PENEMUAN mumia Potzi Otzi pada 19 September 1991 dua orang pendaki Jerman yang sedang menyusuri kawasan pergunungan Otzal di selatan Austria menarik minat banyak pihak untuk mengetahui asal usul mumia itu yang ditemui tertimbus ketulan ais di kawasan bersalji.


Semasa ditemui pendaki pertama iaitu Helmut Simon, 69, sekeliling Otzi terdapat pelbagai alatan lain seperti kapak dan pisau batu, panah dan pengasah yang menunjukkan mumia itu mungkin ‘hidup’ di zaman Neolitik di sekitar Eropah Tengah kira-kira lima ribu tahun lalu.


Namun, kematian mengejut beberapa orang individu termasuk ahli forensik, pakar-pakar mumia, pemandu arah dan pendaki yang pernah berurusan dengan Otzi mulai menimbulkan rasa sangsi bahawa mumia itu sebenarnya berpuaka.


Antara mangsanya adalah Rainer Henn, 64 salah seorang ahli forensik patologi yang bertanggungjawab sewaktu mengalihkan rangka Otzi. Setahun kemudian, Rainer yang sedang dalam perjalanan untuk menghadiri sebuah persidangan bagi membincangkan hasil penemuan mumia itu terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawanya.


Kejadian kedua pula berlaku terhadap Kurt Fritz, 52, salah seorang pemandu arah yang membawa Rainer ke lokasi tempat Otzi ditemui. Kurt mati dalam runtuhan salji hanya be berapa jam selepas Rainer disahkan meninggal dunia akibat kemalangan.

Mangsa sumpahan seterusnya ialah Rainer Holz, 47, mati kerana penyakit barah otak. Holz merupakan seorang pembuat filem yang pernah merakamkan dokumentari mengenai penemuan Otzi.


Lebih mengejutkan apabila individu pertama menjumpai Otzi, iaitu pendaki Jerman, Helmut Simon, turut menjadi mangsa ‘sumpahan’ Otzi apabila beliau ditemui maut dalam sebatang sungai pada 23 Oktober 2004, lapan hari selepas dia dilaporkan hilang sewaktu mendaki.


Sumpahan Otzi tidak terhenti setakat itu sahaja sebaliknya ia seakan memburu sesiapa sahaja yang cuba membantu mangsa- mangsa terlibat. Misalnya, tragedi turut menimpa Dieter Warnecke, 45, lelaki yang mengetuai pasukan pencari dan menyelamat Helmut. Beliau menemui ajal akibat serangan jantung hanya beberapa jam selepas majlis pengebumian pendaki itu.


Kematian seterusnya melibatkan Konrad Splinder, 66, ketua kumpulan pengkaji yang menjalankan ka-jian ke atas Otzi di Innsbruck, Austria pada tahun 1991. Splinder mati angkara skelorisis berganda, sejenis penyakit berkaitan dengan genetik.

Mangsa sumpahan berikutnya, Tom Loy seorang pakar molekul arkeologi yang berjaya menemui kesan darah pada senjata dan baju Otzi. Tom maut akibat penyakit darah keturunan yang dihidapinya, setahun selepas mula terlibat dalam kajian mengenai Otzi.


Rentetan kematian mengejut para pengkaji dan mangsa terlibat lantas ada pihak mengaitkannya dengan sumpahan Otzi, si mumia ais. Benarkah mumia Otzi berpuaka?


Sebenarnya, sehingga hari ini tiada penjelasan saintifik mahupun bukti kukuh yang boleh mengaitkan kesemua mangsa yang telah menemui ajal lantaran pernah bersentuhan dengan mumia Otzi yang kini ditempatkan di Muzium Arkeologi Tyrol, di Itali.


Mungkinkah sumpahan itu sekadar propaganda untuk menarik lebih ramai pengunjung menyaksikan Otzi sama seperti Firaun Tutankhamun di Mesir yang menjadi popular di seluruh dunia apabila dikaitkan dengan kematian mengejut para pengkaji dan mangsa yang pernah terlibat dengan penemuan mumia bersejarah itu.