Kewujudan Kota Purba di Tasik Chini

Share

Kira-kira 14 tahun lalu, penyelidikan arkeologi di Malaysia pernah dikejutkan dengan satu penemuan struktur ganjil di dasar Tasik Chini, Pahang. Struktur tersebut yang berbentuk seperti batu hampar, telah ditemui oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Penemuan itu telah menimbulkan perdebatan di kalangan para penyelidik arkeologi di negara ini. Kebanyakan mereka mengemukakan teori kemungkinan wujud sebuah kota purba yang sudah terbenam di dasar tasik itu. Teori tersebut diperkukuhkan lagi dengan penemuan beberapa artifak lain seperti tembikar dan batu-batu buatan tangan di sekitar tasik berkenaan.


Perkara sama turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terutamanya penyelidik-penyelidik dari luar negara. Mereka juga menyokong teori tersebut dan mengesahkan kemungkinan wujudnya sebuah kota purba yang mempunyai kaitan langsung dengan ketamadunan Khmer di Cambodia.

Pada tahun 1998, fasa pertama ekskavasi telah dijalankan bagi mengesan kota purba itu. Bagaimanapun, penyelidikan ini tidak dapat diteruskan kerana pihak pembiaya merasakan ia bukan satu keutamaan. Pihak tersebut mengemukakan pandangan bahawa kemungkinan untuk wujudnya sebuah kota purba di dasar tasik itu adalah terlalu tipis, walaupun wujud bukti yang menyokong hal itu.

Penyelidikan ke atas penemuan batu hampar itu terpaksa dihentikan ekoran kekangan aspek kewangan dan juga teknologi. la berikutan kewujudan selut sedalam 100 kaki sekali gus menyebabkan usaha mengesan kota tersebut agak sukar pada masa itu.

Keadaan lebih menyukarkan lagi apabila ketiadaan sebarang teknologi canggih pada masa itu yang dapat membantu penyelidik menyelam ke dasar tasik tersebut. Ini kerana wujudnya selut yang tebal itu telah menyebabkan tahap ketelusan penglihatan berada pada paras kosong peratus.


Berita mengenai penghentian misi ekskavasi tersebut menarik perhatian ramai pihak. Sesetengah dari pada mereka sangat terkejut selepas mendapat tahu usaha mengesan kota purba itu dihentikan. Salah seorangnya adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita, Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Pahang. Datuk Maznah Mazlan jawatan terkini adalah Timbalan Menteri Sumber Manusia).

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia 2007, beliau berkata, bukti arkeologi yang dijumpai oleh pakar tempatan beberapa tahun lalu berkemungkinan besar wujud sebuah kota lama di dasar tasik berkenaan. Malah, katanya lagi, kajian oleh seorang sarjana Barat juga memperlihatkan penemuan sebuah tiang yang dipercayai sebatang tiang seri sebuah bangunan atau sebuah objek penyembahan di tengah salah sebuah tasik tersebut.

Datuk Maznah yang pernah bertugas Penolong Pengarah di Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara sekitar tahun 70-an menyatakan, beliau pernah dibawa oleh seorang Orang Asli dengan menaiki rakit ke tengah tasik dan ditunjukkan sebuah struktur batu yang agak ganjil.


Tetapi pada masa itu, beliau tidak tahu menahu mengenai kewujudan sebuah kota lama di tasik itu. Hanya beberapa tahun selepas itu, barulah dia mula menyedari kepentingan monumen tersebut. Menurutnya, dia menaruh harapan agar projek pengesanan kota purba di dasar Tasik Chini itu disambung semula kerana ia dapat membuktikan kewujudan sebuah institusi lama. 


Selain itu ia boleh menjadi koleksi khazanah negara yang sangat bermakna. Katanya, pihak-pihak lain seperti pusat-pusat penyelidikan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkemampuan sepatutnya meneruskan usaha berkenaan.


Lantaran itu, kewujudan kota purba yang dipercayai dibangunkan antara abad ke-11 dan ke-12, iaitu lebih awal daripada kerajaan Melaka, telah dilupakan begitu sahaja sehingga hari ini. Soalnya, mengapakah penemuan berharga ini yang dikaitkan dengan kewujudan sebuah kota purba di dasar sebuah tasik, perlu dilupakan terus? Tidakkah ada usaha berterusan untuk mengkaji kemungkinan wujudnya kota purba itu? Hasrat untuk mendokumentasikan dan mengetengahkan penemuan tersebut berakhir sekadar pada fasa satu kajian sahaja.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: