7 Jun 1823, 199 tahun yang lalu, Stamford Raffles memperoleh penguasaan terhadap Singapura dari Empayar Johor-Riau.

Pada 29 Januari 1819, Raffles mendarat di Singapura dalam misi memecah monopoli Belanda di Kepulauan Melayu. Beliau mendapat kebenaran membuka pelabuhan British di pulau itu daripada Temenggung Abdul Rahman menerusi satu perjanjian esok harinya.

Tapi Tmg. Abdul Rahman bukan Sultan Johor-Riau, sebaliknya Sultan Abdul Rahman yang bersemayam di Lingga. Sultan Abdul Rahman menjadi sultan kerana abangnya Tengku Hussain tak berada di samping ayahanda mereka Sultan Mahmud Syah III ketika mangkat.

Tengku Hussain disokong Tmg. Abdul Rahman sementara Sultan Abdul Rahman disokong Yamtuan Muda yang baik dengan Belanda. Tengku Hussain & Tmg. Abdul Rahman melihat kehadiran Raffles sebagai peluang mendapat sokongan besar British untuk misi naik takhta.

Lalu dimeterai perjanjian pada 6 Februari 1819 di mana Raffles setuju mengiktiraf Tengku Hussain sebagai Sultan yang sah. Tercetus ketegangan antara British-Belanda & British rasa mereka perlu kuasai seluruh Singapura untuk mendepani kuasa Belanda.

Maka didesak Sultan Hussain menandatangani satu lagi perjanjian pada 7 Jun 1823, memperuntukkan baginda kekal diiktiraf sebagai Sultan Johor-Riau dengan elaun tahunan dinaikkan ke 1,500 Dolar Sepanyol serta diberi perlindungan oleh British.

Namun kuasa Sultan Hussain & Tmg. Abdul Rahman hanya terhad di sekitar kediaman mereka, hal-hal berkaitan adat tradisi & agama sementara hak kutip cukai kapal di pelabuhan diambil. Secara tidak langsung, seluruh Singapura di bawah perintah British.

Pada masa sama, British & Belanda berunding untuk menyelesaikan kemelut antara mereka. Maka termeterailah Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824 yang memuktamadkan wilayah kuasa 2 empayar Barat itu di Kepulauan Melayu.

Penjajahan British ke atas Singapura dilengkapkan dengan Perjanjian Persahabatan & Perikatan pada 2 Ogos 1824. 2 tahun kemudian, Singapura bersama Melaka & Pulau Pinang digabung British menjadi Negeri-Negeri Selat.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, The Patriots, Iluminasi