Hari ini 68 tahun yang lalu, Elvis Presley merakam ‘single’ pertamanya, “That’s All Right.”

Suatu malam Sabtu di musim panas 1953, seorang pemandu lori berusia 18 tahun memasuki pejabat Sun Records & Memphis Recording Service di Tennessee membayar $3.98 bersama cukai untuk membuat rakaman piring hitam sebagai hadiah hari lahir ibunya.

Pemilik & operator studio itu, Sam Phillips merakam pemuda itu menyanyikan lagu “My Happiness” & “That’s When Your Heartaches Begin.” Kemudian Phillips berkata sesuatu kepada rakan niaganya, Marion Kreisler yang membuat catatan tentang pemuda tersebut.

Kriesler cukup tertarik dengan pemuda itu, berkali-kali membangkitkan namanya kepada Phillips sehinggalah satu hari pada Julai tahun berikutnya, Phillips menghantar 2 pemuzik kegemarannya untuk bertemu pemuda tersebut & ber’jamming’ dengannya.

2 pemuzik tersebut kemudian pulang melaporkan dapatan penilaian mereka, mengatakan bahawa “tiada yang luar biasa tentang pemuda itu, tapi suaranya merdu.” Begitupun, Phillip mencuba nasib & mengatur satu sesi rakaman dengan pemuda itu pada 5 Julai 1954.

Bagaimanapun, beberapa jam pertama sesi rakaman itu gagal meyakinkan Phillips. Ketika para pemuzik lain keluar mengambil angin apabila sesi rakaman berehat, pemuda itu tidak ikut sama sebaliknya bermain-main dengan gitar di dalam studio.

Ketika itu dia menyanyikan lagu “That’s All Right” oleh Arthur Crudup dalam kelajuan lebih pantas daripada yang asal. Menerusi pintu studio yang terbuka, ia didengari Phillips yang berada di dalam bilik kawalan, mendapati itulah bunyi yang dicari-carinya.

Lantas Phillips mengarahkan pemuda itu & pemuzik iringan memainkan lagu itu semula untuk dirakamnya. Sesi rakaman dilanjutkan ke 2 malam berikutnya, namun ia tidak sehebat malam pertama. Rakaman itu kemudian disiarkan stesen radio Memphis WHBQ.

2 minggu kemudian, ‘single’ tersebut meledak, mencetuskan kebangkitan muzik “rock & roll” lantas meletakkan pemuda tersebut, yang bernama Elvis Presley, di landasan menuju kemasyhuran, “…and the rest is history.”

Sumber: History