SEMASA perang dunia kedua, keadaan ekonomi dunia ketika itu jatuh merudum. la telah menjejaskan semua sektor pengeluaran, terutama sekali pengeluar bahan bakar fosil seperti petrol. Disebabkan itu banyak pengusaha automobil mencari inisiatif lain untuk menggantikan sumber bahan bakar tersebut.

Antara yang dilakukan mereka adalah dengan menggunakan gas kayu. Sumber tersebut digunakan sebagai sumber alternatif bagi menggantikan bahan api. Ini kerana ketika itu sumber petrol dicatukan bagi tujuan kegunaan ketenteraan.


Jika dilihat dari sudut sejarah, gas kayu ini pertama kalinya digunakan pada tahun 1870-an apabila ia telah dijadikan sebagai sumber gas asli semula jadi bagi tujuan memasak dan lampu jalan.


Pemilihan gas kayu ini disebabkan ia mempunyai banyak kelebihan, antaranya ialah ia merupakan sumber bahan api yang boleh didapati dengan mudah dan boleh diperbaharui. la juga boleh digunakan secara terus tanpa melibatkan banyak proses.


Disebabkan itu, pada tahun 1920, George Imbert, seorang jurutera dari Jerman telah mengembangkan lagi penggunaan gas kayu tersebut bagi tujuan kegunaan kenderaan.


Dalam hasil ciptaannya, sebuah balang yang direka khas untuk memproses kayu tersebut menjadi gas. Balang tersebut direka berbentuk seperti pemanas air besar. Proses penghasilan gas itu dikenali sebagai proses gasifikasi.

Balang gas tersebut telah direka khas untuk diletakkan di atas treler, di dalam bonet kereta, atau pada bahagian depan dan belakang kenderaan. Semasa perang dunia kedua, beberapa buah kenderaan tentera akan dilengkapi dengan penjana yang memang telah dibina khas di dalamnya dan tersembunyi.

Semasa proses penghasilan gas, kayu akan dipotong dengan halus dan diletakkan di dalam balang penjana tersebut. Selepas itu, kayu tersebut kemudiannya akan dipanaskan secara stim dengan suhu 1,400 darjah Celsius.


Apabila proses pemanasan berlaku, kayu kayu tersebut akan meruap dan menghasilkan gas yang mengandungi nitrogen, hidrogen, karbon dioksida dan metana. Gas yang terhasil ini dikenali sebagai Syngas. Gas ini kemudiannya akan disalurkan ke dalam enjin kenderaan untuk proses mengerakkan kenderaan.


Bahan api yang digunakan dalam kereta berkuasa gas kayu itu terdiri daripada kayu atau serpihannya. Arang juga boleh digunakan, tetapi ia akan menyebabkan 50 peratus tenaga yang terdapat dalam jisim asal hilang.


Meskipun begitu, arang masih mengandungi lebih banyak tenaga bagi membolehkan sesebuah kenderaan itu digerakkan. Walau bagaimanapun kayu tetap menjadi sumber bahan api utama pada masa itu. Selain itu, bahan tumbuhan yang reput juga boleh digunakan.


Jika kita lihat pula dari sudut keupayaan kereta berkuasa gas kayu ini, la hanya mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 120 kilometer sejam dengan dilengkapi tangki yang mampu memuatkan sebanyak 30 kilogram kayu, tenaga kereta berkuasa gas kayu ini mampu pergi sejauh 100 kilometer perjalanan. Makin besar tangki yang digunakan, makin jauh kereta tersebut boleh pergi. 

Malah keupayaannya juga setanding dengan sebuah kereta berkuasa elektrik. Ketika zarnan perang dunia kedua, stesen minyak mula menjual kayu dan bukannya bahan api fosil. Sebanyak kira-kira 3,000 rangkaian stesen minyak telah dibina bagi membolehkan para pemandu mendapatkan kayu sebagai bahan bakar untuk mengerakkan kenderaan mereka.

Penggunaan kenderaan berkuasa wap ini juga tidak sahaja terhad kepada kereta persendirian sahaja, malah bas, traktor, motosikal, kapal dan juga kereta api turut dilengkapi dengan sistem gas kayu. Bukan saja kenderaan awam yang menggunakan sistem gas kayu ini, malah kenderaan tentera seperti kereta kebal juga menggunakan gas tersebut. Bagaimanapun, Angkatan Tentera Jerman tidak menggunakan teknologi secara terus sebaliknya mereka menggunakan bahan cecair yang diperbuat daripada kayu dan arang batu.


Namun kereta berkuasa gas kayu ini bukanlah satu alternatif yang nampak elegan, cuma teknologinya agak mirip dengan kereta berkuasa elektrik pada zaman sekarang. Bagaimanapun, tahap kecekapan tidaklah setanding kereta berkuasa elektrik.


Walau bagaimanapun, kereta berkuasa gas kayu ini ada kelemahan nya. Pertama sekali hidrogen yang terhasil adalah sedikit. Hal ini akan menyebabkan kereta tersebut tidak boleh memecut dengan laju. Kedua, saiz balang penghasil gas sangat besar dan memakan ruang yang banyak. Justeru ia diletakkan pada bahagian belakang kereta. Secara tidak langsung ia akan mengganggu pandangan pemandu.


Selain itu, jika anda mahu menggunakan kereta berkuasa gas kayu ini, anda perlulah memanaskan balang gas tersebut secara perlahan-lahan selama sejam sebelum kereta boleh dihidupkan.


Sungguhpun begitu kereta berkuasa gas kayu ini boleh dikatakan mesra alam kerana menggunakan bahan api yang boleh diperbaharui. Hasil pembakaran Hidrogen juga jauh lebih bersih daripada bahan api fosil yang sedia ada.