Pesawat MAS Boeing 737 MH653 terhempas tahun 1977

Share

Boeing 737 MH653


PADA 4 Disember 1977, sekitar pukul 7:21 malam, pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), Pulau Pinang. Pesawat tersebut membawa seramai 93 penumpang, bersama tujuh anak kapal itu di jadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor. Malangnya, kapal terbang itu tidak kunjung tiba.

Awal penerbangan, semua keadaan terkawal dan selamat. Namun kira-kira 7:54 malam ketika pesawat berada di udara, menara kawalan LTABL tiba-tiba menerima berita mengejutkan. Seorang daripada juruterbang pesawat memaklumkan bahawa telah berlaku situasi cemas dalam penerbangan tersebut.
Apabila ditanya lebih lanjut tentang hal itu, makluman yang diberikan kali ini lebih memeranjatkan. Pemandu kapal terbang memberitahu bahawa pesawat MH653 te lah dirampas oleh sekumpulan pihak tidak dikenali.


Mendengar berita itu, menara kawalan LTABL dengan segera menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat. Setelah arahan diberikan, pesawat MH653 dilihat terbang semakin rendah. Tapi belum pun sempat mencecah landasan, tiba-tiba pesawat tersebut kembali terbang tinggi meninggal kan daratan. 

Kemana kapal terbang itu hendak pergi? Tindakan aneh juruterbang berkenaan benar-benar membingungkan dan menimbulkan pelbagai persoalan. Segala teka teki akhirnya terjawab apabila juruterbang kembali memaklumkan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura.
Tanpa berlengah, LTABL terus menghubungi Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura dan memaklumkan situasi cemas yang dihadapi pesawat MH653 itu. Akhirnya, pihak berkuasa negara terbabit dengan segera memberikan keluluasan untuk mendarat.


Berita ketibaan pesawat MH653 di nantikan dengan penuh debaran. Namun penantian itu berakhir dengan berita tidak terduga apabila imej kapal terbang tersebut secara tiba-tiba hilang daripada radar menara kawalan. Pelbagai usaha dilakukan termasuk percubaan untuk menghubungi pesawat berkenaan menerusi talian radio. Akan tetapi semuanya tidak berjaya.
Pelik, kenapa radar tiba-tiba tidak boleh mengesan kapal terbang tersebut? Apakah itu petanda ada sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas pesawat berkenaan? Memikirkan akan kehilangan pesawat MH653 ini betul betul merungsingkan pihak yang terlibat.
Di lokasi lain sekitar pukul 8:00 malam, keheningan dan ketenangan malam di beberapa buah kampung di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, tiba-tiba digemparkan dengan satu bunyi kuat. Bunyi itu sangat berdesing seakan bunyi wisel yang sangat kuat.


Untuk memastikan apakah bunyi aneh itu, ada di antara penduduk kampung berlari keluar rumah. Alangkah terkejutnya mereka apabila terlihat sebuah pesawat bersaiz besar terbang begitu rendah. la betul-betul berada separas pokok kelapa.
Ketika itu, kapal terbang mula di lihat seperti hilang kawalan. Dan tidak lama kemudian, pesawat itu berpusing-pusing di udara, sebelum meletup dan jatuh terhempas di atas permukaan tanah. Impaknya, kawasan sekitar kampung merasa gegaran sehingga ada yang menyangka gempa bumi berlaku di mukim tersebut.


Ledakan yang sangat kuat juga telah menyebabkan api marak dan menjulang tinggi sehingga berpuluh meter ke udara. Dikatakan, nyalaan api itu boleh diamati sejauh puluhan kilometer. Malah kehangatannya pula boleh dirasai sekali gus menerangi suasana kelam malam di beberapa buah kampung di Tanjung Kupang.

Apakah tragedi pesawat terhempas di kampung Tanjung Kupang itu merupakan kapal terbang MH653 yang dikatakan hilang daripada radar? Jika benarlah ia adalah pesawat MH653, bagaimana pula dengan nasib juruterbang, anak kapal dan 93 lagi penumpang lain. Adakah mereka semuanya selamat?
Tambah membingungkan, benarkah penerbangan MH653 telah dirampas seperti dimaksudkan oleh pilot yang bertugas? Siapa sebenarnya pihak terlibat yang mendalangi operasi jahat itu? 


SUASANA selesa dan indah dalam kapal MH653 Boeing 737 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Pulau Pinang ke Selangor begitu mendamaikan. Malangnya, pesawat yang membawa seramai 93 orang penumpang dan tujuh anak kapal itu tiba-tiba dilaporkan hilang daripada radar.Kejadian itu berlaku selepas beberapa minit ia berada di udara. Pesawat MH653 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di Pulau Pinang sekitar pukul 7:21 malam pada 4 Di sember 1977. Penerbangan itu di jadualkan bakal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS), Selangor kira-kira sejam selepas berlepas. 


Namun, tiada siapa menduga keasyikan berada pada kedudukan tinggi itu dengan sekelip mata bertukar menjadi tragedi mengerikan. Sebelum hilang daripada radar, seorang daripada juruterbang telah memaklumkan bahawa ada sesuatu kejadian mencemaskan berlaku dalam penerbangan itu. Dikatakan sekumpulan pihak tidak dikenali yang berada dalam penerbangan itu tiba-tiba bangun dan bertindak ganas merampas pesawat.


Selepas insiden rampasan itu, imej kapal terbang MH653 dilaporkan hilang daripada radar menara kawalan. Belum pun selesai kes merunsingkan itu, sebuah pesawat diberitakan terhempas di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, pada hari yang sama sekitar pukul 8:00 malam.
Dapatkah pasukan pengesan menjejaki imej pesawat MH653? Benarkah pesawat malang itu telah dirampas seperti dimaklumkan oleh pilot yang bertugas sebelum hilang dari radar? Dan apa pula kaitan kes kehilangan itu dengan berita pesawat terhempas di kampung Tanjung Kupang? Semua ini benar-benar membingungkan pihak terlibat.


Bagaimanapun setelah siasatan dilakukan adalah agak mengejutkan kerana semua persoalan itu rupanya berhubung kait antara satu sama lain. Objek besar yang terhempas di Tanjung Kupang bukanlah objek terbang asing, tetapi disahkan sebagai pesawat MH653. Menyedihkan, tiada seorang pun daripada 93 orang penumpang dan tujuh orang krew penerbangan terselamat dalam nahas udara itu.
Antara nyawa yang terkorban dalam tragedi dahsyat itu ialah Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid, Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu bakar Othman Merican.

Selain itu, dua orang pegawai Bank Dunia, O.D Hoerr dan S.A Naime, seorang usahawan Jepun, Tomio Gotto, Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia dan isterinya turut terkorban bersama sama puluhan penumpang lain dan petugas kabin. Akibat kemalangan itu tiada satu pun mayat yang ditemui dalam keadaan sempurna.

Paling menyayat hati, tiada tengkorak dijumpai di kawasan tragedi. Adapun yang ditemui hanya cebisan cebisan daging dan isi perut mangsa yang hangus terbakar bertaburan di kawasan paya bakau sekitar perkampungan Tanjung Kupang. Dalam keadaan sebegini, adalah sangat sukar untuk mengecam identiti setiap mangsa.


Atas sebab itu, beberapa orang ketua pelbagai agama berbincang dan memutuskan untuk mengebumikan kesemua mangsa secara bersama. Lima hari selepas kejadian, pengebumian secara besar-besaran kemudian dilakukan di sebuah tapak perkuburan khas di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Namun, keadaan sedih itu tidak berakhir di situ. Masih banyak teka-teki berhubung punca kepada kehilangan pesawat MH653 belum terjawab sampai ke hari ini. Antaranya, bagaimana kapal terbang tersebut boleh hilang daripada radar hingga membawa kepada kemalangan ngeri.


Daripada rekod pelbagai sumber, kebanyakannya cuba mengaitkan kejadian itu dengan pelbagai teori rampasan kapal terbang. Antaranya, anggota militan Vietnam dikaitkan sebagai dalang. Ini kerana sebelum kejadian berlaku, penguat kuasa Singapura telah menahan tiga orang militan Vietnam yang merampas pesawat DC3 Air Vietnam.


Selain itu, ada juga pihak yang meletakkan teori bahawasanya pemberontak Cuba merupakan pelaku utama dalam kejadian rampasan itu. Kononnya pemberontak dari negara itu telah merancang melakukan perbuatan khianat terhadap duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia yang sedang menaiki pesawat tersebut.
Di samping itu, terdapat juga teori lain yang mempercayai bahawa kejadian itu didalangi gerila Tentera Merah Jepun (JRA). Namun keterlibatan tentera berkenaan dalam rampasan pesawat MH653 dinafikan. Siapa pun pelakunya, penerbangan pesawat MH653 telah menjadi huru-hara. Sepatutnya kenderaan udara itu dijadualkan mendarat di LTAS. Tapi telah menukar laluan penerbangan pada saat-saat akhir ke Singapura. 


Semasa dalam perjalanan ke Singapura, terdapat spekulasi mengatakan kedua-dua juruterbang MH653 ditembak mati hingga me nyebabkan kapal terbang tersebut jatuh terhempas. Oleh kerana tiada saksi yang terselamat, semua teori tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya. Harapan para penyiasat hanya bergantung kepada kotak hitam (perakam suara dan maklumat penerbangan) yang berjaya dijumpai beberapa minggu kemudian.


Hasil siasatan ke atas bahan bukti itu telah didedahkan dalam satu laporan rasmi sembilan bulan selepas kejadian. Dalam laporan itu menyatakan bahawa juruterbang dan seorang pegawai penerbangan telah ditembak oleh perampas, la berlaku beberapa minit sebelum pesawat malang itu menjunam jatuh di Tanjung Kupang.

Dalam rakaman itu, kedengaran suara juruterbang bernama G.K Ganjoor sempat merayu, “No, please, don’t” sebelum terdengar bunyi das tembakan sebanyak tiga kali. Kejadian menyedihkan itu berlaku semasa pesawat berada pada ketinggian 4,000 kaki. Sejurus selepas juruterbang ditembak, seseorang cuba menerbangkan dan mengawal pesawat. Tapi, pesawat itu mula menjunam dan terhempas ke Bumi pada kelajuan 450 knot.


Sebelum insiden itu, kotak hitam turut merakam suara seseorang yang tidak dikenali dengan berkata, “You bluff us”. Terdengar juga suara perbualan dalam bahasa asing dalam rakaman itu. Tapi siapa mereka dan apa kewarganegaraan mereka belum dapat dikenal pasti. 

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: