Hari ini 25 tahun yang lalu, Mike Tyson menggigit telinga Evander Holyfield dalam satu pertarungan tinju.

Mike Tyson merupakan peninju paling muda dalam sejarah yang menjulang gelaran juara “heavyweight” di usia 19 tahun pada 1986. Kemasyhuran pantas bagaimanapun membawanya ke lembah kegelapan bermula 1989 apabila terlibat dalam pelbagai masalah.

Gagal untuk fokus dalam tinju, Tyson yang disangka mustahil dikalahkan akhirnya hilang gelaran juara “heavyweight”nya apabila tewas kepada peninju ‘underdog’, James Douglas secara ‘knockout’ pada 11 Februari 1990.

Tahun berikutnya, Tyson berdepan tuduhan merogol Desiree Washington, peserta satu pertandingan ratu cantik yang diadilinya di Indianapolis. Tyson didapati bersalah pada 10 Februari 1992, dan menjalani hukuman tiga tahun sebulan di penjara persekutuan.

Selesai hukuman, Tyson kembali merampas gelarannya dan merancang untuk mengadakan pertarungan dengan Evander Holyfield, bekas juara heavyweight dari Georgia. Holyfield telah bersara pada 1994, tapi kembali apabila melihat prospek keuntungan yang lumayan.

Pada 9 November 1996, Holyfield mengejutkan dunia tinju apabila menewaskan Tyson secara TKO di pusingan ke-11. Tidak puas hati, Tyson mengatur perlawanan ulangan pada 28 Jun 1997 untuk merampas kembali gelaran WBA dan maruahnya.

Pada pusingan ketiga perlawanan ulangan itu, Tyson hilang pertimbangan, membuang pelindung mulutnya lalu menggigit telinga kanan Holyfield dan meludahnya ke lantai. Walaupun Holyfield dalam kesakitan, perlawanan diteruskan selepas terhenti seketika.

Tidak lama kemudian, Tyson menggigit pula telinga Holyfield yang satu lagi. Perlawanan dihentikan ketika pusingan berbaki kurang 10 saat dan Tyson telah dilucutkan kelayakan sekaligus memberi kemenangan kepada Holyfield.

Dua hari selepas insiden, Tyson mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada Holyfield dan merayu supaya tidak diharamkan daripada bertinju seumur hidup. Satu demi satu lesen tinjunya ditarik bermula 9 Julai 1997, namun dikembalikan pada 18 Oktober 1998.

Sumber: History