22 Februari 1992, hari ini 30 tahun yang lalu, penghibur legenda, Datuk Sudirman Haji Arshad meninggal dunia.

Lahir pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang, Sudirman merupakan yang bongsu daripada 7 beradik. Namanya diberikan oleh bapanya sempena tokoh pejuang kemerdekaan Indonesia, Jeneral Soedirman.

Karier seninya bermula apabila menjuarai Bintang RTM 1976 ketika beliau menjadi penuntut di Universiti Malaya. Album pertamanya, “Aku Penghiburmu” terbit pada 1978 & beliau tamat pengajian 2 tahun kemudian.

Sudirman menjadi peguam untuk beberapa tahun, namun meninggalkan profesion itu untuk fokus kepada kerja seninya. Namanya meledak sebagai bintang utama era 80-an dengan deretan lagu hits bersama gaya persembahannya yang kreatif.

Beliau melakar sejarah pada malam 15 April 1986 apabila mengadakan konsert terbuka & percuma di Jalan Chow Kit yang disaksikan oleh lebih 100,000 penonton dari segenap lapisan masyarakat Malaysia khususnya di sekitar KL.

Beliau dinobatkan sebagai ‘Penghibur Nombor 1 Asia’ pada Salem Asian Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989, mengatasi peserta lain antaranya legenda pop Hong Kong, Leslie Cheung & Anita Sarawak dari Singapura.

Di samping menyanyi, Sudirman juga seniman serba boleh apabila membintangi filem ‘Kami’ (1982) sebagai teraju utama. Beliau juga menerbitkan buku kanak-kanak & autobiografinya sendiri serta menjadi kolumnis & wartawan sambilan.

Sudirman turut menghasilkan komik lukisannya sendiri yang diterbitkan dalam majalah & akhbar tempatan. Beliau juga seorang usahawan, menghasilkan minuman ringan ‘SUDI’ serta membuka kedai menjual rangkaian cenderamata jenamanya sendiri.

Pada 17 Julai 1991, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Tawakkal, KL selepas rebah ketika membuat persembahan di Butterworth, P. Pinang. Selepas 7 bulan menderita pneumonia, Sudirman menghembuskan nafas terakhir pada 4 pagi 22 Februari 1992 di usia 37 tahun.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh. Walaupun hanya 16 tahun menyinari dunia seni tanah air, kehadirannya tiada galang ganti sehingga hari ini.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, NST, Utusan Malaysia