Idea pembinaan negara dan bangsa

Share

Konsep negara bangsa merujuk pada pembentukan negara bangsa moden di Eropah. Idea ini tercetus di Barat pada penghujung abad ke-18 dan ke-19 ekoran tercetusnya Revolusi Inggeris 1688, Perang Kemerdekaan Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789. Pada ketika itu muncul idea tentang hak rakyat, kerajaan berperlembagaan dan negara bangsa moden. 


Pembentukan negara moden ini adalah mengikut sempadan rumpun bangsa bagi menggantikan bentuk negara feudal. Di Eropah Barat, zaman moden awal dianggap bermula pada sekitar pertengahan atau penghujung abad ke-16. Dari segi pertumbuhan nasionalisme, zaman ini penting kerana telah memperlihatkan bibit-bibit kelunturan entiti politik berasaskan keagamaan dan kemunculan idea negara bangsa. Kebangkitan nasionalisme telah mengancam empayar Austria, Rusia dan Turki yang mempunyai penduduk berbilang bangsa. 

Para nasionalis menggunakan unsur persamaan rumpun bangsa dan bahasa untuk membentuk negara bangsa masing-masing. Penyatuan dan pembentukan negara bangsa merupakan matlamat akhir para nasionalis. Perang Dunia Pertama yang tercetus pada tahun 1914 hingga tahun 1918 berakhir dengan kekalahan Jerman dan sekutunya. Di Perancis, Persidangan Damai Paris telah mencapai kesepakatan melalui Deklarasi Empat Bela Perkara Woodrow Wilson. 


Deklarasi ini telah mencadangkan dua prinsip, iaitu penentuan nasib negara oleh rakyat sendiri dan prinsip sempadan negara berasaskan bangsa. Ekoran itu, empayar Austria Hungary dan Turki yang mengalami kekalahan telah dibahagi-bahagikan. Keadaan ini menyebabkan pelbagai golongan etnik dan bangsa tersebut beroleh kemerdekaan, Dengan itu, muncullah negara bangsa yang baru. Tujuh negara bangsa baru yang muncul di Eropah ialah Czechoslovakia, Estonia, Finland, Latvia, Lithuania Poland dan Yugoslavia. Yugoslavia terdiri daripada Serbia, Slovenia, Montenegro, Croatia dan Bosnia-Herzegovina.
Negara Itali dan Jerman merupakan contoh negara bangsa yang dibentuk pada abad ke-19 Itali pada mulanya terbahagi kepada beberapa buah wilayah. Di bahagian utaranya, beberapa wilayah seperti Venetia dan lombardy masih dikuasai oleh Austria. Orang Itali mahu menyatukan wilayah-wilayah mereka di bawah sebuah pemerintahan dan menghalau orang Austria dari bumi Itali. 

Dengan menggunakan amalan realpolitik Count Camillo Benso di Cavour berusaha menyatukan Itali menjadi sebuah negara. Count Camillo Benso di Cavour sangat menyanjung penyatuan Itali berlandaskan pemerintahan monarki dan beliau telah mewujudkan kerjasama dengan Napoleon II (pemerintah Perancis) bagi menentang Austria pada tahun 1860. Hasil bantuan tentera Napoleon III, Itali berjaya menewaskan Austria. Melalui satu pungutan suara yang diadakan, Count Camillo Benso di Cavour memperoleh sokongan majoriti rakyat untuk menyatukan Itali. Pada tahun 1866, sebagai balasan terhadap kerjasama Itali membantu Prussia menewaskan Austria wilayah Venetia telah dipulangkan kepada Itali. Pada tahun 1870, Perancis mengundurkan tenteranya dari Rom, dan Count Camillo Benso di Cavour mengambil peluang ini menyatukan Rom dan Itali. Penyatuan ini akhirnya telah membentuk sebuah negara
bangsa Itali.


Di Jerman, Otto Eduard von Bismarck juga mengamalkan realpolitik dan politik darah don besi untuk menyatukan negara ini pada tahun 1871. Bismarck telah menggunakan pelbagai taktik seperti tipu helah, pemalsuan dokumen, provokasi, penipuan dan ugutan untuk mencetuskan peperangan. Matlamatnya adalah untuk menyatukan Jerman. Rakyat Jerman bersedia menerima sistem kediktatoran yang dianjurkan oleh Bismarck untuk menyatukan Jerman. Bismarck telah menggunakan isu membenci kuasa asing untuk memenangi dan membangkitkan semangat rakyat Prussia di medan tempur.

Berbeza daripada pembentukan negara bangsa di Eropah yang mengamalkan realpolitik serta politik darah dan besi, pembentukan kerajaan Islam di Madinah merupakan satu contoh penyatuan melalui prinsip Islam. Nabi Muhammad s.a.w. menyusun perlembagaan terlebih dahulu sebelum mengasaskan kerajaan Islam di Madinah. Piagam Madinah berjaya menyatukan penduduknya yang berbilang kaum, iaitu orang Yahudi, orang Kristian dan orang Arab Dengan cara diplomasi, musyawarah dan permuafakatan, baginda berjaya membentuk kerajaan Islam di Madinah. 

Pembentukan kerajaan Islam di Madinah telah membuktikan bahawa kejayaan tersebut adalah disebabkan oleh wujudnya amalan kerjasama dan permuafakatan antara pemimpin dengan pemimpin dan antara pemimpin dengan rakyat Amalan ini patut dicontohi untuk menjamin keutuhan negara dan bangsa. 

Pembentukan negara kita pula adalah berkat kebijaksanaan pemimpin dan tidak melibatkan pertumpahan darah. Kemerdekaan yang dicapai oleh negara kita adalah melalui rundingan, pakatan murni dan tolak ansur antara tiga kaum yang terbesar di negara ini. Kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin-pemimpin kita dalam memperjuangkan sebuah negara yang berdaulat patut dicontohi oleh generasi muda kita pada hari ini untuk melahirkan perasaan bersatu padu di kalangan rakyat yang berbilang kaum demi membentuk bangsa Malaysia yang kukuh.


Kerajaan ialah institusi pemerintah yang bertanggung jawab menggubal dan melaksanakan dasar sesebuah negara. Kerajaan atau institusi pemerintah ini merangkumi semua badan yang membuat, mentafsirkan dan melaksanakan dasar dasar tersebut. Kerajaan juga bertindak sebagai pengaman dan penentu arah kehidupan masyarakat sesebuah negara. Kerajaan di negara kita merujuk kepada tiga badan dalam pemerintahan, iaitu Badan Perundangan, Badan Pelaksana dan Badan Kehakiman.


Perlembagaan merupakan peraturan tertinggi sama ada bertulis atau tidak bertulis yang menjadi rujukan dan panduan bagi mentadbir dan memerintah sebuah negara. Di Malaysia, perlembagaan merupakan peraturan bertulis tertinggi yang didokumenkan dan dijadikan rujukan untuk mentadbir negara. Perlembagaan bertujuan memberikan jaminan perlindungan kepada rakyat negara ini.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: