BAGI pasangan yang ingin meraikan cinta tentulah akan mencari tempat-tempat menarik, istimewa dan privasi. Di Itali, terdapat sebuah lokasi yang memberikan pengalaman indah seperti itu.


Solo Per Due merupakan sebuah restoran terkecil di dunia. Di dalam nya, cuma ada sebuah meja dan dua buah kerusi. Restoran ini sengaja di dekor sebegitu rupa kerana ia hanya mahu menerima dua orang pelanggan pada satu-satu masa.


Justeru, bagi pelawat yang telah menempah awal, makan malam anda akan menjadi satu kenangan indah. Mana tidaknya, anda tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapatkan hidangan yang dipesan, apatah lagi mendengar bunyi bising yang berlebihan. Kerana pada masa itu, tiada orang lain melainkan anda berdua sahaja di restoran itu.

Menurut pemilik restoran, Remo Di Claudio, beliau sengaja membina tempat menjamu selera yang hanya memuatkan dua orang pelanggan pada satu-satu masa. Tujuannya ada lah bagi memudahkan beliau dan pekerjanya memberi perhatian lebih kepada pelanggan. Dengan harapan, dia dapat memenuhi apa saja permintaan pelanggan sekaligus memberi layanan terbaik buat mereka yang datang.


Memandangkan restoran tersebut memuatkan dua orang pelanggan sahaja, maka tempahan perlu dilakukan terlebih awal. Setibanya anda di perkampungan Vacone nanti, anda akan disambut dengan bangunan bersejarah abad ke-19, tempat di mana lokasi Solo Per Due. Bersebelahan bangunan itu pula terdapat runtuhan vila kuno di mana penyair Latin, Horatio dikatakan pernah tinggal di situ.


Tambah menarik, apabila melangkah masuk ke dalam restoran, anda akan merasa seolah-olah seperti berada dalam sebuah taman. Dikelilingi dengan pelbagai koleksi pokok bunga yang didatangkan khas dari seluruh dunia.


Antaranya bunga daripada spesies Trachycarpus fortunei, Trachycarpus martianus, Phoenix canarien sis, Phoenix reclinata, Butia capitata, Bhaea armata, Washingtonnia filifera, Sabal mexicaca, Chamaerops humilis dan beberapa jenis Cycas revoluta.


Semasa cuaca panas, tetamu boleh berehat di bawah rimbunan pokok bunga dan menikmati pemandangan sekeliling. Di sini, anda juga boleh menemui Libro dei pensieri, sebuah buku catatan berkisar tentang kisah-kisah romantik, menyeronokkan atau sedih daripada tetamu dari seluruh dunia yang pernah datang ke sini.


Selesai menikmati pemandangan sekitar restoran, pelanggan akan dipelawa ke meja makan yang telah dihiasi dengan candelier dan cahaya lilin di atasnya. Satu hiasan tradisional untuk menetapkan suasana romantis di bangunan itu seperti mana biasa dilakukan sejak abad ke-19 lagi.


Tapi sekiranya anda belum mahu menikmati makan malam dan bercadang ingin berbual-bual dengan pasangan terlebih dahulu, tidak mengapa. Malam itu ialah hari untuk anda berdua sahaja. Anda boleh memanggil pelayan restoran bila-bila masa yang anda suka dengan hanya membunyikan loceng tangan berwarna perak.


Menu hidangan juga sudah tentu istimewa daripada biasa. Dalam menjaga kualiti, pemilik restoran sangat teliti dalam memilih bahan yang digunakan untuk masakan. Justeru, menu yang berasaskan bahan-bahan segar dan berkualiti tinggi menjadi pilihan utama pada setiap hari mengikut musim.


Bahan-bahan segar itu pula kebanyakannya daripada sumber tempatan. la termasuk minyak zaitun, keju, kambing biri-biri, pasta segar, pastri roti, pelbagai jenis cendawan liar, buah buahan, daging, gula-gula tempatan dan kek.


Bagi memastikan pengalaman makan malam yang romantis, salah satu pencuci mulut orang Itali, iaitu tiramisu juga dihidangkan di restoran ini. Tiramisu ini dihiasi dengan coklat berbentuk hati. Selepas selesai menjamu selera, pelanggan diminta untuk menulis pandangan dan sedikit pengalaman saat menikmati makan malam di restoran terkecil di dunia itu.


Oleh kerana segala-galanya eksklusif, baik dari segi makanan, layanan dan suasana restoran, maka harga yang ditetapkan untuk setiap seorang ialah sebanyak 250 euro (RM1,200).


Sejak ia dibuka kepada pelawat untuk makan malam dan tengah hari, restoran kecil ini telah menerima kunjungan lebih 1,500 orang pelanggan pada setiap tahun. Sampai sekarang, ciri-ciri unik sedemikian telah menjadikan restoran Solo Per Due destinasi popular bagi pelancong dari seluruh dunia.