27 Jun 1976, 46 tahun yang lalu, kes pertama wabak epidemik Ebola dilaporkan.

Virus itu pertama kali dikesan dalam dua kes yang berlaku serentak; satu di Nzara, sebuah pekan di Sudan Selatan dan satu lagi di Yambuku, sebuah kampung dekat Sungai Ebola di Republik Demokratik Congo di mana virus ini mendapat namanya.

Ia dipercayai berasal daripada kelawar buah dari keluarga Pteropodidae yang menjadi hos semula jadi virus tersebut. Ia merebak ke manusia menerusi kontak rapat, khususnya apabila haiwan tersebut adalah antara buruan orang Afrika untuk dijadikan makanan.

Simptom penyakit Ebola biasanya bermula dua hingga 21 hari selepas seseorang itu dijangkiti, bermula dengan demam, sakit otot, lemah, sakit kepala dan tekak sebelum disusuli muntah, cirit birit, ruam dan lebih teruk pendarahan luaran dan dalaman tubuh.

Ia menyerang sel tubuh dan menyebabkan ada antaranya meletup, meranapkan sistem imun tubuh dan merosakkan hampir setiap organ. Virus ini terus tinggal dalam tubuh hos, dan menguruskan pesakit dan mayat pesakit Ebola menuntut perlindungan yang sangat rapi.

Ebola adalah sejenis virus yang menakutkan, tetapi hanya berjangkit melalui kontak terus dengan bendalir daripada tubuh mereka yang dijangkiti. Ia membunuh sehingga 90 peratus daripada semua kes jangkitan yang dilaporkan.

Dari 1976 hingga 2012, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 2,387 kes dengan 1,590 kematian akibat Ebola. Namun kes terbesar setakat ini berlaku di Afrika Barat dari Disember 2013-Januari 2016 apabila 28,646 kes dengan 11,323 kematian dilaporkan.

Virus ini masih menghantui benua Afrika, apabila pada Julai 2019 WHO mengisytiharkan wabak Ebola di Congo sebagai darurat kesihatan dunia. Memasuki tahun 2021, kes jangkitan baharu Ebola masih dilaporkan di Guinea dan Republik Demokratik Congo.

Sehingga hari ini masih belum ada penawar kepada Ebola, bagaimanapun antibodi Inmazeb dan Ebanga digunakan untuk merawat pesakit Ebola serta dua jenis vaksin, iaitu Ervebo dan Zabdeno-and-Mvabea untuk melindungi manusia daripada virus ini.

Sumber: WHO, WebMD, History