Negeri Sarawak tidak pernah ketandusan dalam menghasilkan pahlawan pahlawannya sejak zaman sebelum merdeka mahupun sesudah merdeka. Pada era sebelum merdeka, negeri Sarawak memunculkan pahlawan seperti Rentap, Rosly Dhoby, Sharif Mahsor dan sebagainya yang ikut memerangi penjajah Inggeris dan memerangi tentangan yang wajar ke atas mereka.


Pada zaman sesudah merdeka, negeri Sarawak memunculkan pahlawan seperti Kanang Anak Langkau yang berjasa dalam memerangi pengganas komunis dan tentera Indonesia sewaktu era konfrontasi di Malaysia Barat.


Kanang anak Langkau dilahirkan di Karangan Manok, Nanga Meluan, Sarawak pada 2 Mac 1945. Beliau merupakan anak jati negeri Sarawak, berbangsa Iban dan beragama pagan tetapi mempercayai kewujudan Tuhan.


Beliau merupakan anak kelima daripada enam orang adik-beradik, tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan. Beliau mendapat pendidikan di sekolah hulu bernama Sekolah Local Authority yang terletak di Kanowit dalam Bahagian Ketiga Sarawak. Beliau terdaya menghabiskan persekolahan setakat darjah tiga. Sesudah meninggalkan alam persekolahan, beliau kembali ke kampung dan hidup bersama-sama datuk dan neneknya. Ibu bapanya berpisah sewaktu beliau masih kecil benar. Sewaktu berada di kampung, beliau sering mengikut ke mana di hutan dan melakukan kerja-kerja seperti yang dilakukan oleh datuknya sahaja dibawa oleh datuknya sama ada ke sungai menjala ikan, memburu sambil belajar membina kehidupan yang lasak dan mencetuskan semangat keberanian menghadapi alam sekitar yang mencabar.


Kehidupannya di Nanga Meluan, Sarawak diteruskan dengan melakukan pelbagai pekerjaan lasak seperti membawa penumpang dengan perahu berenjin, menoreh getah, membekukan getah, memesin untuk menjadikannya getah keping dan menjemur hingga kering. Beliau juga pernah menjadi tukang masak kepada seorang Inggeris yang bernama Mr. Ford. Beliau juga mengemudi perahu milik Mr. Ford untuk mengangkut arang batu untuk dipindahkan ke sebuah kapal besar. 

Apabila pekerjaan itu ditutup kerana Mr. Ford tidak disambung kontraknya, beliau kembali ke sungai meneruskan kerja membawa perahu untuk meraih penumpang. Kesemua pekerjaan lasak dan penuh derita ini memberinya banyak pengajaran dan pengalaman yang sangat berguna.


Senario hidupnya berubah tanpa dirancang apabila dia membawa perahu berisikan dua puluh orang anak muda yang tampak dan segak untuk menghadiri temuduga dan pemilihan pasukan Sarawak Rangers di sebuah sekolah pada bulan Mac 1962 sewaktu berusia 17 tahun. Beliau tanpa dirancang mengikuti pergerakan pemuda itu ke tempat temu duga dan dipelawa oleh seorang lelaki kulit putih berpakaian seragam tentera British. Tentera British itulah mendorongnya berbaris dan menyertai temuduga mengambil calon anggota Iban Tracker. Beliau juga memiliki surat sokongan daripada Mr. Ford yang menyokongnya untuk memasuki Iban Tracker yang sememangnya dibawa sewaktu menghadiri sesi temu duga yang bersejarah itu.


Beliau lulus dalam temuduga yang tidak pernah dirancang itu dan memulakan kerjayanya dalam pasukan Sarawak Rangers pada 21 April 1962 sebagai seorang Iban Tracker. Beliau melaporkan diri di markas Sarawak Rangers dan kemudiannya dihantar ke Sekolah Latihan Peperangan Hutan (kini dikenali Pusat Latihan Tentera Darat atau ringkasnya PULADA) di Ulu Tiram, Johor.


Menurut Maznan Noordin dalam bukunya Kanang Cerita Seorang Pahlawan menyebutkan, “Saya menjalani latihan rekrut di tempat tersebut selama sebulan. Di pusat latihan ini saya dibentuk dan dididik oleh jurulatih jurulatih daripada tentera British untuk menjadi seorang perajurit yang gigih dan berdisiplin tinggi. Ini termasuk memahirkan diri dalam mengendalikan senjata api dan taktik peperangan hutan. Kami juga dilatih mengesan. (2001: 18).

Di situ juga beliau belajar pelbagai aspek ketenteraan seperti belajar menumpaskan musuh dan dididik agar tidak mengenal erti takut dalam menghadapi segala kemungkinan. Di situ juga, beliau belajar mengesan yang merupakan salah satu latihan ketenteraan yang amat berkesan kepadanya. mengetahui ranting patah disebabkan binatang atau manusia dan, berapa lama kesan itu telah ditinggalkan. Beliau juga diajar menghidu dan mengesan segala perubahan yang terjadi di sesuatu kawasan hutan. 

Di sekolah tentera itu juga, beliau diajar mengagak ada atau tidak musuh di sesuatu kawasan itu.
Paduan di antara ilmu yang dipelajari di sekolah tentera itu dengan pengalaman ketika berburu dengan datuknya dahulu sewaktu tinggal di Sarawak sangat membantunya memantapkan asas sebagai seorang tentera dan pahlawan negara.


Sebagai Iban Tracker, beliau mula-mula ditugaskan di dalam Pasukan 42 Komando Tentera British pada tahun 1962. Pasukan berpangkalan di sebuah kem dekat dengan Selat Tebrau di Johor. Beliau juga terlibat dalam operasi menumpaskan Pemberontakan Azahari di Brunei pada bulan Februari 1963.


Sewaktu berlangsungnya era konfrontasi di antara Indonesia dengan Malaysia, beliau ikut terlibat dan ditugaskan menumpaskan sekumpulan tentera Indonesia yang sudah mendarat di Kota Tinggi, Johor dan mahu melakukan pencerobohan ke atas negara ini. Kepakaran dan kepandaian pasukan Iban Tracker dalam gerakan menjejak musuh itu memang sangat diperlukan. Beliau dan pasukannya diterbangkan dari Sarawak dan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura.


Beliau dan pasukannya dari Iban Tracker serta pasukan tentera lain yang sudah ada di Johor bergabung tenaga untuk memburu pasukan tentera penceroboh dari Indonesia yang sebelumnya menumpaskan satu platun tentera Malaysia. Beliau berasa cukup gembira dalam operasi memburu tentera musuh itu beliaulah orang yang diberi tanggungjawab dan berjaya menjejaki gerombolan tersebut.


Pertempuran hebat berlaku di antara tentera Malaysia dengan tentera Indonesia yang datang menceroboh di bumi Kota Tinggi, Johor dan berjaya ditumpaskan. Kanang anak Langkau terlibat dalam operasi bersejarah itu. Dalam pertempuran itu mereka telah berjaya membunuh 13 orang musuh menawan seorang lagi yang telah tercedera. Pasukan musuh mengalami kekalahan teruk kali ini.


Maznan Noordin mencatatkan, “Dalam pertempuran inilah saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri bagaimana manusia tidak dimakan peluru. Ini bukan pula bermaksud seseorang itu tidak mati apabila terkena peluru sebaliknya tubuh badannya tidak cacat cela, yang kelihatan hanya bekas-bekas hitam terkena peluru. Lelaki itu hanya mati apabila seorang anggota kami bernama Banta menembaknya dengan peluru SMG. Renjer Banta berdiri di atas bahu saya untuk menembak orang itu.

Itu pun hanya sedikit terguris di kepalanya akibat peluru SMG.” (Kanang Cerita Seorang Pahlawan, 2001: 28).  Pada bulan Disember 1963 bertempat di Lubuk Antu, Sarawak Sewaktu suasana konfrontasi masih tegang, beliau ditumpangkan untuk membuat Tugas jejakan dengan Pasukan 42 Komando Tentera British Di dalam Saturday Pertempuran, pasukannya telah tersepit dan pasukan musuh hampir-hampir berjaya Membunuh Pegawai Memerintahnya ketika itu. Beliau tanpa mengira keselamatan Diri telah mengeluarkan Pegawai Memerintah itu dari kawasan pertempuran lalu menyelamatkannya.

