Kisah Sejarah Masjid Kampung Batak Rabit

Views: 44

Masjid Batak Rabit yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari bandar Teluk Intan, Perak, dipercayai berusia hampir dua abad dikatakan mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Kedudukannya yang strategik di tepi jalan Teluk Intan – Hutan Melintang memudahkan orang awam yang lalu lalang untuk singgah menunaikan ibadat dan apabila melewati masuk ke pekarangan masjid menyusuri tempat parkir kelihatan jarak di antara Sungai Perak dengan masjid hanya kira-kira 30 meter sahaja.

Di tebing sungai itu terdapat tempat perhentian perahu nelayan kecil dan pengunjung boleh melihat dari pondok yang dibina untuk jemaah masjid beriadah sambil menikmati pemandangan Sungai Perak yang mempunyai pelbagai kisah dan sejarahnya.

Masjid ini dikatakan dibina oleh Laksamana Tok Tambah yang merupakan pembantu Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah II yang terkenal dalam insiden pembunuhan J.W.W. Birch, Residen British Perak yang pertama dan Perang Perak.

Pada asalnya masjid ini dibina menggunakan kayu yang berkualiti tinggi. Namun pada tahun 1885, Laksamana Tok Tambah telah membina semula masjid ini dengan menggunakan batu bata dan kekal sehingga ke hari ini. Disebabkan itu ramai yang mempercayai masjid ini merupakan masjid yang tertua di negeri Perak.

Apabila melewati di bahagian dalam masjid pula kelihatan banyak tiang dibina dengan kemas dan kukuh melambangkan betapa hebatnya arkitek zaman dahulu dalam membina binaan konkrit sehingga kekal utuh sehingga kini.

Menariknya, kelihatan menara di kiri masjid yang mempunyai nilai sejarah pembinaannya dan terdapat tangga dan tingkap dibina di dalam menara untuk memudahkan penjaga masjid atau dikenali Tok Siak untuk naik ke menara masjid itu.

Difahamkan seni bina masjid ini menggabungkan seni bina Melayu dan Eropah dan struktur bangunan serta bumbungnya memang jelas dengan menggunakan ciri-ciri atap tumpang yang lazim terdapat pada masjid di nusantara. Ada ahli sejarah bersetuju binaan Masjid Batak Rabit ini berasal dari Masjid Demak.

Menara masjid ini dikatakan unik kerana dari segi struktur dan penggunaan bahan binaan langsung tiada persamaan dengan bentuk menara pada masjid lama Perak yang kebanyakannya menggunakan bahan kayu dan berbentuk empat segi seperti Masjid Kampung Pulau Besar dan Masjid Sayong.

Ada pula yang berpendapat menara Masjid Batak Rabit tidak sama dengan menara konkrit seperti di Melaka yang mirip kepada bentuk Pagoda. Dipercayai masjid ini pernah menjadi tempat perbincangan serta persinggahan oleh pembesar dan pedagang Melayu kerana kedudukannya yang terletak betul-betul di pinggir sungai.

Masjid Kampung Batak Rabit antara salah satu tempat warisan yang didirikan papan tanda sejarah melalui projek Jejak Warisan Teluk Intan yang dijalankan oleh Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (SEMARAK) yang dibiayai oleh Yayasan CIMB. Jika berkunjung ke Teluk Intan, jangan lupa untuk melawat tempat-tempat warisan yang ada disini.

Related Posts

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published.

%d bloggers like this: