Kisah”Battle Of Jitra” 1941

Views: 31

SEWAKTU pendudukan Jepun di tanah Melayu, hanya peperangan di Pantai Sabak Kelantan yang ditekankan hingga ramai yang lupa tentang kejadian peperangan yang berlaku di Jitra, Kedah. Peperangan tiga hari yang dikenali sebagai Battle of Jitra ini berlaku pada 11 hingga 13 Disember tahun 1941.


Peperangan ini penting buat Jepun kerana Jitra adalah pintu masuk Jepun untuk menawan bahagian Pantai Barat Semenanjung Malaysia sebelum bersatu dengan angkatan tentera daripada arah Pantai Timur untuk menyerang Singapura.


Taktik itu berjaya dihidu perisikan British. Perancangan rapi diatur dengan mengukuhkan kedudukan 11 batalion askar Punjabi dan Gurkha di kawasan pintu masuk Pantai Barat. Waktu itu, kekuatan tentera di garis sempadan diletakkan di bawah pemerintahan Mejar Jeneral Murray Lion. Pemerintah 11 batalion ini bertanggung jawab memastikan kawalan ketat bermula dari Jitra hingga ke Perlis dan garis sempadan Thailand.

la merupakan salah satu strategi penting British bagi mengekang kemaraan tentera Jepun. Justeru operasi mengekang Jepun ini dinamakan sebagai Operasi Matador. Strategi utama adalah mengerah kekuatan tentera untuk bertindak secara ofensif bagi menutup peluang Jepun untuk masuk ke Tanah Melayu ketika itu. Selain itu pasukan ini juga bertanggungjawab untuk menutup kecerobohan aset ketenteraan Jepun.Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Azharudin Mohamed Dali, tepat jam 8:00 pagi, 11 Disember 1941, Komander Briged ke-9 Infantri tentera Jepun, Mejar Jeneral Kawamura mengarahkan 40 batalion tentera Jepun melakukan serangan secara serentak.


Bagi Kawamura, taktik serangan serentak ini boleh mengawal keghairahan tentera British. Lebih-lebih lagi. Kawamura menjangkakan, rejimen tentera Punjabi dan Gurkha akan menggelabah dan panik apabila mereka kehabisan banyak peluru. 


Ini kerana khabar angin mengenai tentera Jepun yang akan memancung kepala musuh telah menular di merata tempat. Berita kekejaman tentera Jepun sedikit sebanyak menyebabkan moral tentera yang berperang goyah. Mereka bimbang sekiranya mereka di tangkap kerana kehabisan peluru, sudah tentulah kepala mereka akan putus.


Justeru bagi menguatkan lagi serangan psikologi ini, tentera Jepun menggunakan gerakan serangan kereta kebal. Mereka menjangkakan, kekuatan aset perang itu bukan saja boleh melumpuhkan kubu pertahanan British di garis sempadan malah bakal membuka jalan untuk mereka masuk ke Jitra.

Oleh sebab, tentera British tidak pernah berdepan dengan selok-belok melawan kereta kebal. Mereka telah menjadi kelam kabut. Lebih-lebih lagi, mereka tidak dibekalkan dengan peralatan anti kereta kebal. Akhirnya, corak peperangan mereka sudah beralih kepada defensif. Kesempatan itu digunakan Jepun untuk menyerang secara ofensif. Akhirnya, arahan berundur dikeluarkan komander perang British.
Taktik perang Jepun telah berjaya membuatkan 3000 orang askar Punjabi menyerah diri. Kesempatan itu digunakan Leftenan Kolonel Fujiwara Kikan memujuk tentera ini untuk menubuhkan Indian National Army bagi membantu Jepun. 


Fujiwara sebenarnya mempunyai peranan yang cukup besar dalam perang saraf tentera Jepun di Jitra. Tawaran Fujiwara itu menyebabkan askar-askar Punjabi lain mula berfikir dua kali untuk meneruskan peperangan. Pada askar-askar ini, tawaran itu umpama nyawa kedua buat mereka.
Akhirnya pada awal pagi 13 Disember 1941, sepasukan tentera Jepun yang dipimpin oleh Leftenan Kolonel Saeki Shizuo memulakan langkah masuk ke Tanah Melayu. Hanya dengan 500 orang tentera, pasukan ini mula masuk ke pekan Jitra melalui Asun. 


Pertempuran di pekan Jitra yang dipanggil Disaster in Jitra telah membunuh ratusan askar British. Jelas Dr. Azharudin, walaupun tidak ada rekod sebenarnya jumlah kematian askar di pihak British, namun sesuatu yang penting tentera Jepun hanya berdepan dengan 50 kematian saja. Keadaan ini menunjukkan perancangan rapi dengan disiplin kepimpinan tinggi Jeneral Yamashita melumpuhkan aktiviti ketenteraan British.

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Comment

%d bloggers like this: