Persoalan aliran seni beladiri manakah yang terbaik sememangnya tidak akan tidak pasti akan bermain di fikiran pengamal-pengamal beladiri. Pada permulaan kita mempelajari ilmu beladiri, kita akan diajar asas-asas pergerakan, seterusnya buah atau pukul, lapis atau potong sehinggalah ke tahap yang lebih tinggi seperti bermain senjata dan tidak ketinggalan juga kita akan mengkaji cara menghadapi serangan dari gaya atau aliran beladiri yang lain.
Seperti kita sedia maklum, terdapat pelbagai aliran seni beladiri di dunia ini. Silat dan kung fu sahaja dah mencecah ribuan aliran, ditambah pula dengan lain-lain seni beladiri yang telah diasaskan sejak ribuan tahun atau aliran-aliran moden, semuanya mencecah ribuan atau mungkin juga puluhan ribu aliran, sama ada yang kita kenali ataupun tidak.
Sesetengah ahli beladiri belajar secara kebetulan atas sebab mengikut kawan atau kebetulan gelanggang berada berdekatan dengan rumah. Sebahagian yang lain benar-benar mengkaji aliran yang sesuai dan dirasakan yang terbaik untuk diri masing-masing. Dalam mempelajari dan mengkaji inilah kadang-kadang kita telah menyentuh sensitiviti pengamal seni beladiri yang lain.
Yakin dan Taksub
Dalam mempelajari ilmu beladiri, kita perlu yakin dengan aliran yang kita pelajari, kerana secara logiknya kita takkan belajar aliran yang kita kurang yakin. Cuma dalam belajar inilah, ada jurulatih yang secara sedar atau tidak, telah menanam rasa takjub dan taksub kepada perguruan sendiri. Bila penuntut ini pula yang naik ke peringkat jurulatih, rasa taksub ini akan diturunkan pula kepada generasi seterusnya dalam perguruan tersebut. Penyakit ini selalunya hinggap kepada ahli-ahli yang agak baru mengenali dunia beladiri, tapi amat menyedihkan bila penyakit ini juga terdapat pada pengamal yang dikategorikan sebagai otai atau orang lama. Hanya penuntut yang berfikiran terbuka sahaja yang mungkin tidak termasuk ke dalam perangkap taksub ini.
Apa bezanya yakin dan taksub? Yakin adalah anda akan belajar bersungguh-sungguh aliran yang anda pilih sehingga mahir. Yakin bahawa apa yang dipelajari boleh digunakan bila keadaan memerlukan, tapi pada masa yang sama menghormati aliran beladiri yang lain. Taksub pula adalah yakin yang membuta-tuli, terlalu yakin bahawa hanya aliran beladirinyalah yang terbaik, paling ampuh dan tidak terkalah oleh aliran lain, selain suka mempersenda dan memperlekeh perguruan lain. Menambahkan lagi rasa taksub ini bila jurulatih selalu bercerita bagaimana pengamal dari perguruan mereka berjaya mengalahkan pengamal dari aliran beladiri lain (sedangkan sejarah pengamal beladiri mereka kalah kepada aliran lain tak pula diceritakan). Cuba anda bayangkan jika cerita-cerita begini sampai ke pengetahuan pengamal beladiri yang kita perlekehkan itu (ini biasa berlaku), hati siapa yang tak panas bila aliran beladiri yang dipelajari jadi bahan persenda orang lain. Betulkah aliran anda tak mungkin kalah dalam pertempuran? Fikirkan semula.
Kalah atau menang dalam pertarungan bergantung kepada banyak faktor. Faktor persekitaran, kemahiran, pengalaman pengamal dan banyak lagi. Ada perlawanan yang aliran A mengalahkan aliran B, ada juga yang berakhir dengan aliran A kalah kepada aliran B. Tak perlu saya memberikan contoh, kerana untuk pengamal yang telah lama terlibat pasti biasa mengalami atau mendengar kisah-kisah sebegini. Mungkin sesuatu aliran itu secara zahirnya kelihatan lebih rendah mutunya berbanding yang lain, tetapi dalam perlawanan, ianya adalah soal praktikal yang berbeza sama sekali dengan sesi latihan atau demonstrasi.
Luar Jangkaan
Berkongsi sedikit pengalaman saya sendiri sebagai jurulatih satu aliran beladiri, ada kes di mana sesetengah penuntut saya yang sewaktu sesi latihan memang boleh dikatakan agak lembab dan tidak setangkas penuntut yang lain. Pada satu ketika sewaktu saya menunjukkan pelajaran baru kepada penuntut (yang lembab) tersebut, saya cuba membuatnya secara spontan sebagai kejutan (pendekatan yang biasa saya lakukan untuk menambah keyakinan penuntut), tetapi yang terkejutnya adalah saya sendiri bila penuntut tersebut memberi tindak balas yang tak disangka-sangka hingga saya yang hampir terjatuh. Saya mengalami insiden yang hampir sama tiga kali sepanjang saya menjadi jurulatih.
Insiden tersebut saya masih ingat sehingga ke hari ni dan ianya menyedarkan saya bahawa apa yang akan berlaku sewaktu keadaan yang betul-betul memerlukan itu mungkin diluar jangkaan. Orang yang pada zahirnya tidak tangkas dan geraknya perlahan, berkat ikhlasnya belajar beladiri mungkin dapat menewaskan penyerangnya bila keadaan benar-benar memerlukan, manakala yang geraknya pantas dan tangkas itu mungkin boleh kecundang dengan hanya satu tumbukan cowboy, siapa tahu?
Kalau dulu untuk menyaksikan pertembungan antara aliran beladiri anda harus menunggu sehingga ada salah satu pihak mencabar pihak yang lain dan ianya jarang-jarang berlaku, tetapi pada zaman dunia tanpa sempadan hari ini, kita lebih terdedah dan mudah untuk melihat atau mengkaji pelbagai aliran seni beladiri yang berbeza. Taip sahaja kata kunci dalam laman YouTube, semua akan anda dapat saksikan. Dalam laman ini juga terdapat banyak contoh perlawanan satu dengan satu antara aliran beladiri yang berbeza, seperti tae kwon do lawan muay thai, karate lawan capoiera, aikido lawan jujitsu dan pelbagai lagi. Dalam kebanyakan klip video yang anda saksikan anda akan dapati bahawa kemenangan tidak didominasi oleh aliran tertentu sahaja, mungkin aliran apa yang dibawa ada pengaruhnya, tetapi faktor kemenangan lebih banyak bergantung kepada individu itu sendiri.
Balik Kepada Tujuan Asal
Isu ini mungkin isu lama, tapi wabak ini masih dibawa oleh generasi pengamal beladiri hari ini. Kepada yang masih berfikiran begini, muhasabah diri anda semula, jika anda tak suka perguruan anda dikutuk dan diperlekeh, begitu juga dengan perguruan lain. Fikirkan kembali tujuan kita mempelajari ilmu beladiri. Sebagaimana namanya “seni mempertahankan diri” atau “seni beladiri”, tujuan asal kita belajar adalah untuk mempertahankan diri kita dari orang-orang yang menceroboh maruah dan keselamatan diri kita, dan dengan sedikit kelebihan dan kemahiran yang ada pada diri, kita panjangkan pula dengan menolong orang-orang yang memerlukan.
Hidup manusia bukan menongkat langit. Kita belajar silat, karate, tae kwon do atau apa jua aliranpun bukanlah supaya kita tak mati diserang, kerana terdapat seribu satu cara manusia boleh membunuh, tapi tujuannya adalah sebagai salah satu ikhtiar untuk kita menjaga diri setakat daya dan upaya yang diberikan oleh Tuhan kepada kita. Sekuat dan semahir manapun kita atau perguruan kita, takdir tiada siapa yang tahu, mungkin kita akan mati hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang membawa virus denggi?… atau mungkin terlibat dalam kemalangan jalanraya? Jadi perlukah kita menyinggung perasaan saudara kita dari perguruan yang berbeza dengan merendah-rendahkan aliran mereka semata-mata untuk menyatakan bahawa perguruan kitalah yang terbaik?
Hayati pantang larang silat, renungkan rukun tae kwon do dan kajilah konsep harmoni dalam aikido. Tentu anda setuju kalau dikatakan bahawa semua aliran seni beladiri menerapkan nilai-nilai murni dalam perguruan mereka. Pengamal beladiri yang baik adalah yang bersungguh-sungguh memahirkan diri dan menambahkan ilmu dalam beladiri, menghormati manusia dan pengamal aliran beladiri yang lain, membantu orang yang memerlukan dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih aman dan dunia yang lebih harmoni. Kita semua harus bercita-cita menjadi pengamal beladiri yang sebegini dan hentikan menyinggung perasaan pengamal seni beladiri yang tak sealiran dengan kita.
Sumber : Seni Beladiri Manakah yang Terbaik?