8 Jun 1948, 74 tahun yang lalu, kereta Porsche yang pertama siap dibina.

Jurutera automotif Austria, Ferdinand Porsche memperkenalkan rekaan pertamanya, sebuah kereta elektrik, di World’s Fair di Paris pada 1900. Keunggulan rekaannya itu mengangkat namanya sehingga dilantik sebagai Ketua Pengarah Austro-Daimler pada 1916.

Pada 1920-an, Daimler bergabung dengan firma Benz & Porsche bertanggungjawab mereka cipta beberapa kereta lumba Mercedez terhebat dekad itu. Beliau kemudian meninggalkan Daimler pada 1931 untuk menubuhkan syarikatnya sendiri.

Beberapa tahun kemudian, Adolf Hitler memanggil Porsche untuk membantu penghasilan kereta untuk rakyat Jerman. Bersama anaknya, juga bernama Ferdinand (dipanggil Ferry), Porsche mencipta prototaip daripada rekaan Volkswagen yang asal pada 1936.

Semasa Perang Dunia II, Porsche turut mencipta kenderaan tentera, termasuk kereta kebal Tiger yang masyhur. Tamat perang, Perancis mendakwa Porsche atas jenayah perang lalu dipenjarakan. Ferry bergelut untuk memastikan syarikat keluarganya terus bernafas.

Lalu Ferry mencipta kereta lumba Grand Prix, Type 360 Cisitalia & wang upah yang diperoleh digunakan untuk membayar ikat jamin bapanya. Bebas dari penjara, Porsche meluluskan satu lagi projek kendalian Ferry: sebuah kereta ‘sport’ yang memakai nama “Porsche.”

Dipanggil “Type 356,” kereta baharu itu menerapkan rekaan kereta lumba tradisi Porsche. Enjinnya ditempatkan di tengah chasis di depan transaksel, dengan komponen ‘drive train’ Volkswagen yang diubah suai. Ia mula dibuat pada musim sejuk 1947-48.

Prototaip aluminiumnya yang dibina sepenuhnya dengan tangan siap pada 8 Jun 1948 & dilabel sebagai “No.1.” Susulan itu, kerajaan Jerman Barat mengupah Porsche untuk menjadi penasihat kepada pembangunan mendatang Volkswagen.

Dengan hasilnya, Porsche membuka pejabat baharu di Stuttgart dengan rancangan menghasilkan sehingga 500 kereta setiap tahun. 2 dekad kemudian, syarikat tersebut berjaya mengeluarkan lebih 78,000 buah kereta.

Sumber: History