada Mei 2011 & perbicaraan ke atas beliau, 2 anaknya Ala’a & Gamal, bekas Menteri Dalam Negeri, Habib el-Adly & 6 bekas pegawai tertinggi polis dimulakan pada 3 Ogos 2011 di mahkamah jenayah Akademi Polis, Kaherah.

Selepas lebih 8 bulan perbicaraan, Hosni bersama el-Adly dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan ‘tidak bertindak untuk menghentikan pembunuhan orang awam oleh pihak polis.’ Namun mereka dibebaskan daripada pertuduhan korupsi.

2 anaknya & 6 pegawai tertinggi polis terbabit pula dibebaskan daripada pertuduhan terlibat dalam pembunuhan itu kerana kekurangan bukti. Keputusan mahkamah itu mencetuskan kemarahan orang ramai lalu ribuan berhimpun menuntut pembalasan yang lebih adil.

Selepas hukuman dijatuhkan, Hosni yang terbaring di atas katil ekoran kesihatannya semakin merosot akibat pelbagai jenis kanser dibawa menaiki helikopter ke hospital Penjara Tora di pinggir Kaherah. Beliau dibebaskan pada Ogos 2013 untuk dibicarakan semula.

Hosni dipindahkan semula ke hospital tentera Kaherah & ketika menunggu perbicaraan semula pertuduhan pembunuhan pemprotes, Hosni dihukum penjara 3 tahun atas kesalahan korupsi pada Mei 2014. Ia disusuli satu lagi perbicaraan semula pertuduhan korupsi.

Sekali lagi beliau didapati bersalah & dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun pada Mei 2015. Namun Hosni kekal di hospital tentera itu kerana masalah kesihatannya yang semakin memburuk, hinggalah beliau meninggal dunia pada 25 Februari 2020 di usia 91 tahun.

Sumber: The Guardian, Reuters