21 Jun 1893, 129 tahun yang lalu, Roda Ferris yang pertama diperkenalkan di Chicago, A.S.

Ketika pelan “World’s Columbian Exposition” di Chicago dirangka, ketua arkitek, Daniel Burnham menyeru para jurutera terlibat dalam projek itu supaya tampil dengan idea binaan yang luar biasa, bagi menandingi Menara Eiffel yang dibina di Paris tahun sebelumnya.

Jurutera dari Pittsburgh, George Washington Ferris Jr. hadir dengan lakaran roda besi gergasi yang berputar lalu dikongsikan dengan Burnham. Namun Burnham menolaknya, tidak yakin dengan idea binaan sedemikian yang dirasakannya ‘terlalu rapuh’.

Tidak putus asa, Ferris menggunakan $2,500 daripada simpanannya sendiri untuk membuat kajian keselamatan, mengupah lebih ramai jurutera & memanggil lebih banyak pelabur. Pada 16 Disember 1892, idea itu diterima sebagai mercu tanda ekspo tersebut.

Roda tersebut dibina dengan lebih 100,000 komponen, berdiri setinggi 80.4 meter dengan 36 gondola yang boleh memuatkan hingga 60 orang setiap satu. Dengan bayaran 50 sen, penumpang boleh menikmati pemandangan seluruh bandar Chicago untuk 20 minit.

19 minggu selepas dibuka pada 21 Jun 1893 di Midway, tarikan itu telah dinaiki kira-kira 1.4 juta orang. Namun selepas ekspo tersebut ditutup, Ferris dibelenggu saman akibat berhutang dengan pembekal ekoran pihak ekspo yang tidak melunaskan bayaran kepadanya.

Ferris akhirnya jatuh bankrap, sakit & meninggal dunia pada 1897 di usia 37 tahun. Roda ciptaannya itu dibeli oleh sebuah syarikat pemusnah & dipasang di Lincoln Park, Chicago pada 1895 sebelum dipindahkan pula ke Pesta Dunia di St. Louis, Missouri pada 1904.

Selepas pesta itu berakhir, usaha untuk mendapatkan pemilik roda itu seterusnya bertemu kegagalan, tiada yang sanggup membawanya ke lokasi lain. Akhirnya roda tersebut dimusnahkan dengan dinamit pada 11 Mei 1906 & besinya dijual sebagai skrap.

Walaupun Roda Ferris yang asal sudah tiada, ciptaan unik & ikonik itu terus hidup apabila ditiru & dibina di serata dunia sehingga hari ini.

Sumber: Chicago Tribune, Smithsonian Magazine