Tinggalan Penempatan di Gua Kerbau, Kedah

Views: 37

Di Kodiang, Kedah, kawasan ini memang tidak asing lagi dengan pelbagai informasi tinggalan sejarah. Salah satunya adalah sebuah gua batu kapur yang digelar sebagai Gua Kerbau. Terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Alor Star, Kedah, gua ini dikatakan terbentuk sejak 200 hingga 300 juta tahun.
Menurut Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang, Zainol Husin, keseluruhan keadaan geologi di kawasan gua itu terdiri daripada bukit yang terbentuk daripada struktur batuan kapur, Batuan di sini membentuk satu keadaan yang dipanggil ‘topografi mogot’ di mana ia dikelilingi oleh enapan alluvium iaitu mendapan tanah subur yang terdiri daripada lumpur, kelodak dan pasir.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan sebelum ini, gua tersebut dikatakan pernah menjadi satu lokasi penempatan bagi masyarakat purba. Hal ini dibuktikan melalui beberapa penemuan artifak antaranya alat-alat yang diperbuat dengan menggunakan batu oleh penduduk prasejarah neolitik.
Selain itu, turut dijumpai beberapa lagi peralatan seperti tembikar berkaki tiga yang dikatakan mempunyai persamaan dengan penemuan di Bukit Tungku Lembu, Perlis dan di Bankao, Thailand.


Kira-kira 200 meter dari gua tersebut, turut ditemui lakaran purba yang berbentuk manusia dan binatang pada bahagian dinding sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Batu Putih. Melalui maklumat lisan yang diperoleh daripada penduduk tempatan, lakaran tersebut mungkin dilukis oleh masyarakat Orang Asli yang pernah mendiami kawasan gua berkenaan.Pihaknya telah melakukan kajian selama dua tahun di kawasan gua tersebut. Apa yang menariknya, kawasan berkenaan sangat berpotensi untuk disenaraikan sebagai salah sebuah tapak geowarisan di negara ini.

Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Kodiang Lama, Harun Hussain berkata, Gua Kerbau juga terkenal dengan cerita mitos Sang Kelembai. Mengikut versi di sini, Sang Kelembai dikatakan telah menyumpah seekor kerbau menjadi batu di kawasan gua ini.

Merujuk kepada fakta sejarah negeri Kedah, dahulunya Kodiang pernah menjadi pusat pemerintahan dan ketenteraan bagi kerajaan Kedah sejak 300 tahun lalu (1321-1619). Di kawasan ini juga, kata Harun, turut wujud sebuah kota yang digelar sebagai Kota Si Puteh.

Ekoran keadaan itu, gua tersebut dikatakan pernah menjadi lokasi yang penting bagi angkatan perang Kedah. Kata Harun, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843) telah berlaku satu peristiwa peperangan yang hebat di antara angkatan perang Siam dengan tentera kedah. 

Justeru, gua berkenaan dijadikan sebagai markas utama angkatan perang Kedah bagi melatih tentera mereka untuk menentang angkatan tentera Siam.


Ketika menjadi tempat latihan angkatan tentera, gua tersebut dikatakan mampu memuatkan seramai 70 hingga 100 orang bagi menjalani latihan dalam satu-satu masa. Selain itu, ia turut dilihat sebagai satu lokasi yang strategik sebagai tempat persembunyian angkatan perang Kedah daripada serangan tentera Siam.
Oleh sebab Kodiang pernah di jadikan pusat ketenteraan dan pentadbiran, sehingga hari ini dua golongan bangsawan terbesar masih mendiami kawasan tersebut. Dua golongan bangsawan tersebut adalah daripada keturunan yang membawa gelaran ‘KU’ dan ‘Syed’.

Mengikut salasilah dua keturunan bangsawan itu, gelaran ‘Ku’ difahamkan datang daripada keturunan raja dari Kota Si Puteh manakala bagi gelaran ‘Syed’ pula daripada raja dari negeri Perlis. Tambah Harun, salasilah kedua-dua keturunan ini bukan sahaja menetap di Kodiang malah turut mempunyai susur galur hingga ke Satun, Thailand.


Mengikut cerita lisan daripada masyarakat terdahulu, kata Harun, asal-usul nama Gua Kerbau diambil sempena satu peristiwa acara laga kerbau di sebuah padang di Kampung Kodiang lama. Difahamkan, salah seekor kerbau telah kalah dalam pertandingan itu dan haiwan tersebut melarikan ke gua berkenaan.
Tidak berapa lama selepas itu, dipercayai muncul seketul batu besar yang menyerupai bentuk seekor kerbau yang sedang tidur di pintu masuk gua berkenaan. Bermula dari pada situlah penduduk di kawasan tersebut menggelarnya sebagai Gua Kerbau.

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Comment

%d bloggers like this: