15 Jun 1896, 126 tahun yang lalu, berlaku tsunami dahsyat di Sanriku, antara kejadian seismik terburuk dalam sejarah Jepun.

Sanriku adalah sebuah wilayah pesisir pantai Laut Pasifik di timur laut pulau Honshu, Jepun. Pada hari tu, warga pekan & kampung di Sanriku sedang menyambut sebuah perayaan agama Shinto serta meraikan kepulangan tentera mereka dari Perang Cina-Jepun Pertama.

Kawasan tersebut telah merasakan beberapa gegaran lemah sejak Mei tahun itu. Sejak itu fenomena aneh dilapor berlaku, antaranya paras air perigi menurun & ada yang mengering, penampakan kumpulan besar ikan sardin di pantai & tangkapan tuna besar setiap hari.

Sekitar jam 7.32 malam waktu tempatan, berlaku gempa bermagnitud 8.5 yang berpusat di kira-kira 166 km ke tengah laut dari pantai Sanriku. Mereka di daratan yang sedang makan malam sempena perayaan itu hanya merasakan gegaran yang lemah.

Namun 35 minit kemudian, dalam jam 8.07 malam, gelombang pertama tsunami membadai pantai itu sebelum yang kedua tiba kira-kira 3 minit kemudian. Diburukkan dengan keadaaan air pasang di laut, ombak setinggi 38.2 meter direkodkan di Miyagi.

Kehancurannya amat dahsyat, 22,066 nyawa melayang sementara 8,891 kediaman musnah bersama bangunan lain di wilayah itu. Impaknya yang kuat memberi kerosakan fizikal teruk kepada mangsanya, banyak yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

Gempa tersebut turut membawa tsunami merentas Laut Pasifik & sampai ke Hawaii, yang turut binasa kawasan pantai baratnya dibadai ombak berketinggian antara 2-9 meter. Ombak setinggi 2 meter turut dilapor menghempas pantai California pada hari berikutnya.

Ombak tsunami Sanriku itu (38.2 meter) kekal memegang rekod tertinggi hinggalah ia diatasi oleh ombak tsunami gempa bumi Tohoku pada 2011, yang mencatat ketinggian melebihi 40 meter.

Sumber: Shippai, Japan Times