Bagaimanapun beliau tidak mendapat apa-apa pengiktirafan daripada pihak tentera British dan menganggapnya sebagai tanggungjawabnya sebagai perajurit. Pada suatu ketika, beliau pernah ditawan oleh tentera Siliwangi dari Indonesia tetapi dengan kepantasannya berfikir, beliau berjaya melepaskan diri daripada tawanan kerana berlagak dan bertutur dalam bahasa Iban.

Pada penghujung tahun 1964, beliau dipinjamkan pula ke Pasukan 1st Royal New Zealand Army dan mempelajari cara-cara pergerakan dalam kumpulan-kumpulan kecil. Sewaktu bertugas dengan pasukan itu, beliau pernah meredah hutan dari Kuching sampai ke Lubuk Antu dalam jangka waktu yang lama sehingga melangkaui tempoh enam bulan. Beliau berkahwin dengan Helen pada 25 Mei 1965 di Simanggang untuk menamatkan alam bujang. 

Sewaktu berlangsungnya hari perkahwinan sewaktu itulah beliau menerima arahan untuk menjejak anggota Pasukan 1st Royal New Zealand yang hilang dan berjaya ditemui sesudah tempoh tiga hari dan beliau kembali ke kampungnya untuk menyambung upacara perkahwinan yang telah pun selesai. Begitulah di antara pengorbanan besar anggota tentera yang perlu mengutamakan tugas untuk negara daripada kepentingan peribadi.

Sewaktu berlaku pengunduran tentera British atau lainnya, beliau diberikan pilihan untuk berhenti atau menyerap ke dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia dengan memasuki Batalion Pertama Rijemen Malaysia (Rejimen 1 Renjer). Beliau menyertai pasukan itu dengan nombor 901738 Prebet Kanang Anak Langkau. Proses penyerapan masuk ke Rejimen 1 Renjer terjadi pada tahun 1963.


Rejimen 1 Renjer telah ditubuhkan terdahulu iaitu di Ulu Tiram, Johor pada 16 September 1963 bersempena dengan peristiwa pembentukan Malaysia. Pegawai Memerintahnya yang pertama seorang pegawai Inggeris yang dipinjamkan iaitu Leftenan Kolonel E. Gospil. Manakala Pasukan Sarawak Rangers kini dikenali dengan nama Rejimen Renjer. Tarikh 4 Oktober 1965 adalah tarikh yang bersejarah bagi Rejimen Renjer kerana pada hari itu telah berlangsung istiadat penyerahan Batalion Pertama dan Batalion Kedua Rejimen kepada Kerajaan Malaysia.


Pada 1 Januari 1966, Kanang Anak Langkau dinaikkan ke pangkat Lans Koperal dan diarahkan untuk menganggotai Rejimen Polis Pasukan (RP). Pada 11 November 1967, beliau dilantik menjadi Penolong Ketua Seksyen dalam Kompeni Raifal. Pada 2 Mac 1973, beliau diperintahkan bertukar ke Rejimen Renjer. Beliau dan keluarga berpindah ke Kem Terendak Melaka untuk berkhidmat dengan Batalion Kelapan Rejimen Renjer pada bulan Mac 1973.


Bintangnya bertambah terang sewaktu menyertai Rejimen 8 Renjer pada tahun 1974, buat pertama kali dalam beberapa waktu, beliau telah dihantar untuk berkursus PTT Rendah. Pada 17 November 1976, beliau dinaikkan ke Pangkat Koperal penuh yang tentunya menambahkan semangatnya bekerja.
Pada tahun 1977, beliau dihantar oleh pasukan untuk mengikuti Kursus Jurulatih Kawat Pasukan bertempat di Pusat Latihan Askar Wataniah (PLAW) di Ipoh, Perak.


Maznan Noordin dalam bukunya menyebutkan, “Orang yang bertanggungjawab menukar haluan hidup saya ialah Pegawai Memerintah Leftenan Kolonel Sulaiman bin Kudus yang memimpin pasukan dari 2 Jun 1976 hingga Disember 1977. Ketika itu saya sudah berniat untuk menamatkan perkhidmatan saya sehinggalah CO ini memujuk beberapa kali menyuruh saya berfikir sebelum membuat sebarang tindakan. Saya tidak jadi berhenti kerana beliau. Saya telah menyambung perkhidmatan. Saya dinaikkan ke pangkat Sarjan pada 17 Julai 1978. (Kanang Cerita Seorang Pahlawan, 2001: 44).


Pada 26 Mei 1979 sehingga 7 Jun 1979, beliau ditugaskan menyertai Gerakan Setia 8/79 yang dilancarkan di kawasan hutan simpan Korbu dalam Negeri Perak. Gerakan ini bertujuan memusnahkan saki-baki Markas Unit Penggempur Kelima (5 th. Assault Unit, CCM yang dipimpin oleh Nam Yat).

Markas Unit Penggempur Kelima ini mempunyai kekuatan 30 hingga 40 orang pengganas Komunis yang bersenjata lengkap dan merbahaya kepada rakyat dan pasukan keselamatan Malaysia ketika itu.
Operasi Gerakan Setia 8/79 yang disertai oleh Kanang anak Langkau terlibat dengan pertempuran hebat dengan pasukan pengganas komunis yang menyebabkan ramai terbunuh, peralatan dirampas dan berlaku kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan. 

Mereka juga yang terbunuh dalam operasi ini ialah Allahyarham Renjer Baharuddin, anggota yang cedera iaitu Koperal Michael dan Renjer Kotap bin Buang. Dalam pertempuran hebat sewaktu gerakan operasi Gerakan Setia 8/79 inilah, Kanang anak Langkau memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa dalam menumpaskan pengganas komunis yang bermaharajalela di kawasan Hutan Korbu di negeri Perak Darul Ridzuan. Beliau berbekalkan semangat “Agi Idup Agi Ngelaban” berusaha keras menewaskan pengganas komunis disamping menggunakan pelbagai taktik lan strategi untuk mencapai kemenangan. Kisah perjuangan dan pertempuran benar yang dialami dan pasukan yang disertai oleh Kanang anak Langkau dilukiskan dengan menarik oleh Maznan Noordin dalam bukunya Kanang Cerita Seorang Pahlawan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di halaman 48 hingga 84.

Penglibatan beliau dalam pertempuran hebat dengan pengganas komunis ini mendapat penghargaan setimpal daripada pegawai-pegawai atasannya dan anak-anak buahnya sehingga beliau dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 4 Jun 1980. Pingat Panglima Gagah Berani daripada Yang di-Pertuan merupakan darjah keberanian kedua tertinggi negara. Beliau begitu berasa teruja sesudah 20 tahun berkhidmat dalam angkatan tentera, beliau dianugerahkan penghargaan yang begitu tinggi dan membanggakan.


Pengalaman hebat beliau bertempur dengan pasukan penggana komunis diperlihatkan dengan jelas sewaktu bertempur mereka di kawasan Sungai Siput, Perak pada tahun 1980. Pasukan beliau dimasukkan ke kawasan itu pada 3 Februari 1980 dengan tujuan untuk menjejak dan memusnahkan musuh kerana mereka telah membunuh seorang anggota pasukan keselamatan di kawasan ini, pengganas komunis telah menyerang hendap satu seksyen anggota-anggota 25 RAMD terdahulu daripada itu.


Gerakan yang disebut sebagai Gerakan Pukat atau Gerakan Khas Setia ini di kawasan Tanah Hitam di Sungai Larak, Perak ini disertai seramai 29 orang anggota pasukan keselamatan untuk memburu musuh sekitar 10 hingga 12 orang yang berpakaian hijau, bersenjatakan karbin, raifal dan juga pelancar grened. Gerakan memburu pengganas komunis ini menjadi lebih mencabar pada hari kesepuluh (13 Februari 1980), 14 Februari 1980, 15 Februari 1980, 19 Februari 1980 dan hari-hari seterusnya. Dalam operasi yang mencabar ini, beberapa orang anggota pasukan keselamatan terkena cedera teruk kerana terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis.


Dalam pertempuran yang hebat dengan pasukan pengganas komunis ini, beliau terkena tembakan pengganas komunis di bahagian dada dan perut hingga beliau tercampak dan berguling beberapa kali lalu tersungkur ke bumi. Dengan kecederaan yang dialami, beliau sempat mengarahkan anggota platunnya meneruskan serangan habis-habisan ke atas pengganas komunis.


