11 Jun 2010, 12 tahun yang lalu, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dirasmikan.

Terletak di Presint 3, Putrajaya, ia adalah masjid utama ke-2 selepas Masjid Putra. Ia dinamakan sempena Yang di-Pertuan Agong ke-13, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Juga dipanggil Masjid Besi, ia mula dibina pada April 2004 menggunakan 6,000 tan besi yang menjadi 70% daripada bahan pembinaannya. Ia menelan belanja RM200 juta & siap pada Ogos 2009 sebelum dirasmikan oleh Tuanku Mizan pada Jumaat, 11 Jun 2010.

Masjid ini tiada kipas, tapi disejukkan dengan sistem pendingin hawa. Ia menerapkan ‘Architectural Wire Mesh’ diimport dari Jerman & China, yang turut digunakan pada Stadium Santiago Bernabéu di Madrid & Bibliothèque nationale de France di Paris.

Ia boleh menempatkan sekitar 20,000 jemaah pada satu-satu masa, 2 kali lebih luas daripada Masjid Putra. ‘Kiblat Walk’, laluan pejalan kaki yang landskapnya diilhamkan daripada taman istana Alhambra menghubungkan masjid ini dengan Dataran Putrajaya.

Dinding mihrabnya dihiasi lakaran ayat 40-47 Surah Ibrahim (kanan) & ayat 148-153 Surah al-Baqarah (kiri) pada lapisan kaca setinggi 13m. Pintu masuk ke dewan solat utama diukir ayat 80 Surah al-Isra’ & Pintu gerbangnya dihiasi kaligrafi Asma’ul Husna.

Kubahnya diperbuat daripada besi tahan karat & bahagian tepinya juga berbumbung sepanjang 40 kaki. Masjid ini juga menggunakan teknologi ultrasonic untuk mengelakkan burung daripada bertenggek atau memasuki ruang dalaman masjid.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin terdiri daripada 5 aras utama yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk para jemaah dan para pengunjung.

Sumber: Arkib Negara Malaysia,