6 Jun 1933, 89 tahun yang lalu, pawagam pandu masuk yang pertama di A.S. dibuka.

Ia merupakan cetusan idea Richard Hollingshead, seorang penggemar filem & pengurus pemasaran di Camden, New Jersey. Dikatakan beliau mendapat inspirasi apabila ibunya selalu tidak selesa duduk di kerusi panggung wayang tradisional.

Lalu beliau terilham untuk membuat panggung terbuka yang boleh ditonton dari dalam kereta, bereksperimen dengan memasang pemancar Kodak 1928 pada bonet keretanya, mengikat skrin pada pokok di jalan masuk rumahnya & meletakkan radio di belakang skrin.

Hollingshead mendapat paten untuk konsep itu pada Mei 1933 lantas menubuhkan Park-In Theaters, Inc. & tidak sampai sebulan, Camden Drive-In dibuka di Admiral Wilson Boulevard di Pennsauken, New Jersey. Beliau mengecas 25 sen satu kereta & 25 sen setiap kepala.

Idea tersebut menjadi popular & apabila paten Hollingshead dibatalkan pada 1949, memberi laluan untuk pawagam pandu masuk tumbuh di serata A.S. Antara yang paling besar yang pernah dibuka adalah di Copiague, New York yang boleh menempatkan 2,500 kereta.

Lazimnya pawagam pandu masuk ini menayangkan filem-filem gred B Hollywood, ada juga yang mengikut tayangan pawagam biasa. Sistem bunyinya juga berkembang dari speaker di belakang layar kepada dimainkan di setiap kereta menerusi frekuensi radio.

Pawagam pandu masuk mencapai zaman kegemilangannya di lewat 1950-an hingga pertengahan 60-an, apabila ada sekitar 5,000 pawagam terbuka di serata A.S. Ia menjadi ikon budaya Amerika, destinasi tipikal seisi keluarga pada setiap hujung minggu.

Namun dengan meningkatnya harga hartanah & kewujudan sewaan pita video, industri itu semakin merosot. Hari ini dianggarkan hanya tinggal kurang daripada 500 pawagam pandu masuk yang masih bertahan di A.S.

Sumber: History