27 Ogos 1896, hari ini 126 tahun yang lalu, meletusnya perang paling pendek dalam sejarah, Perang Inggeris-Zanzibar, yang berlangsung hanya kurang 40 minit.

Perjanjian Heligoland-Zanzibar 1890 membahagikan Timur Afrika kepada 2 wilayah kuasa: Tanzania di bawah Jerman sementara Zanzibar di bawah British. Lantas British meletakkan ‘boneka’nya untuk menjaga wilayah naungannya itu.

Sayyid Hamad bin Thuwaini al-Busa’id dilantik menjadi Sultan Zanzibar pada 1893 namun 3 tahun kemudian, pada 25 Ogos 1896, baginda mangkat & serta merta sepupunya, Sayyid Khalid bin Barghash al-Busa’id menaiki takhta – tanpa restu British.

British mengarahkan Khalid untuk turun takhta & tinggalkan istana, namun tidak diendahkannya malah dikumpulkan sekitar 2,800 orang (pengawal istana, orang ramai & hamba) dengan beberapa senjata artileri untuk mempertahankan istana.

Amaran akhir diberikan kepada Khalid pada 26 Ogos supaya meninggalkan istana sebelum 9 pagi esok harinya. Begitupun, sejam sebelum tempoh diberikan tamat, Khalid menjawab bahawa beliau takkan tunduk & tak percaya British akan melancarkan serangan.

Maka kurang lebih jam 9 pagi 27 Ogos, British dengan 1,050 anggota di darat serta 5 kapal mula membedil istana. 2 minit selepas serangan bermula, Khalid melarikan diri ikut pintu belakang & membiarkan angkatannya mempertahankan istana dengan sendiri.

Sekitar jam 9.40 pagi, bedilan dihentikan & bendera Sultan diturunkan, maka perang terpendek dalam sejarah itu berakhir hanya selepas kira-kira 38 minit. Dengan itu, British meletakkan ‘boneka’ baharunya, Hamud bin Mohammed sebagai Sultan.

Khalid melarikan diri bersama kumpulan kecil penyokong & diseludup ke Tanzania dengan bantuan Jerman. Namun apabila British menakluk Timur Afrika pada 1916, Khalid ditangkap & dibuang negeri ke Saint Helena.

Sumber: Historic UK