MENGIKUT cerita lisan penduduk Kampung Lambor Kanan, di kampung itu ada seorang lelaki yang mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit hanya dengan menggunakan subang emas yang diwarisinya secara turun temurun. 

Kampung Lambor Kanan terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari pekan Kampung Gajah. Infiniti yang berkesempatan membuat pemerhatian lapangan di kawasan itu berkunjung ke kampung itu bagi mencari jawapan mengenai perkara itu.


Pemilik kepada subang emas ini, Abd Rahim Hamid dan isterinya Jamaliah Lamon merupakan anak jati kampung tersebut. 

Dipercayai subang emas tersebut adalah emas pusaka turun temurun yang umurnya sezaman dengan emas kancing Tapah yang turut popular di kampung ini. 

Subang emas ini juga dikatakan salah satu daripada tiga barang kemas milik Pak Kaduk yang diperbuat daripada emas yang ditemui di dalam perut ikan Tapah.


Jika emas kancing Tapah digunakan sebagai penawar penyakit bagi keturunan Pak Kaduk yang melanggar sumpah memakan ikan tapah, begitu jugalah dengan keadaan subang emas ini. Bezanya cuma emas kancing Tapah hanya untuk kegunaan keturunan Pak Kaduk saja sebaliknya subang emas ini boleh digunakan oleh sesiapa saja yang bukan berketurunan Pak Kaduk.


Ujar Abd Rahim, subang emas ini telah digunakan oleh kaum keluarganya sejak zaman nenek moyang mereka lagi. 

Walau bagaimanapun,dia sendiri tidak mengetahui dari manakah asal usul sebenar subang emas ini disebabkan tiada fakta mengenai pewaris pertamanya.

Cuma yang diketahuinya, dia adalah berkemungkinan daripada generasi keturunan keempat yang terpilih sebagai penjaga sekaligus menjadi pewaris subang emas ini.


Katanya lagi, orang perempuan tidak dibenarkan untuk menjadi pemilik subang emas ini. Setiap kali ia hendak diwariskan, hanya lelaki sahaja yang layak. Ini kerana, jika ia jatuh ke tangan perempuan, dipercayai ke semua keturunan keluarga itu bakal ditimba musibah.

Dikatakan, subang ini berpasangan ketika di jumpai dalam perut ikan tapah. Tetapi tidak diketahui bagaimana subang ini terpisah. Menurut Abd Rahim, dia hanya menyimpan sebelah saja subang itu manakala sebelah lagi subang dikatakan telah disimpan oleh kaum keluarga Pak Kaduk yang berada di Siak. Saiz subang emas ini berdiameter 5.5 sentimeter, dan di tengah-tengah subang ini dikelilingi oleh batu delima merah.


Persoalannya, bagaimanakah subang emas ini dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit dan bagaimana cara pelaksanaannya?


Bagi mengubati sebarang penyakit menggunakan subang emas ini, kata Abd Rahim, terdapat tatacara perubatan dan pantang larang yang perlu dipatuhi. Paling utama, orang luar tidak sesekali dibenarkan untuk melihat subang ini secara terus. Kecuali jika subang ini telah diambil gambarnya, maka baru lah ia boleh dilihat.


Proses perubatan menggunakan subang emas ini tidak mengambil masa yang lama, sekitar 30 minit sahaja. Langkah pertama, ia akan direndam di dalam air bersih dalam jangka masa 15 minit. 

Air itu kebiasaannya air hujan ataupun air mata air seperti air telaga dan air sungai. Ketika subang itu direndam, pemiliknya akan berdoa dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan memohon kepada Allah supaya membantu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh pesakit.


Kemudian, air tersebut dijirus ke pada pesakit dan ada kalanya air itu akan diminum. la bergantung pada penyakit itu. Jika pesakit itu seorang perempuan, air rendaman subang emas ini akan dijirus oleh muhrimnya dan bukan pemilik subang ini. Apa yang pastinya, menurut Abd Rahim, kebanyakan pesakit yang datang kebiasaannya akan sembuh.


Walau bagaimanapun, jika ada saudara mara jauh yang memerlukan rawatan subang emas ini tetapi ada halangan untuk datang ke rumah Abd Rahim, mereka dibenarkan untuk meminjam subang emas ini. 

Namun, tempoh peminjaman hanya dibenar kan selama 14 hari sahaja. Tidak boleh kurang dan lebih. Dengan kata lain, ia harus dihantar tepat pada hari ke 14. Jika perjanjian ini dilanggar, perkara buruk akan berlaku kepada ahli keluarga.

Subang emas ini masih lagi dalam jagaan Abd Rahim dan bakal diwarisi oleh anak lelakinya. Walau bagaimanapun, perubatan subang amas ini semakin kurang diamalkan. Kebanyakan ahli keluarganya sudah memilih untuk berubat secara moden. Tetapi, Abd Rahim tidak menolak jika ada di kalangan saudara maranya yang mahu mendapatkan khidmat subang emas ini.


NOTA: Cerita ini hanyalah sekadar diari budaya dan kepercayaan setempat. Belum ada kajian dan bukti saintifik subang emas boleh menyembuhkan penyakit. Cuma apa yang paparkan adalah sebagai menghargai budaya yang wujud. Kisah subang emas ini sebenarnya menjadi bukti, suatu masa dulu, wujud individu yang dinamakan sebagai Pak Kaduk.

Sumber – Majalah Infiniti Februari 2012