PULAU Tioman merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sangat popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara. Tarikan utama di pulau ini sudah semestinya pantai yang indah dan khazanah alam semula jadi yang tiada tolok bandingannya.

Tapi, tahukah anda suatu ketika dahulu pulau ini dipercayai pernah menjadi pelabuhan yang sangat sibuk sekitar abad ke-11 Masihi sebelum kewujudan Melaka. Berdasarkan sumber-sumber bertulis dan penyelidikan arkeologi mendapati pulau ini merupakan pelabuhan purba yang menjadi persinggahan kapal-kapal dagang dari China Selatan, Asia Tenggara, India, Timur Tengah dan Eropah.

Menurut Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, Pulau Tioman mula dikenali di kalangan pelaut dan pedagang khususnya pedagang kuno dari Laut China Selatan sejak seribu tahun yang lalu.

Antara bukti yang masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini ialah kewujudan beberapa puncak gunung dari batuan granit setinggi 1,000 meter di pulau peranginan itu. Difahamkan kawasan tinggi itu telah digunakan oleh jurumudi atau nakhoda kapal terdahulu untuk belayar dan mendarat dengan selamat.

Selain itu, kewujudan pelabuhan purba di Pulau Tioman turut dikaitkan dengan penemuan artifak purba iaitu seramik. Berdasarkan rekod penyelidikan arkeologi, jumpaan pertama artifak tersebut adalah pada tahun 1962. Terdapat lebih daripada 40 buah seramik ditemui oleh kumpulan ekspedisi penyelidik dari Universiti Malaya di Gua Serau, berdekatan dengan Teluk Nipah.

Hasil ekskavasi lanjut yang dilaku kan pada tahun 1970 hingga 1973 menemukan pula artifak dalam kuantiti yang banyak di sekitar lokasi yang sama. Kemudian, pada tahun 1975, pecahan seramik turut ditemui di dua buah lokasi berasingan di Pulau Tioman iaitu bahagian selatan Kampung Tekek dan Pantai Juara.

Pada tahun 1979, lebih banyak seramik yang masih dalam keadaan sempurna turut dijumpai. Dianggarkan sebanyak sembilan buah seramik berkeadaan lengkap berjaya ditemui. Manakala 104 lagi diperoleh daripada penduduk tempatan yang sebelum ini menjumpai dan menyimpannya.


Berdasarkan penemuan seramik di pulau ini, kebanyakannya adalah berasal dari wilayah Guangdong di China Selatan sewaktu pemerintahan Dinasti Song Utara (960-1126 Masihi) Dinasti Yuan di Jiangsu, Zhejiang dan wilayah Fujian dan bahagian China Selatan. Manakala, terdapat juga be: berapa buah seramik yang dijumpai turut berasal dari Thailand, Vietnam dan Eropah.

Jelas Dr. Nik Hassan Suhaimi lagi, seramik merupakan barang dagangan yang sangat penting suatu ketika dahulu. la berfungsi sebagai barang tukaran bagi pedagang-pedagang di Asia Tenggara dengan hasil hutan atau hasil laut. Selain itu, ia juga dijadikan sebagai hadiah untuk pemerintah-pemerintah di kawasan berkenaan.

Katanya lagi, seramik yang ditemui di Pulau Tioman boleh menjadi petun juk penting terutamanya dari aspek kronologi sejarah dan pola perdagangan awal di Semenanjung Malaysia. Secara teorinya, tidak mustahil pulau ini pernah menjadi salah satu rangkaian di antara pelabuhan-pelabuhan utama yang menjadi pilihan pedagang di sepanjang laluan maritim dari Timur hingga Barat.

Selain penemuan artifak seperti seramik, sumber bertulis turut menjadi rujukan bagi mendapatkan bukti kukuh kewujudan pelabuhan purba ini. Antaranya, sumber bertulis Arab Akhbar as ‘Sin wal Hind’ yang ditulis pada tahun 1000 Masihi. Dalam tulisan itu menyebut lokasi yang digelar dengan nama Betumah atau Tiyumah merujuk pada Pulau Tioman.

Mengikut sumber bertulis dari China pula, nama pulau ini pernah di nyatakan pada carta Wubeizhi yang dicetak pada tahun 1630. Berdasar kan isi kandungannya, Pulau Tioman digelar dengan nama Zhumashan Panggilan itu diambil sempena nama tali yang diperbuat daripada tanaman asli iaitu ‘Rami’ dan digunakan untuk mengikat pada kapal layar.

Berdasarkan maklumat daripada data-data arkeologi dan sumber bertulis, ujar Dr. Nik Hassan Suhaimi, jelas menunjukkan Pulau Tioman pernah menjadi sebuah pelabuhan persinggahan penting suatu ketika dahulu. la amat sesuai bagi kapal-kapal dagang berlabuh sebelum meneruskan perjalanan ke Champa (Kemboja), Vietnam dan seterusnya ke China.