23 Ogos 1973, hari ini 49 tahun yang lalu, berlaku rompakan bank di Stockholm, Sweden yang melahirkan terma ‘sindrom Stockholm.’

Pada pagi 23 Ogos 1973, Jan-Erik Olsson, seorang banduan yang melarikan diri, memasuki Sveriges Kreditbanken di Norrmalmstorg dengan selaras sub-mesingan & melepaskan tembakan ke siling sebelum mengambil 4 orang kakitangan bank itu sebagai tebusan.

Olsson menuntut 3 juta kronor Sweden, pembebasan rakan sebiliknya di penjara, Clark Olofsson untuk dibawa menyertainya di dalam bank itu & sebuah kereta untuk melarikan diri. Polis memenuhi semua tuntutan kecuali permintaan untuk keluar bersama tebusan.

Bersembunyi di dalam bilik kebal bank, para tebusan membentuk hubungan aneh dengan penculik mereka ekoran layanan mesra yang diberikan oleh Olsson & Olofsson. Malah mereka lebih berasa terancam oleh polis berbanding 2 orang penjenayah itu.

Salah seorang tebusan turut menelefon Perdana Menteri Sweden, Olof Palme, merayu untuk membenarkan 2 penculik itu membawanya bersama di dalam kereta melarikan diri. Selama episod tebusan itu, para tebusan tidak langsung dicederakan oleh penculik mereka.

Akhirnya pada malam 28 Ogos, selepas lebih daripada 130 jam, polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam bilik kebal lantas Olsson & Olofsson mengalah. Polis memanggil 4 tebusan itu untuk keluar dahulu, namun mereka enggan malah melindungi 2 penculik itu.

Di pintu bilik kebal, mereka berpelukan, berciuman & bersalaman sebelum berpisah. Para tebusan yang diselamatkan merayu kepada polis supaya Olsson & Olofsson tidak diapa-apakan ketika mereka berdua digari & dibawa pergi.

Malah selepas Olsson & Olofsson kembali ke penjara, para tebusan terbabit datang melawat mereka. Tidak lama kemudian mahkamah membatalkan sabitan terhadap Olofsson, namun Olsson kekal di dalam penjara sehingga dibebaskan pada 1980.

Setelah bebas, Olsson mengahwini salah seorang peminatnya yang mengutus surat kepadanya ketika di dalam penjara, berhijrah ke Thailand & menerbitkan buku autobiografinya pada 2009 bertajuk “Stockholms-syndromet.”

Sumber: History