16 Julai 1994, hari ini 28 tahun yang lalu, Stadium Shah Alam dirasmikan.

Terletak di bahagian timur bandaraya Shah Alam, reka bentuk stadium ini dibuat oleh arkitek tersohor tanah air, Hijjas Kasturi. Diinspirasikan daripada Stadium Poljud di Split, Croatia, pembinaannya dimulakan pada 1 Januari 1990 dengan kos sekitar RM480 juta.

Ia dibuka secara rasmi oleh Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah A-Haj pada 16 Julai 1994, ketika perlawanan pembukaan Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Mitsubishi antara Selangor FC dengan Dundee United.

Dengan struktur 6 tingkat separa tertutup dalam kawasan seluas 155,000 meter persegi, ia merupakan stadium terbesar di Selangor, di Malaysia & di Asia Tenggara pada ketika ia siap dibina. Struktur rangkanya merupakan gerbang berdiri bebas terpanjang di dunia.

Kapasiti tempat duduknya adalah 69,372 namun ia boleh menampung muatan penuh sehingga lebih 80,000 penonton. Stadium Shah Alam menjadi pangkalan skuad Selangor FC & bola sepak kebangsaan sehingga Stadium Nasional Bukit Jalil siap pada 1998.

Selain sebagai pentas pertandingan bola sepak, sukan padang & trek, Stadium Shah Alam turut menjadi venue acara antarabangsa. Bon Jovi mengadakan konsert pertamanya di Malaysia di situ pada 4 Mei 1995 & dijadikan lokasi cabaran “The Amazing Race Asia 1.”

Stadium Shah Alam merupakan sebahagian daripada Kompleks Sukan Shah Alam yang turut merangkumi Stadium Malawati (stadium tertutup), Stadium Mini Shah Alam & juga trek lumba go-kart.

Sumber: Arkib Negara Malaysia