Suku Kerinci yang dikatakan sangat akrab dengan ilmu harimau atau harimau jadian. Dalam kalangan masyarakat setempat juga, orang Kerinci memang terkenal dengan amalan ilmu harimaunya.

Mengenai asal perkataan Kerinci pula, ada beberapa pendapat mengenainya iaitu:

Berasal daripada perkataan kerin yang bermaksud hulu dan ci yang bermaksud sungai. Jadi Kerinci bermaksud hulu sungai.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Kerinci berasal daripada perkataan Terkunci kerana secara geografinya kawasan ini dihadang oleh Bukit Barisan.

Seterusnya ialah berasal dari perkataan kering dan cair. Ini kerana apabila musim hujan, kawasan Kerinci akan digenangi oleh air manakala semasa musim kemarau pula, kawasan ini akan mengalami keadaan panas dan kering.

Berasal daripada nama Sungai Kering yang berada di kaki Gunung Kerinci.

Berasal daripada bahasa Cina yang bermaksud pergunungan.

Orang Kerinci digolongkan dalam kategori Melayu Tua ( Proto-Melayu ) dalam ras Mongoloid yang memiliki mata sepet, pendek, tegap dan kulit yang hampir putih. Orang Kerinci Melayu Tua ini kemudianya bercampur dengan orang Minangkabau dari Pagar Ruyung yang datang ke Kerinci secara bertahap lalu membentuk kebudayaan masyarakat Kerinci. Kedatangan bangsa Austronesia atau Melayu Muda ke kawasan Kerinci pula telah menyebabkan mereka mengalami percampuran sekali lagi lalu terhasilkan suku Kerinci sebagaimana kita kenali hari ini.

Orang Kerinci pada peringkat awal merupakan suku yang sangat mahir dalam menghasilkan alatan logam, penanaman padi serta mengamalkan kepercayaan animisme berdasarkan kepada penemuan-penemuan arkeologi di kawasan tersebut. Percampuran dengan kelompok Melayu Muda pula telah menyebabkan berlakunya perkembangan dalam kebudayaan dan kegiatan ekonomi seperti pertanian yang lebih baik.

Dalam bancian pada tahun 2014, jumlah penduduk Kerinci ialah berjumlah seramai 234,003 orang yang terdiri daripada kaum lelaki seramai 116,777 orang manakala kaum wanita pula seramai 117,226 orang. Hasil perekonomian utama orang Kerinci hari ini ialah pertanian yang mewakili ¾ daripada jumlah penduduknya. Antara tanaman popular ialah padi sawah dan juga padi huma yang ditanam di kawasan bukit. Kebanyakan mereka masih menggunakan kaedah pertanian tradisional disebabkan bentuk muka bumi yang berbukit menyukarkan penggunaan jentera moden.

Selain penanaman padi, orang Kerinci juga terkenal sebagai penghasil kopi dan kayu manis namun kejatuhan harga komoditi itu telah menyebabkan mereka berhijrah mencari peluang pekerjaan ke luar negara terutamanya ke Malaysia.

Berkenaan dengan agama pula, boleh dikatakan hampir kesemua penduduk suku Kerinci beragama Islam. Dalam wilayah Kerinchi ada sekitar 310,000 orang penduduk dan 99.56% merupakan orang Islam. Selain itu hanya beberapa ratus sahaja yang bukan Islam seperti beragama Kristian Protestan, Katolik, Hindu serta Buddha yang terdiri daripada orang Bali, Jawa, Madura dan sebagainya.

Walaupun sudah beragama Islam tetapi masih ada segelintir orang Kerinci yang mengamalkan ritual mistik, pemujaan serta perjamuan untuk jin yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Selain itu, masih ada segelintir orang Kerinci yang masih percayakan bomoh yang mengamalkan mantera tertentu untuk pelbagai tujuan seperti pengubatan, keselamatan semasa ke sawah dan sebagainya.

Sebelum kedatangan Islam ke Kerinci, masyrakat Kerinci sudah mempunyai tulisan sendiri yang kita kenali sebagai Rencong. Tulisan ini dikenali sebagai rencong mungkin disebabkan bentuk tulisan ini yang miring atau mencong. Kebanyakan tulisan-tulisan rencong di Kerinci menceritakan mengenai salasilah keturunan penduduk, puisi, piagam, dokumen-dokumen, kitab agama serta surat daripada sultan.