Islam tidak pernah menetapkan garis panduan khusus untuk membina dan mereka bentuk sesebuah masjid, namun begitu Islam menggariskan beberapa panduan yang dapat diikuti oleh pengikutnya. Antara garis panduan tersebut ialah Islam menyarankan supaya pembinaan masjid itu haruslah mengikut model Masjid Al Madinah yang dibina pada zaman Rasulullah S.A.W. Model yang dimaksudkan bukan menjurus kepada penampilan bentuk dan rupa tetapi lebih tertumpu kepada peranan dan fungsinya, iaitu sebagai pusat ibadah dan sekali gus sebagai pusat penyatuan ummah.

Walaupun Masjid Al-Madinah yang dibina oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat begitu ringkas bentuknya, namun begitu masjid pertama ini berjaya menjadi pusat kegiatan segala aktiviti, selain pusat beribadah termasuklah ia sebagai pusat tarbiah, musyawarah, pengadilan, pentadbiran negara dan sebagainya.

Sejarah pembinaan masjid awal pada zaman Rasulullah S.A.W dan Khulafa Al-Rasyidin, menampilkan reka bentuk yang agak sederhana dari segi keterampilanya, tidak mempunyai kubah dan menara azan seperti sekarang ini. Penampilannya agak ringkas dengan menampilkan bumbung yang mendatar atau rata (hasil seni bina asli Arab) yang dikenali sebagai sutah. Dinding masjid diperbuat daripada tanah liat (lumpur), menggunakan batang pokok kurma sebagai tiang dan palang masjid, di samping pelepah dan daun kurma sebagai atapnya. Antara masjid-masjid awal di Tanah Arab yang menampilkan reka bentuk seperti ini adalah masjid awal Kufah yang dibina pada tahun 539 Masihi, Masjid Al-Madinah, 622 Masihi dan Masjid Amru Fustat, 642 Masihi.

Reka bentuk masjid mula berubah apabila Islam bertapak kukuh di hampir keseluruhan Asia Barat dan berakhirnya pemerintahan Khulafa Al-Rasyidin dan wujudnya empayar pemerintahan kabilah seperti pada zaman Khalifah Bani Ummaiyah (661 hingga 750 Masihi) dan Bani Abbasiyah (751 hingga 1258 Masihi). Mulai zaman ini khalifahnya mula berminat kepada kemewahan, berbeza dengan zaman sebelumnya yang mengamalkan konsep kesederhanaan seperti yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W dan diteruskan oleh para sahabat. Mulai zaman ini khalifahnya mengarahkan juru bina dan tukang mahirnya meniru ragam bentuk gereja-gereja yang terdapat di Asia Barat seperti Gereja Ascension di Jurusalem, Gereja Santa Centoza di Rom dan sebagainya. 

Maka mulai saat ini reka bentuk masjid telah berubah dan dipengaruhi unsur seni bina luar dengan perubahan ketara pada bentuk bumbungnya yang menampilkan bentuk separuh bulat atau dikenali sebagai ‘dom. Mulai saat ini juga reka bentuk masjid berbentuk dom mula mendapat tempat dan menjadi ciri-ciri penting kepada pembinaan masjid di seluruh dunia Islam amnya dan terus berkembang hingga kini.

Masjid yang mula-mula menampilkan reka bentuk masjid berbentuk dom atau berkubah adalah Masjid Omar Al-Aqsa yang terletak Jurusalem (Palastin) ia lebih dikenali sebagai Masjid Qubah Al-Sakhrah (batu tergantung di bawah kubah) yang mula dibina pada tahun 688 hingga 692 Masihi. Reka bentuk masjid terus berkembang pesat di awal abad ke-8 hingga abad ke-12 Masihi apabila Islam telah berkembang pesat hampir ke seluruh pelosok dunia, pada era ini iaitu pada tahun 785 Masihi sebuah masjid besar telah dibina di Eropah dengan menampilkan ciri-ciri kubah yang besar di samping pembinaan menara yang tinggi. Maka menjadikan masjid ini sebagai mercu keagungan Islam di benua tersebut. Masjid yang dimaksudkan adalah Masjid Cordoba yang terletak di Sepanyol.

