PADA tahun 1923, Bill Beatty akhirnya berjaya merealisasikan impiannya untuk membina sebuah rumah agam di dalam kawasan hutan seluas 150 ekar di Basking Ridge, New Jersey. Rumah itu diilhamkan berdasarkan reka bentuk istana bangsa Norman yang dibina pada abad ke-17.


Tahun 1930, Bill membawa isteri dan empat anaknya menetap di situ walaupun pembinaan rumah itu masih belum siap sepenuhnya. Sayangnya, hanya setahun duduk di situ, Bill meninggal dunia di usia 45 tahun kerana serangan flu. Impian untuk melihat rumah idamannya siap sepenuhnya tidak kesampaian.


Isterinya, Sarah Beatty terus menetap di situ bersama anak anaknya sebelum berpindah pada tahun 1941. Rumah itu kemudian dijadikan sekolah untuk beberapa dekad sebelum terbiar kosong sehinggalah pada tahun 1972, Dong Burlingame dan isterinya Carol membeli rumah tersebut.

Penghuni misteri


PADA peringkat awal mereka berpindah ke rumah itu, hati Carol sudah terdetik ada sesuatu yang turut menghuni di situ. Kemudian, satu demi satu bunyi aneh mula didengari pasangan tersebut.


Bunyi bising bagai orang sedang mengetuk sesuatu berulang kali sering kedengaran terutama di bahagian laluan utama di dalam rumah itu. Acap kali juga mereka terdengar bunyi tapak kaki orang turun naik tangga. Anehnya, tiada kelihatan sesiapa apatah lagi hanya mereka berdua yang tinggal di situ.


Di saat awal, Carol pernah membawa seorang kawannya yang punya kelebihan psikik ke rumah itu. Dan temannya itu mengesahkan memang ada entiti lain yang tinggal di situ. Carol bertanya, perlukah entiti itu diusir keluar?


“Jangan. Biarkan saja. Ini memang tempatnya. Dia seorang yang mesra’. Tak perlu takut,” begitu jawab temannya itu.


Lalu, pasangan suami isteri itu belajar untuk hidup bersama ‘penghuni’ rumah baru mereka. Ada kalanya, ‘penghuni’ itu suka bergurau. Acap kali juga apabila pasangan Burlingame menonton televisyen, saluran rancangan akan bertukar sendirinya berulang kali.

Carol turut melakukan pencarian tentang pemilik asal rumah itu. Dari situlah dia mengenali nama Bill Beatty. Malah, Carol berjaya bertemu dengan Eugene Melville, salah seorang pekerja yang pernah terlibat dalam pembinaan rumah tersebut.


Lelaki itu tidak terperanjat apabila mendengar kisah ‘hantu’ yang turut menghuni di mahligai tersebut. Cerita Eugene, dia bertugas untuk menyiapkan pembinaan bahagian rumah yang tertangguh selepas kematian Bill.

“Pada suatu hari, saya membantu Sarah, isteri Bill mencari gelangnya yang hilang. Ketika itu kami berdua melihat bayang seorang lelaki berdiri di aras balkoni rumah dan memandang ke arah kami.


“Sarah yang terkejut melihat bayang lelaki itu menjerit dan menangis sambil mengatakan itulah Bill, suaminya yang sudah mati tiga tahun lalu. Tidak lama. Hanya sekejap bayang itu muncul sebelum hilang begitu saja di depan mata kami,” cerita Eugene.


Kejadian yang berlaku pada waktu siang itu membuat Eugene menggigil ketakutan. Malah, sejak itu dia tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke arah balkoni tersebut.


Barang beralih tempat


HASIL pencariannya, Carol yakin ‘penghuni’ di rumah adalah hantu jelmaan Bill Beatty, yakni pemilik asal yang bertanggungjawab membina mahligai tersebut. Malah, Carol kian biasa dengan kehadiran Bill di rumah itu.


Sering Carol perhatikan ada kalanya ‘hantu’ itu akan mengalihkan sesuatu barang. Contohnya sewaktu di dapur, roti yang diletakkan Carol akan beralih kedudukannya.


Bagi Carol, itu bagai satu petanda bahawa hantu Bill hendak menyatakan isyarat bahawa dia’ berada di situ. Malah, ada kalanya hantu tersebut lebih bertanggungjawab menjaga keselamatan rumah itu berbanding Carol. Pada suatu hari, pasangan suami isteri itu hendak keluar. Suaminya, Dong menyuruh Carol menutup semua tingkap kerana khuatir hari hujan sepeninggalan mereka.

Namun, Carol enggan menutup nya kerana yakin cuaca cerah, tida mungkin hujan akan turun. Rupa rupanya, setelah mereka pergi hujan benar-benar turun. Carol sau kerana tempias hujan melalu tingkap pasti akan membasahkan ruang dalaman rumah.


Tetapi apabila pulang semula ke rumah, mereka berdua terkejut melihat semua tingkap yang sebelum itu dibiarkan terbuka sudah elok terkatup rapat, bagaikan ada orang yang telah menolong menutupnya Tiada setitis pun air hujan masuk ke dalam rumah.


Kewujudan hantu di rumah Carol menarik perhatian penangkap paranormal. Namun, setelah kajian dijalankan di rumah itu, krew paranormal juga tidak menafikan kehadiran ‘entiti’ di situ.


Malah, Carol masih ingat kata kata Eugene bahawa Bill tidak akan pernah meninggalkan istana idamannya kerana mahligai tersebut dibina dengan perasaan penuh kasih sayang. Mungkin hanya apa bila berada di rumah itulah roh Bill menjadi lebih tenang.