Adnan bin Saidi dilahirkan di Sungai Ramal, Kajang pada 1915. Pada 1933 apabila Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditubuhkan, beliau yang ketika itu berusia 18 tahun antara orang pertama yang menyertainya.

Adnan menjadi pegawai tentera Melayu pertama apabila dinaikkan pangkat sebagai Sarjan pada 1936 seterusnya menjadi Kompeni Sarjan Mejar pada 1937. Beliau menjadi Leftenan selepas mengikuti kursus di Singapura & dilantik mengetuai Platun 7 Kompeni C RAMD.

Pada Disember 1941, Jepun mendarat di pantai timur Tanah Melayu, pantas mara ke selatan & berjaya menakluk seluruh semenanjung dalam masa hampir 2 bulan, memaksa tentera British berundur ke Singapura sebelum Jepun sampai ke situ pada 7 Februari.

Meletus Pertempuran Pasir Panjang pada 13 Februari, menyaksikan Jepun berjaya menembusi barisan pertahanan pertama. Pada lewat malam itu, Kompeni C berkekuatan 42 anggota pimpinan Lt. Adnan diarahkan untuk bertahan Bukit Candu.

Pertempuran diteruskan keesokan paginya & awal petang itu, Lt. Adnan berjaya mematahkan serangan berhelah Jepun yang menyamar sebagai tentera Sikh. 2 jam selepas berundur, Jepun hadir semula dengan gelombang serangan penghabisan.

Kompeni C kehabisan peluru & semakin ditekan, namun tidak dapat berundur kerana tali air yang dicemari minyak terbakar memisahkan mereka dengan barisan belakang. Maka Lt. Adnan mengarahkan pasukannya untuk lawan hingga ke hujung nyawa.

Akhirnya Lt. Adnan yang cedera parah ditangkap Jepun, diseksa & digantung/diikat pada sebatang pokok ceri lalu ditikam dengan bayonet sehingga menemui ajalnya di usia 27 tahun. Jepun berjaya menakluk Singapura esok harinya, pada 15 Februari 1942.

Keberanian Lt Adnan diakui General Yamashita yang mengatakan “Jika ada 10 orang lagi seperti Lt. Adnan, Jepun memerlukan 10 batalion lagi untuk menakluk Tanah Melayu.”

Sumber: Berita Tentera Darat Malaysia, The Patriots