Pada abad ke-15 Masihi, dunia telah menyaksikan kejatuhan kerajaan Constantinople dan bangkitnya keagungan kerajaan Uthmaniyyah yang berpusat di Turki. Mulai zaman ini banyak gereja telah diambil alih dan ditukar kepada masjid, seperti Gereja Hagia Sophia di Turki yang mula ditukar kepada Masjid pada tahun 1435 Masihi. Mulai zaman ini juga berkembangnya reka bentuk Byzantine (asas pengaruh Rom dan Gerik) dengan menjadikan seni bina Aya Sofya (Hagia Sophia) dengan asas bentuk kubah yang besar dan beberapa menara tinggi mencakar langit sebagai teras kepada pembinaan banyak masjid besar dunia sehinga kini, antaranya termasuklah pembinaan Masjid Agung Sultan Suleyman di Istanbul, Turki (1550) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam, Selangor yang dikenali juga sebagai Masjid Biru (1988).


Pengaruh Seni Bina Masjid Dunia

Islam tidak pernah menetapkan rupa dan bentuk khusus masjid yang hendak dibina oleh umatnya, kebebasan mencipta bentuk masjid ini diletakkan kepada penganutnya. Ini disebabkan Islam itu bukan lahir untuk dimanfaatkan oleh satu kelompok masyarakat atau bangsa Arab sahaja, malahan ia milik masyarakat dunia yang sememangnya kaya dengan warisan budaya masing-masing, walaupun Islam lahir ditengah peradaban mereka. Mereka bebas melahirkan idea dalam membina sesebuah masjid yang berpandukan acuan budaya setempat, asal sahaja ia selari dan tidak bertentangan dengan apa yang telah digariskan oleh agama Islam.

Kesan daripada perbezaan latar budaya ini telah melahirkan pelbagai ragam bentuk dan rupa masjid di dunia. Sebahagian besarnya diwarnai dengan ciri-ciri budaya masyarakat setempat. Masjid-masjid yang wujud di Timur Tengah dan Asia Barat yang dibina khususnya selepas zaman para sahabat dengan penampilan rupa bentuk yang kelihatan tersergam indah dengan penampilan bentuk kubah yang besar serta kukuh di samping binaan menara yang menjulang tinggi tidak semestinya menjadi model ikutan kepada pembinaan masjid di seluruh dunia.

Hari ini, setelah Islam tersebar dan bertapak kukuh hampir di seluruh pelosok dunia, kita dapati binaan masjid yang lahir di benua lain seperti Eropah, Afrika dan Asia umumnya menampilkan ciri ciri reka bentuk dan ragam hias berlainan. Perbezaan masjid ini ada kalanya amat ketara sekali. Penampilan masjid yang ada di Asia ini pun berbeza-beza dari segi bentuknya. Penampilan reka bentuk masjid di Asia Tengah seperti di India tidak sama bentuknya dengan masjid yang wujud di Asia Tenggara, begitu juga dengan Asia Jauh.

Masjid di Asia Jauh seperti di negara China umpamanya menampilkan reka bentuk dan ragam hias yang jelas diwarnai oleh masyarakat pengamalnya. Bentuk pagoda dengan penampilan halaman yang luas, di samping pintu gerbang dan penonjolan warna-warna terang, seperti merah dan warna keemasan adalah pengaruh nyata masyarakat China yang tidak boleh diketepikan terus oleh masyarakat Islam di sana. Begitu juga penampilan bentuk kubah potong bawang yang menjadi pola lazim ditampilkan pada masjid di kawasan Asia Tengah seperti di India dan Pakistan juga hasil pengaruh budaya setempat yang mula diperkenalkan semasa era pemerintahan Shah Jahan. Selain masjid, bentuk ini juga turut digunakan pada pembinaan makam dan istana. 

Di Asia Tenggara khususnya di daerah Nusantara masjid-masjid awal rata rata menampilkan reka bentuk dan ragam hias yang bersesuaian dengan budaya tempatan, seperti penampilan ciri-ciri bumbung tumpang dan limas yang lazimnya menampilkan bentuk tirus yang cenderung kepada penyesuaian berlandaskan budaya tradisional masyarakat Nusantara dan sekali gus penyesuaian kepada faktor iklim setempat.


Reka Bentuk Masjid di Nusantara

Melalui pengamatan ke atas masjid-masjid lama yang masih wujud di Nusantara ini termasuklah di Malaysia dan di Selangor khususnya, didapati reka bentuk masjid lama yang paling ketara dan paling banyak ditemui adalah penampilan reka bentuk bercirikan Nusantara dengan penonjolan bumbung bertingkat atau lebih dikenali sebagai bumbung tumpang. Bentuk lazim ini menampilkan bentuk piramid bertangkup tiga. Reka bentuk ini adalah reka bentuk tertua yang dikesan pada masjid lama di Nusantara. Bentuk masjid ini mula diperkenalkan di rantau ini seawal kedatangan Islam ke Nusantara, iaitu kira-kira pada abad ke-12.

Antara contoh masjid bentuk ini yang masih wujud hingga kini adalah Masjid Agung Demak yang terletak di Jawa Tengah. Masjid ini dibina pada tahun 1477 hingga 1479 Masihi oleh para pendakwah Jawa yang lebih dikenali sebagai Wali Songo (sembilan wali) yang diketuai oleh Syeikh Maulana Malik Ibrahim. Masjid ini dijadikan pusat dakwah utama di daerah ini bagi mengembangkan syariat Islam kepada masyarakat Jawa. Masjid lain yang menampilkan reka bentuk yang sama, iaitu Masjid Agung Kuno Kudus yang dibangunkan pada tahun 1685 juga terletak di Jawa.

Masjid yang tertua di Malaysia, iaitu Masjid Kampung Laut di Kelantan yang dibina pada awal tahun 1700 juga menampilkan bentuk yang sama. Masjid ini kini telah dipindahkan ke Nilam Puri disebabkan tapak asal masjid tersebut telah berada di tengah sungai. Masjid masjid lain termasuklah Masjid Kampung Hulu, Bandar Melaka yang dibina pada tahun 1728 dan Masjid Kampung Tuan, Kemaman Terengganu yang dibina dalam tahun 1830-an. 

Semua masjid lama ini menampilkan reka bentuk yang hampir sama, iaitu bumbung tumpang atau bertingkat. Di Selangor, masjid yang menampilkan bentuk yang sama ialah Masjid Tok Dagang yang terletak di Kampung Jawa, Klang. Ia dibina pada tahun 1876, diikuti Masjid Lama Kampung Permatang, Kuala Selangor yang dibina pada tahun 1916, Masjid Lama Lubuk Pusing (1918) dan diikuti masjid-masjid lain.

Selain bentuk bumbung bertingkat atau tumpang, reka bentuk bumbung limas bungkus juga antara reka bentuk masjid awal yang ada di Nusantara ini. Reka bentuk ini adalah ciri yang paling hampir dengan reka bentuk rumah Melayu tradisional. Reka bentuk ini adalah gabungan antara ciri-ciri bumbung tumpang dengan bumbung limas. Masjid yang dikesan menggunakan ciri-ciri gabungan bumbung seumpama ini yang paling awal di Nusantara ini adalah Masjid Wadi Husin. Teluk Manok, Patani, Thailand yang dibina pertengahan lebih kurang 200 tahun lalu. Masjid lama lain termasuklah Masjid Kampung Melayu, Papan, Perak yang dibina pada tahun 1887 dan Masjid Lama Kampung Machang Hulu, Lenggeng, Negeri Sembilan yang dibina pada tahun 1930. Sementara di Selangor, masjid bentuk ini mula diperkenalkan pada tahun 1905 dengan pembinaan Masjid Lama Pancang Bedena, Sabak Bernam diikuti Masjid Simpang Tiga, Ulu Bernam, Hulu Selangor yang dibina pada tahun 1926.

Umumnya, kewujudan masjid yang ada ini sama ada yang dibina di Selangor, di Malaysia, di Nusantara bahkan masjid yang wujud di setiap penjuru dunia ini yang menampilkan pelbagai bentuk dan ragam hiasnya yang tersendiri adalah hasil daripada perkembangan budaya masing-masing. Namun apa yang pasti, keterampilannya membawa tujuan yang sama dan tidak pernah lari daripada matlamat asal, iaitu sebagai pusat ibadah penyembahan hamba kepada penciptanya dan sekali gus sebagai pusat penyatuan umat Islam sejagat.

Warisan Masjid Lama di Selangor

Umumnya terdapat 36 buah masjid lama yang masih wujud di negeri Selangor ini. Daripada jumlah tersebut, hampir kesemua daerah di Negeri Selangor ini mempunyai peninggalan masjid lama yang dibina sebelum merdeka, iaitu sebelum 31 Ogos 1957, kecuali dua buah daerah iaitu Petaling dan Gombak yang tiada kesan langsung peninggalan binaan masjid lama era tersebut kerana semuanya telah diruntuhkan dan digantikan dengan binaan masjid baru.

Pecahan bilangan masjid lama yang masih wujud mengikut daerah adalah satu di daerah Sepang, dua di Hulu Langat, tiga di Kuala Selangor, empat di Hulu Selangor, tujuh di Klang, tujuh di Kuala Langat dan sepuluh di daerah Sabak Bernam.

Sumber –  Warisan Masjid-Masjid Lama di Selangor. Mohd. Zainudin Abdullah & Noorhayati Md. Yatim. Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor