14 Jun 1949, 73 tahun yang lalu, Albert II menjadi monyet & mamalia yang pertama ke angkasa.

Ketika era Perang Dingin antara A.S. dengan Kesatuan Soviet selepas tamat Perang Dunia II, kedua-dua kuasa besar ini saling rancak beradu kehebatan untuk mengejar pencapaian tertinggi dalam keupayaan penerbangan angkasa.

Sebelum manusia dapat dihantar ke angkasa, haiwan digunakan sebagai subjek uji kaji. A.S. memulakan dahulu dengan penghantaran sekumpulan lalat buah pada 20 Februari 1947, sebelum menghantar monyet yang pertama, Albert, pada 11 Jun 1948.

Bagaimanapun penerbangan Albert bertemu kegagalan apabila dia mati akibat kelemasan dalam kokpit apabila roket V-2 yang dinaikinya mencapai ketinggian melebihi 63 km, kurang 37 km daripada Garis Karman yang menandakan permulaan angkasa.

Ia disusuli dengan Albert II, seekor kera rhesus jantan seberat 3 kg yang pada 14 Jun 1949, disuntik ubat penenang & dikancing pada kapsulnya di dalam roket jenis sama, Blossom V-2, roket ciptaan Nazi yang dirampas & diubahsuai untuk tujuan penerbangan itu.

Roket tersebut membawa Albert II berlepas dari White Sands, New Mexico & terbang hingga ke ketinggian sekitar 134 km, melepasi Garis Karman sekaligus menjadikannya monyet & mamalia yang pertama berjaya memasuki ruang angkasa lepas.

Kira-kira 3 minit selepas dilancarkan & roket tersebut mencapai titik tertingginya, kapsul Albert II terpisah dari penggalaknya untuk penerbangan pulang ke Bumi. Semuanya berjalan lancar sehinggalah ketika payung dilepaskan, ia gagal berfungsi.

Ketiadaan payung tidak dapat memperlahankan penurunan Albert II, lalu kapsulnya menghentam tanah & membentuk kawah selebar 10 kaki. Albert II mati akibat impak kuat itu, 6 minit selepas dia dilancarkan dari Bumi.

*Gambar Albert II dalam sut angkasanya.

Sumber: Space, Universe Today, Vice