Orang Melayu zaman dahulu adalah sebuah masyarakat yang mempunyai keilmuan yang cukup tinggi dalam pelbagai bidang. Ini dibuktikan dengan pelbagai ilmu yang dimiliki dan dicatitkan di dalam pelbagai jenis kitab samada dalam tulisan asli Melayu rencong atau jawi. Malah kepelbagaian ilmu yang dimiliki oleh bangsa Melayu ini mencangkupi semua aspek kehidupan seharian. Malah dalam ilmu pemeliharaan binatang liar juga turut dibukukan, supaya memudahkan rujukan pada masa hadapan.


Orang Melayu zaman dahulu sejak dari zaman kerajaan Funan, Champa dan Kerajaan Melayu Melaka memang sinonim dengan gajah. Bagi orang Melayu zaman dahulu ianya bukan sekadar menjadi simbol kekuatan tetapi penggunaan gajah digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti peperangan, pembalakkan, hiburan, pengangkutan, perdagagangan dan keselamatan. Malah gajah satu ketika dahulu merupakan binatang peliharaan wajib bagi raja-raja Melayu zaman dahulu.


Gajah seperti yang kita ketahui adalah sejenis binatang liar yang ganas dan merbahaya. Bagi menjinakkan atau melatih gajah liar adalah bukan suatu pekara yang mudah. Perlatihan atau menjinakkan gajah liar ini memerlukan cara, ilmu dan pengalaman yang betul. Hal ini bagi mengelakkan pekara yang tidak diingini berlaku kepada pemilik, penjinak, pelatih dan kepada haiwan tersebut juga.


Malah dari situ lah orang Melayu zaman dahulu telah mencipta sebuah kitab lengkap ilmu pemeliharaan gajah ini. Malah kitab ini tidak hanya menumpukan pada ilmu penjagaan gajah sahaja tetapi seluruh aspek berkaitan gajah peliharaan ini. Hal termasuk rawatan penyakit, petua, azimat dan mantera berkaitan gajah peliharaan ini.

Kitab Gajah ini dikatakan berasal dari Hulu Perak. Menggunakan tulisan jawi sebagai bahasa pengantar nya. Kitab ini dahulunya dimiliki oleh Dato Seri Andika Raja atau dikenali sebagai Orang Kaya-Kaya Seri Andika Raja. Malah kehebatan orang Melayu dalam ilmu pemeliharaan gajah ini pernah dinyatakan dalam Journal of the Strait Branch of the Royal Society bilangan 45, 1906 oleh Sir William George Maxwell yang merupakan Residen Perak ke 13 iaitu dari 1918 hingga 1919.

Mantra Gajah boleh dikelaskan sebagai ‘kitab perubatan’ untuk mengendalikan gajah. Penulis boleh meringkaskan bahagian-bahagian dalam Mantra Gajah terbahagi kepada 4 bahagian.

  1. Jampi-jampi serapah yang digunakan untuk melembutkan hati gajah serta menjinakkan gajah liar.
  2. Pelbagai perkongsian dan jenis-jenis perubatan herba yang digunakan oleh pawang gajah untuk mengubati sakit-sakit gajah.
  3. Petua-petua untuk memelihara gajah supaya sentiasa sihat, berani, gemuk serta memiliki gading yang cantik.
  4. Ilmu serta petua untuk menghalau hantu jembalang rimba di dalam hutan (semasa proses untuk menangkap gajah).

Kitab mantra ini telah memudahkan cara mengendalikan gajah, dan sangat praktikal untuk digunakan pada zaman silam. Mungkin sebilangan dari kita yang akan mempersoalkan kerelevanan kitab ini, tapi dalam zaman silam terutama pawang gajah yang benar-benar menguasai ilmu Mantra Gajah ini dapat menemui kebenarannya.

Selain digunakan untuk tujuan ‘bermain-main’ atau pertunjukan kepada para sultan, gajah juga dijadikan sebagai kenderaan. Banyak catatan-catatan silam yang menggunakan gajah dalam kehidupan seharian, bukan haya melibatkan sultan, malah kadang kala rakyat biasa juga turut menggunakan dan memilikinya. Isabellah Bird (seorang pengembara silam) yang pernah sampai ke Perak telah disambut dengan kenaikannya adalah gajah milik Sultan Abdullah.

Bagi para pemilik gajah, kesihatan gajah adalah sangat penting, terutama untuk melakukan kegiatan harian, serta dijadikan kenaikan rasmi para sultan dan pembesar. Seperti yang disebut oleh J.M Gullick di utara Perak terdapat seorang dikenali sebagai Syed Zain dan memiliki gajah. Kesihatan gajah penting, termasuklah gading nya yang dikatakan sangat berperanan besar dalam aspek perubatan.

Bahasa yang digunakan dalam kitab mantra menerima pengaruh Hindu-Buddha, dan digarap dengan menggunakan campuran bahasa Melayu dan bahasa Sankrit. Mungkin juga campuran ini adalah pengaruh dari kebudayaan Siam yang diterima oleh masyarakat Hulu Perak yang berhampiran dengan Siam.