Sewaktu dalam kecederaan dan menanti bantuan, ketika itulah beliau didatangi seorang tua yang pernah ditemuinya dalam mimpinya yang kebetulan menganggotai kumpulan pengganas itu. Orang tua yang menyertai kumpulan pengganas itu tidak lut atau terjejas apa-apa tubuhnya bila ditembak dengan senjata M16. Begitu juga terdapat seorang pengganas lain yang cuba ditembaknya berkali-kali tetapi tidak mendatangkan kesan. Beliau cuba mengejar orang tua itu dengan parang yang terhunus tetapi dia jatuh terjelepuk kerana darah membuak keluar dari lukanya.


Kanang anak Langkau dikeluarkan dari kawasan gerakan untuk dirawat di hospital yang mengambil masa setahun lamanya akibat kecederaan teruk yang dialaminya. Seluruh anggota Batalion Kelapan Rejimen Renjer di Kem Sulva Line, Ipoh, Perak diselubungi kesedihan dan simpati ke atas pahlawan mereka, Kanang anak Langkau.


Kerana peristiwa yang penuh tragis dan pengorbanan untuk keamanan negara yang tidak ternilai harganya inilah beliau dikurniakan bintang tertinggi negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa(SP) pada tahun 1981. Secara tepatnya pada 3 Jun 1981, beliau diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong untuk menerima Darjah Keberanian Tertinggi Negara, Seri PahlawanGagah Perkasa (SP) iaitu lebih tinggi daripada penerima Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.


Pada 16 September 1981 sempena Hari Angkatan Tentera ke-48 bertempat di Tugu Peringatan Negara, Kuala Lumpur, beliau dianugerahkan dengan ‘Pisau Angkatan Tentera” oleh Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Mohd. Ghazali Dato’ Mohd. Seth.


Jawatan terakhirnya sebelum bersara daripada perkhidmatan tentera pada 30 Mei 1986 ialah Pegawai Waran 1. Sesudah bersara daripada perkhidmatan tentera, beliau menetap di Rumah Panjang Samy di Skra Hilir, Sarawak untuk meneruskan kehidupannya sebagai orang awam.


Beliau mempunyai enam orang anak iaitu Agustin, Evylen, Marylin, Pilin, Judith dan Langgi. Pada 14 Disember 2007, Pegawai Waran Satu, Kanang Anak Langka yang dikagumi atas keberaniannya menentang pengganas di Sungai Siput, Perak pada tahun 1980 menerima Sijil Watikah Pingat Darjah Keberanian Tertinggi Negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Sijil Watikah Pingat Gagah Berani (PGB).


Anugerah itu disampaikan oleh Panglima 3 Briged, Brigadier Jeneral Jeyabalan S sempena ulang tahun 3 Briged yang ke-48 di Kem Briged Kuching, Sarawak. Kanang anak Langkau, 62 tahun, kekal menjadi mentor dalam kerjaya Angkatan Tentera Malaysia lebih tiga dekad di atas keberaniannya itu.

“Sejak darah dari badan saya menitis ke bumi ketika bertempur dengan musuh negara, semangat perwira masih lagi kekal dalam jiwa saya sampai bila-bila pun, saya masih seorang askar,” kata Kanang kepada pemberita di sini.


Kanang berkata, beliau tidak pernah menyesal menjadi tentera walaupun ketika zaman mudanya beliau tidak menyimpan cita-cita untuk menjadi askar. Ketika ditanya apakah pekerjaannya setelah 21 tahun meninggalkan kerjaya sebagai soldadu, Kanang berkata, beliau mahu berehat dan menghabiskan masa bersama cucunya yang masih kecil.

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Haji Mustapha dalam ucapan penghargaannya ke atas Kanang menyebutkan, “Semangat keperwiraan dan keberanian PW1 Kanang semestinya diabadikan sebagai suatu pencapaian yang gemilang oleh seorang perajurit dalam sejarah angkatan tentera kita. Pencapaian PWI Kanang menjadi kemegahan bukan sahaja kepada masyarakat tentera, bahkan kepada semua lapisan masyarakat negara kita.”(2001: 143).
Semoga akan lahir lebih ramai pahlawan segagah dan sehebat Kanang anak Langkau, Allahyarham Leftenan Adnan Saidi dan sebagainya di dalam Angkatan Tentera Malaysia yang kini boleh dibilang dengan jari.

Sumber – Talib Samat, Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1, (Selangor: Pekan Ilmu Sdn. Bhd. 2010)