10 Jun 323 S.M., 2,345 tahun yang lalu, mangkatnya maharaja Macedonia, Alexander the Great.

Alexander III lahir di Pelon, ibu kota Kerajaan Macedonia pada tahun 356 Sebelum Masihi (S.M.), anak kepada Raja Philip II & Ratu Olympias. Menaiki takhta di usia 20 tahun selepas bapanya dibunuh, Alexander pantas memulakan misi meluaskan kuasa.

Dari tanah Balkan, Alexander menakluk Anatolia kemudian Mesir sebelum menundukkan Empayar Achaemenid Parsi. Dalam tempoh 10 tahun, Alexander berjaya membentuk empayar terbesar di dunia ketika itu yang meliputi dari Greece hingga ke barat laut India.

Alexander dianggap antara general perang terunggul dalam sejarah. Dari peperangan pertama pimpinannya di Chaeronea pada 338 S.M. hingga penaklukan Multan pada 325 S.M., beliau melakar rekod bersih tidak pernah kalah dalam satu pun pertempuran.

Namun sebelum sempat melancarkan kempen menakluk Arabia pada 323 S.M., Alexander jatuh demam & keadaannya semakin merosot hingga tak mampu bercakap & bergerak. Akhirnya selepas 12 hari, beliau menghembuskan nafas terakhir di Babylon pada usia 32 tahun.

Pelbagai teori terhadap punca kematiannya: ada yang mengatakan beliau diracun, diserang demam kepialu mahupun malaria. Kajian terbaharu pada 2019 mendapati Alexander mungkin diserang penyakit saraf dipanggil Sindrom Guillain-Barré (GBS).

Sebelum mangkat, Alexander mewasiatkan supaya tubuhnya disemadikan di Kuil Zeus-Ammon di Oasis Siwa, Mesir namun tidak dikabulkan. Ketika dalam perjalanan dibawa pulang ke Macedonia, kerandanya dirampas & Alexander dikebumikan di Memphis, Mesir.

Ia kemudian dipindahkan ke Iskandariah(Alexandria), di mana keberadaannya diceritakan oleh Julius Caesar, Augustus, Ibn Abd Al-Hakam & Leo Africanus menerusi catatan lawatan mereka. Pada tahun 200 Masihi, makamnya ditutup kepada awam oleh penguasa Rom.

Kali terakhir penampakan makam Alexander diceritakan oleh pengembara British, George Sandys pada 1611. Selepas itu, tiada siapa yang tahu lokasi sebenarnya & pencarian makam itu terus dilakukan hingga hari ini.

*Gambar: “The Death of Alexander the Great.” Lukisan Karl von Piloty (1886).

Sumber: History, Britannica, Rancak TV