Pesawat MAS Penerbangan 653 dirampas & terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977.

MH653 berlepas dari P. Pinang tepat jam 19:21 & dijadual tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Sekitar jam 19:47, Kapten GK Ganjoor & pembantunya Kamarulzaman Jalil membuat persiapan mendarat ketika di altitud 4,000 kaki di atas Batu Arang.

Tak lama kemudian, pintu kokpit diketuk & diceroboh masuk individu tak dikenali. Kru memaklumkan kepada menara kawalan trafik Subang bahawa “ada perampas di dalam pesawat” sebelum memberitahu bahawa “kami kini menuju ke Singapura. Selamat malam.”

Pada jam 20:15, pesawat itu gagal dihubungi. Berdasarkan beberapa minit terakhir rakaman suara kokpit, juruterbang meminta supaya pesawat singgah di Subang untuk mengisi minyak namun ditolak perampas, diikuti beberapa das tembakan kedengaran.

Selepas kedua-dua juruterbang ditembak mati, pesawat Boeing 737 itu menjunam & dikatakan meletup di udara sekitar jam 20:30 sebelum terhempas di sebuah kawasan paya dekat Kampong Ladang, Tanjung Kupang. Kesemua 93 penumpang & 7 anak kapal terkorban.

Antara yang maut adalah Menteri Pertanian, Datuk Seri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfudz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad; & Duta Cuba ke Jepun, Mario García Incháustegui serta isterinya.

Cebisan mayat penumpang & anak kapal yang bersepai dikumpul & dikebumikan dalam satu liang lahad 5 hari selepas nahas iaitu pada 9 Disember 1977 di perkuburan khas yang kini menjadi Memorial Peringatan Tragedi Tanjung Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Siapa yang bertanggungjawab di sebalik nahas itu tak pernah terjawab. Ada yang mengatakan bahawa ianya kerja Tentera Merah Jepun, ada juga dakwaan bahawa rampasan dilakukan militan Vietnam & juga teori keterlibatan kumpulan penentang kerajaan Cuba.

Ia merupakan tragedi pertama buat MAS & korban udara terburuk yang pernah berlaku di bumi Malaysia. Insiden itu membawa kepada pembentukan Unit Keselamatan Penerbangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA, kini CAAM).

Sumber: NST, Illuminasi, Arkib Negara Malaysia