Pada 29 november 1781 iaitu 240 tahun yang lalu, berlaku pembunuhan kejam terhadap 132 hamba Afrika kerana wang pampasan insurans.

Ketika kerancakan perdagangan hamba Atlantik pada kurun ke-17 & 18, hamba-hamba Afrika diinsuranskan sebagai kargo per kepala. Mengikut undang-undang Inggeris, mereka yang mati kerana bencana di laut sahaja yang dilindungi insurans.

Pada masa sama, mereka perlu dipastikan sihat/nampak sihat supaya nilainya tidak jatuh apabila diterima pihak yang membeli. Maka menjadi amalan lazim ketika itu, sesiapa yang sakit atau cedera di atas kapal, mereka akan dihumban ke laut.

Begitulah yang berlaku di atas Zong, kapal hamba British yang berlayar dari Accra, Ghana dengan 17 kru pada 18 Ogos 1781 membawa 442 hamba Afrika, 2 kali ganda daripada bilangan muatan yang boleh dibawa & dihantar dengan selamat.

Destinasinya adalah Jamaica, untuk digunakan di ladang-ladang penjajah di sana. Bagaimanapun dek kesilapan navigasi, Zong terpaksa berada di laut lebih lama daripada yang sepatutnya & kru mula khuatir bekalan air minuman tidak mencukupi.

Maka hadir idea jahat di mana 132 hamba lelaki, wanita & kanak-kanak mula dihumban ke laut pada 29 November. 10 hamba lagi, sebagai protes, terjun sendiri ke laut. Keseluruhannya, 142 nyawa terkorban setibanya kapal itu di Jamaica.

Seperti dirancang, pemilik kapal itu menuntut pampasan daripada syarikat insurans. Kes dibawa ke mahkamah & keputusan memihak kepada pemilik kapal. Tidak puas hati, syarikat insurans membuat rayuan.

Pendengaran semula dibuat mendapati sebenarnya ada air mencukupi di atas kapal. Atas kesilapan kru kapal Zong, syarikat insurans tidak perlu membayar pampasan kepada pemilik kapal. Namun sepanjang itu, tidak sekalipun soal kesalahan membunuh dibangkitkan.

Atas usaha Granville Sharp, kes ini menjadi pemangkin kepada kebangkitan gerakan menentang perhambaan. Sedikit demi sedikit undang-undang digubal, hingga akhirnya Akta Penghapusan Perhambaan 1833 diluluskan oleh Empayar British.

Sumber: The Guardian, Face2Face Africa, History Extra