17 Jun 1462, 560 tahun yang lalu, Vlad III Dracula cuba membunuh Sultan Mehmed II al-Fatih dalam Serangan Malam di Târgoviște.

Vlad Dracula merupakan pemerintah Wallachia, wilayah yang diapit antara Kerajaan Hungary dengan Bulgaria yang berada di bawah taklukan Uthmaniyah. Konflik berputik apabila Vlad enggan membayar jizyah kepada Uthmaniyah sejak 1459.

Setiap delegasi yang dihantar Sultan dibunuh Vlad yang dikenali dengan sikap suka menyula mangsanya. Kemudian Vlad menakluk kubu Uthmaniyah di Giurgiu & melancarkan kempen pembersihan etnik di wilayah Bulgaria yang bersempadanan dengan Wallachia.

Sebagai respon, Sultan membentuk angkatan 150,000 tentera & mula berarak menuju Târgoviște, ibu kota Wallachia. Namun mereka disulitkan dengan dasar bumi hangus, penyebaran wabak & beberapa serangan gerila yang dilancarkan Vlad.

Pada 16 Jun 1462, angkatan Uthmaiyah tiba di selatan Târgoviște & mendirikan kem untuk bermalam. Malam itu, Vlad menyamar sebagai tentera Uthmaniyah menyelinap masuk, mengimbas susunan dalam kem & kembali ke persembunyian angkatannya berdekatan.

Beberapa jam kemudian, Vlad & sekitar 10,000 tenteranya menobros masuk ke dalam kem dari bahagian belakang, mencetuskan pertempuran dengan tentera Uthmaniyah yang panik. Dalam huru-hara itu beliau menuju ke khemah Sultan, namun baginda tiada di situ.

Selepas beberapa ketika, Uthmaniyah berjaya menyusun barisannya & mengusir angkatan Wallachia sebelum fajar menyingsing. Serangan Malam itu menyaksikan kira-kira 15,000 askar Uthmaniyah terbunuh sementara sekitar 5,000 tentera Wallachia terkorban.

Beberapa hari kemudian, angkatan Uthmaniyah meneruskan perjalanan & akhirnya tiba di Târgoviște, namun pintu kota itu dibiar terbuka. Mereka ‘disajikan’ di sepanjang jalan utama kota itu dengan sekitar 20,000 lelaki, wanita & anak kecil yang disula.

Menyedari kegilaan & kekejaman Putera Wallachia itu sukar ditundukkan, Sultan & angkatannya berarak meninggalkan Târgoviște menuju ke Brăila sebelum berlayar pulang ke Adrianople.

Sumber: Weapons and Warfare, War History Online, Youtube/HistoryMarche