MISTERI di makam Chase Vault

Share

PADA tahun 1724, seorang lelaki bernama James Elliot telah membina sebuah makam di bawah tanah di Barbados. Kawasan makam itu agak luas, mampu memuatkan beberapa buah keranda dalam satu² masa.

Pintu makam itu pula diperbuat daripada batu marmar yang besar dan amat berat sehingga memerlukan tenaga tujuh orang lelaki untuk mengangkatnya.

Setelah keranda dimasukkan ke bawah tanah, pintu marmar itu akan ditutup, kemudian disimen rapi di sekelilingnya. la menjadikan pintu itu sukar dibuka. Jika ada kematian lagi, simen pintu itu harus dikikis terlebih dahulu sebelum pintu itu dapat dibuka untuk memasukkan keranda yang baru.

Walaupun bersusah payah membina makam itu, namun Elliot tidak pula mahu jasadnya bersemadi di situ. Makam itu dibiarkan kosong sehingga keranda kayu pertama berisi mayat wanita bernama Thomasina Goddard dimasukkan ke situ pada bulan Julai 1807.

Tidak lama kemudian, Thomas Chase membeli makam itu. Mereka merupakan keluarga kelas atasan dan dikenali di Barbados. Kerana itu, kawasan makam itu dinamakan sebagai Chase Vault yang bermaksud makam ahli keluarga Chase.

Pada Februari 1808, anak bongsu Thomas iaitu Mary Ann Chase yang berusia dua tahun meninggal dunia,

Lantas, mayatnya dimuatkan dalam sebuah keranda yang diperbuat daripada timah dan dimasukkan ke dalam makam Chase Vault. Peti keranda Mary diletakkan bersebelahan dengan keranda kayu Goddard. Pintu makam ditutup dan disimen rapi semula.

Lima tahun kemudian, Dorcas Chase yang juga anak Thomas pula meninggal. Seperti biasa, pintu makam Chase Vault dibuka semula. Keranda timah Dorcas dimasukkan dan diletakkan bersebelahan dengan keranda adiknya, Mary.

Tidak lama kemudian, Thomas Chase pula meninggal. Mayatnya diletakkan dalam peti timah yang besar dan paling berat, melebihi 100 kilogram. Lantas pintu Chase Vault dibuka semula.

Di sinilah bermulanya rentetan misteri makam ini. Ahli keluarga Chase terkejut apabila mendapati keranda di dalam makam itu sudah bertebaran kedudukannya, tidak lagi tersusun pada posisi asalnya. Hanya keranda kayu Goddard yang masih tetap pada posisi asalnya.

Keluarga Chase begitu marah kerana menyangka ada penjarah yang telah mencuri masuk ke dalam makam tersebut. Tetapi setelah diperiksa tiada apa pun yang hilang dari dalam makam itu, malah kesan jejak si penjarah juga tidak ditemui.

Semua keranda itu kembali disusun pada posisi asalnya, termasuk keranda Thomas. Sekali lagi pintu makam yang berat itu ditutup dan disimen rapi.

Empat tahun kemudian,  Pada tahun 1816, makam Chase Vault dibuka semula untuk menempatkan jenazah Charles Brewster. Sekali lagi keluarga Chase terkejut kerana keranda-keranda tersebut sudah berubah daripada posisi asal kecuali keranda Goddard.

Petugas makam terpaksa menyusun semula keranda² itu pada kedudukan asal. Yang paling sukar adalah keranda Thomas yang paling berat, memerlukan tenaga lapan lelaki untuk mengalihnya ke posisi asal. Sekali lagi pintu makam ditutup rapi.

Dua bulan kemudian, pintu makam Chase Vault dibuka lagi untuk menerima keranda berisi jenazah Samuel Brewster. Dan mereka masih dikejutkan dengan posisi keranda-keranda yang sudah berantakan daripada kedudukan asal. Hanya peti keranda kayu Goddard yang masih terus utuh di tempat asalnya.

Sekali lagi keranda-keranda itu disusun. Pintu Chase Vault ditutup semula dengan keanehan yang masih belum terungkai. Tiga tahun kemudian, pintu makam dibuka lagi untuk menempatkan keranda Thomasina Clark.

Sama seperti sebelumnya, semua posisi keranda di dalam makam itu telah beralih arah kecuali keranda Goddard. Misteri tersebut menarik perhatian Gabenor Barbados ketika itu lantas mengarahkan siasatan dilakukan secara menyeluruh terhadap makam tersebut. Tetapi, tiada tanda yang menunjukkan ada orang telah memecah masuk ke dalamnya. Tiada laluan tersembunyi dan tiada kesan jejak manusia di dalam makam itu.

Peti² keranda itu disusun semula. Kemudian, pasir halus ditaburkan di seluruh lantai makam untuk tujuan mengesan jika ada penjarah yang masuk setelah makam itu ditutup nanti. Pintu Chase Vault ditutup rapi sekali lagi.

Lapan bulan kemudian, pintu Chase Vault kembali dibuka. Bukan untuk menempatkan jenazah baru, tetapi atas arahan gabenor yang mahu melihat keadaan di dalam makam itu semula.

Sekali lagi misteri yang sama berlaku. Kesemua keranda telah beralih kedudukan kecuali keranda Goddard. Anehnya, pasir di atas lantai makam kelihatan sama seperti sebelumnya, tiada sebarang kesan jejak kaki. Bagaimana keranda-keranda itu boleh berubah posisinya? Itulah misteri yang tidak terungkai sehingga kini.

Ada yang mengatakan mungkin ia kerana gempa bumi yang kemudian telah menggeser kedudukan keranda tersebut.Namun dalam jarak waktu itu, tiada gempa yang dicatatkan berlaku di Barbados.

Bagaimana pula Goddard, satu-satunya keranda² yang tidak pernah beralih dan kedudukan asal? Oleh kerana siasatan yang dilakukan terhadap misteri ini gagal mendapat sebarang jawapan, keluarga Chase sepakat untuk tidak lagi menggunakan makam tersebut. Kesemua keranda di dalam makam itu dibawa keluar dan disemadikan di tempat lain. Akhirnya, Chase Vault kosong sehingga kini.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: